Kredit foto: Astro Gempak

Pengacara Hefny Sahad semakin terbuka dalam membicarakan hubungan rapatnya dengan aktres cantik Uqasha Senrose.

Menerusi sebuah wawancara terbaru, hos berusia 30 tahun itu memberitahu dirinya dan Uqasha telah berkenalan sejak tiga tahun lalu, namun hubungan itu mula rapat pada hujung tahun lepas.

"Hubungan saya dengan Uqasha rapat sejak penghujung tahun lalu. Apa yang saya boleh katakan saya hanya keluar dengan dia dan tidak ada wanita lain.

"Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak tiga tahun lalu namun pada penghujung tahun lalu saya mula rapat dengan dia," kata Hefny yang dipetik daripada laporan portal Mstar Online.

Hefny membuat kenyataan tersebut di majlis sidang media pengumuman 30 buah lagu yang bertanding di separuh akhir Muzik-Muzik 32 berlangsung di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC, pada Selasa.

hefny sahad denda punca terpikat dengan uqasha senrose 2

Kredit foto: Instagram Hefny Sahad

Dalam pada itu, Hefny berkata, dia terpikat dengan sikap Uqasha yang disifatkan sebagai seorang wanita bertanggungjawab, mementingkan keluarga serta manja.

Malah aktres berusia 25 tahun itu juga mempunyai ciri-ciri wanita idamannya.

"Saya lihat Uqasha sangat bertanggungjawab dan mementingkan keluarganya terlebih dahulu. Cara dia melayan dan menjaga adik-beradiknya membuatkan saya terpikat.

"Boleh dikatakan dia seorang wanita yang mempunyai ciri-ciri wanita idaman saya. Malah, Uqasha juga seorang yang manja," dedahnya.

Namun secara jujur, Hefny belum terfikir untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya.

"Buat masa sekarang ini, saya tak boleh nak kata apa-apa lagi. Kami pun tidak ada perancangan untuk ke peringkat seterusnya.

"Insya-Allah kalau ada jodoh saya dan Uqasha. Harap semua doa yang baik-baik untuk kami berdua" pintanya.

Mengenai perkembangan kerjaya, Hefny yang juga hos program Muzik-Muzik 32 itu masih meletakkan keutamaan dalam bidang pengacaraan.

Bagaimanapun dia tetap mempertimbangkan tawaran lakonan sekiranya bersesuaian dengan jadual.

"Bidang pengacaraan ini memang keutamaan saya sejak awal memasuki dunia seni lagi. Tapi tidaklah saya berhenti daripada berlakon.

"Kalau ada tawaran yang sesuai dengan jadual saya pasti akan terima," katanya lagi.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)