Kami pernah menulis beberapa artikel berkaitan mendiang Michael Jackson, seorang individu berbakat dalam muzik pop yang layak bergelar legenda berdasarkan legasi yang telah beliau tinggalkan.
Walaupun demikian wujud tanggapan yang menyangkal penggunaan istilah 'mendiang' bagi mewakili Jackson; mereka beranggapan Michael Jackson telah atau sempat memeluk Islam sebelum kematian beliau. Adakah ada kebenaran di sebalik dakwaan ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Atau semuanya hanyalah salah sangka yang suka dikongsikan orang ramai khasnya masyarakat Muslim? Untuk itu, marilah kita sama-sama meneliti kisah sebenar di sebalik dakwaan yang cukup popular ini.
Kehidupan Michael yang dekat dengan Islam
Status Michael Jackson sebagai 'Raja Pop Dunia' menyebabkan status kematiannya banyak menimbulkan tanda tanya.
Selain daripada status agama, punca kematian Jackson juga seringkali dijadikan bahan perbincanga. Lebih malang mendiang juga sering dijadikan bahan cemuhan berkenaan kulit putihnya, yang dikatakan dibuat ekoran rasa malu beliau lahir sebagai lelaki kulit hitam.
Bagaimanapun kontroversi berkenaan agama kematian beliau terus menjadi buah mulut orang ramai, disebabkan oleh beberapa laporan media berkaitan Jackson sebelum dia meninggal - seakan-akan menampakkan dia sudah menemui hidayah.
Desas-desus ini diperkuatkan lagi selepas kematian beliau, terbit laporan menyebut ada usaha pihak keluarga mendiang untuk mengebumikan beliau mengikut tradisi masyarakat Islam.
Apa yang dapat kita lihat dalam setiap laporan yang dibuat ketika itu, tidak jelas siapakah sumber utama yang mewakili keluarga Jackson dalam mengeluarkan kenyataan tersebut dan hanya nama abang beliau, Jermaine Jackson dipetik secara sekilas lalu.
Laporan itu juga menyebut Jackson telahpun selamat memeluk Islam pada bulan November tahun 2008, memilih nama 'Mikhaail' sebagai nama barunya.
Artikel-artikel sedemikian mula mengakibatkan perbincangan hangat di antara dua kelompok; yang percaya Jackson sudah bergelar Muslim dan yang menafikan dakwaan Jackson telah memeluk Islam.
Hubungan rapat dengan komuniti Muslim
Michael Jackson sepanjang karier beliau rapat dengan beberapa tokoh Muslim terkenal.
Selepas berhadapan dakwaan melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur, Jackson diberikan perlindungan di Bahrain atas tawaran keluarga di-raja negara itu sebagai tetamu kehormat ketika dia mencari arah.
Di Bahrain, Jackson mula menampakkan minat untuk lebih mendalami Islam. Nama-nama besar lain industri hiburan seperti Dawud Wharnsby serta Yusuf Islam mula dikatakan memainkan pengaruh kepada Jackson, membantu beliau mengenali Islam dengan lebih baik.
Ekoran daripada kisah-kisah inilah, wujud desas-desus mengatakan Wharnsby dan Yusuf Islam merupakan antara tetamu yang dijemput hadir ke majlis mengucap syahadah Jackson, dijalankan oleh seorang Imam bertauliah.
Walau bagaimanapun kedua-dua nama besar dalam muzik Islami itu menafikan dakwaan tersebut, menyangkal artikel-artikel yang disiarkan.
Apa yang lebih menghairankan, tidak ada seorang pun Imam muncul dan mengakui dia telah meng-Islamkan Jackson seperti didakwa. Tidak ada juga sebarang pendaftaran atau pertukaran rekod dibuat oleh wakil Jackson bagi mendaftarkan perubahan agama beliau secara rasmi.
Kebanyakan dakwaan yang mendakwa Michael Jackson telah atau sempat memeluk Islam sebelum kematiannya berlaku tanpa ada sebarang sandaran kepada bukti yang kukuh dan berfakta.
Apa yang berlegar-legar hanyalah khabar angin, desas-desus dan perkongsian tanpa sumber yang bunyinya kelihatan indah, tetapi realitinya tiada asas dalam laporannya.
