Oleh pada 05 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Sinar Harian & Instagram Uqasha Senrose

Aktor Pekin Ibrahim mengakui terkejut dengan laporan sebuah portal hiburan baru-baru ini yang mendakwa dia sudah kembali berhubungan dengan bekas tunangnya, aktres Uqasha Senrose.

Pelakon berusia 36 tahun itu mempersoalkan dari mana sumber laporan gosip tersebut diterima.

Dalam masa yang sama, aktor yang juga seorang sutradara ini mengakui ada berlakon bersama Uqasha dalam filem terbaru arahan Mamat Khalid berjudul Hantu Kak Limah 2, namun tiada babak yang mempertemukan mereka.

"Itu semua tak betul. Siapa yang buat cerita pun saya tak tahu. Saya baca artikel itu dan bagi saya ia tak masuk akal. Mujur penggambaran masih baru, jika tidak mesti banyak spekulasi timbul. Bahaya juga artikel begitu.

"Memang kami berlakon dalam filem sama, tetapi tidak ada babak bersama. Lagipun saya hanya terbabit dalam dua babak saja dan tidak berjumpa langsung dengan Uqasha,” terangnya.

Sementara itu, Pekin meminta agar namanya tidak lagi dikaitkan dengan wanita berkenaan memandangkan antara mereka sudah tidak ada pertalian.

"Saya tak ada masalah kalau berjumpa dengan Uqasha di lokasi. Cuma apabila timbul cerita begini, jadi tak menarik. Kami pun sudah ada kehidupan masing-masing," tuturnya.

Malah pelakon filem Mat Moto ini juga masih menjalinkan hubungan dengan kekasihnya yang juga seorang model dan pelukis berumur 24 tahun.

Terdahulu, Pekin dan Uqasha pernah intim pada Februari 2013 sebelum akhirnya bertunang pada 6 Julai 2013.

Namun hubungan itu berakhir apabila mereka nekad memutuskan pertunangan pada bulan Februari tahun berikutnya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)