Kredit foto: Instagram Fendy Bakry
Pelakon, Fendy Bakry, menafikan penyakit misteri yang dihidapinya sekadar gimik untuk menaikkan nama dalam industri hiburan.
"Saya kecewa dan terkilan kerana ada pihak mendakwa penyakit misteri dihidapi adalah gimik untuk menaikkan nama dalam industri seni.
"Terus terang, saya memang terlantar sakit selama tiga bulan kerana menderita penyakit misteri baru-baru ini,” kata Fendy kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Fendy, 30, enggan menuding jari serta menuduh mana-mana pihak atas situasi yang melandanya.
Kredit foto: Instagram Fendy Bakry
"Sepanjang pengetahuan, saya tidak ada musuh dan percaya sakit misteri itu ujian paling berat dari Allah SWT sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.
"Saya bukan bodoh untuk buat gimik atau publisiti murahan dengan cerita pura-pura jatuh sakit untuk menaikkan nama.
"Sebagai artis baru, saya lebih selesa dikenali peminat kerana bakat yang dipertaruhkan,” tegasnya.
Keadaan kesihatan pemilik nama penuh Mohd Affandi Nor Bakri ini pula sudah mulai pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan.
“Alhamdulillah, saya sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk kembali aktif dalam bidang seni.
“Semuanya berkat doa dari peminat, pengurusan dan ahli keluarga yang tidak pernah putus berdoa untuk melihat saya kembali pulih,” katanya.
Tambah Fendy, sehingga kini dia menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Alor Setar, namun tidak lagi mengambil rawatan alternatif.
“Saya sudah menjalani ujian darah tetapi masih menunggu laporan penuh dari doktor kerana mereka masih belum dapat mengesahkan penyakit dihidapi,” katanya.
Sebelum ini, pelakon Mr Grey itu dicanang menghidap penyakit misteri hingga terpaksa berubat di kampung, lalu menjadi topik perbualan hangat diperkatakan netizen di media sosial.
Rentetan faktor kesihatan, pihak pengurusannya terpaksa menunda semua aktiviti dalam jadual kerjaya seni Fendy yang dikesan bakatnya menerusi program Hero Remaja 2012 itu.