Apa yang fakta dalam kejadian ini?
Sumber paling utama dalam memperbetulkan tanggapan kita berkenaan status peng-Islaman Jackson, boleh dibuat hasil pengakuan abang kandungnya sendiri iaitu Jermaine Jackson.
Jermaine merupakan antara penyebab utama khabar angin berkaitan peng-Islaman Michael bertiup kencang, selepas Jermaine direkodkan mengucapkan 'agar Allah swt. mencucuri rahmat ke atas adiknya' selepas Michael meninggal dunia.
Kenyataan itu disalah ertikan media, sedangkan apa yang disebutkan Jermaine hanyalah satu ucapan biasa yang tidak membawa makna sebegitu, disebabkan oleh status Jermaine yang telah memeluk Islam sejak tahun 1989. Anda boleh membaca kisah bagaimana Jermaine menemui jalan yang lurus melalui artikel ini jika anda berminat.
Berikutan kenyataan Jermaine yang disalah anggap, banyak pihak berspekulasi bahawa Michael sebelum meninggal dunia sempat memeluk Islam. Jermaine telahpun tampil menafikan dakwaan ini serta cuba memperbetulkan kekeliruan yang berlaku.
Ini kerana sepanjang beberapa tahun sebelum Michael meninggal dunia, Jermaine memainkan peranan yang cukup besar cuba membawa Islam kepada jiwa Michael. Sayangnya Michael tidak sempat secara rasmi menemui hidayahnya dan kegagalan itu memberi kesan besar kepada Jermaine.
Usaha membawa adik menemui hidayah
Jermaine untuk beberapa tahun sebelum kematian adiknya, telah cuba mendidik adiknya tentang Islam melalui naskhah-naskhah bacaan berkaitan Islam kepada Michael, yang dibeli khas dari negara Asia Barat seperti Bahrain dan Arab Saudi.
Perpindahan sementara Michael ke Bahrain banyak mendidiknya tentang nilai hidup seorang Muslim, mula membentuk kepercayaan besar Michael terhadap kepercayaan yang dipegang mereka.
Kumpulan pengawal peribadi Michael mula dilantik di kalangan individu Muslim kerana Michael lebih percayakan seorang Muslim bagi melindungi dirinya. Individu yang digajikan bagi menjaga anak-anaknya juga dipilih daripada penjaga beragama Islam.
Menurut Jermaine, tahap kepercayaan adiknya kepada masyarakat Muslim sebelum kematiannya tinggi. Michael menunjukkan sikap terbuka untuk belajar tentang Islam tetapi sayangnya perubahan ini tidak sempat tiba ke penamat gembiranya.
Michael tidak sempat mengucapkan kalimah syahadah walaupun hatinya sudah menerima ada perubahan berlaku dalam jiwanya.
Apa yang sangat dikesali oleh Jermaine sebagai abang kandung, dia percaya Michael akan menemui titik perubahan sekiranya hatinya sempat menerima Islam secara rasmi bagi mendapatkan kekuatan berhadapan semua cabaran ketika itu.
Dalam kenyataan tahun 2007 semasa Michael masih hidup, Jermaine menyuarakan hasrat ingin melihat adiknya memeluk Islam, selain memberitahu media dia dan Michael pernah membincangkan tentang pertukaran agama secara serius.
Apa yang kita tahu, Jermaine tidak pernah mendakwa adiknya telah memeluk Islam sebelum kematiannya. Tidak perlu untuk kita terus mempertikaikan pandangan orang yang paling kuat berusaha mengajak Michael Jackson yang secara terbuka menyatakan penyesalan terhadap kegagalannya itu.
Berdasarkan rekod rasmi dan petunjuk yang ada seperti yang diceritakan Jermaine - agak sukar untuk kita membuktikan Michael benar-benar atau sempat memeluk Islam secara rasmi sebelum kematiannya.
Artikel yang mendakwa Michael Jackson memeluk Islam itu sendiri sudah dipadamkan oleh laman web akhbar tabloid yang pertama sekali berkongsikan 'khabar gembira' itu. Lagilah pula apabila individu yang dikatakan menjadi saksi peristiwa itu, semuanya menafikan penglibatan dan pengetahuan mereka.
Rujukan