Sebagai penggemar makanan laut khususnya dari jenis ikan; hidangan berasaskan ikan lautan memang menjadi salah satu menu wajib ada ketika penulis makan di luar.
Kami yakin ramai seperti penulis, mempunyai minat serupa tetapi pernahkah kita terfikir bagaimanakah ikan yang kita santap itu hadir ke pinggan kita? Salah satu isu yang melanda industri perikanan di Asia Tenggara, adalah isu sindiket perikanan memperhambakan pekerja bagi tujuan penangkapan ikan.
BESARKAN TEKS A- A+
Belasan ribuan lelaki dipaksa bekerja dalam keadaan daif, ditahan sebagai tawanan di laut bertahun-tahun lamanya serta berdepan penganiayaan fizikal dan mental, bagi memastikan bekalan ikan terus ada. Inilah sisi gelap industri perikanan yang kurang mendapat perhatian.
Keperluan menampung bekalan membawa kepada perhambaan
Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 17,000 orang nelayan yang lebih layak dianggap hamba di serata perairan Asia Tenggara, bertugas setiap hari secara paksa.
Punca utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah tekanan ekonomi baik diperingkat keluarga dan juga industri.
Kegilaan mahu menjana keuntungan mendorong pemilik bot dan juga pengusaha perikanan melakukan tindakan ekstrim, menjadikan golongan hamba sebagai pekerja bagi meminimakan kos.
Golongan pekerja atau 'hamba' ini pula biasanya hadir sebagai migran dari negara-negara miskin, tertarik tawaran janji gaji yang dikatakan lebih baik.
Malangnya, taktik licik pengusaha akhirnya memerangkap mereka dalam hutang yang didakwa perlu dilunaskan. Cara melunaskannya pula adalah dengan bekerja sekeras mungkin, ditempatkan di bot-bot nelayan di sekitar Asia Tenggara tanpa ada jalan keluar.
Melainkan mereka sanggup berenang mencari daratan dari tengah laut yang bergelora.
Kehidupan atas bot dengan gaji yang minima
Tidak ada sesiapa dapat menafikan, kehidupan di atas bot nelayan adalah sukar dan berbahaya jauh berbeza berbanding dengan pelaut yang menaiki kapal lebih lengkap spesifikasinya.
Pekerja yang tiada jalan keluar dipaksa bekerja syif panjang tanpa rehat mencukupi, dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak bersih dan menjadi mangsa penganiayaan fizikal dan psikologi.
Hendak bercakap pasal gaji, majoriti pekerja yang tertipu ini biasanya tidak dibayar sama sekali. Kalau adapun hanya segelintir menerima sebahagian kecil amaun yang telah dijanjikan kepada mereka.
Pengusaha yang terlibat tahu sistem undang-undang sedia ada tidak mampu memberi kesan besar kepada mereka, biarpun aktiviti kejam mereka didedahkan kerana biasanya yang diperhambakan datang dari negara-negara seperti Kemboja, Myanmar, dan Laos.
Mereka diperdaya ke dalam kontrak yang memerlukan mereka untuk bekerja membayar hutang ejen pencari kerja, meletakkan golongan sebegini dalam situasi mustahil dapat melepaskan diri - kerana bimbang sekiranya mereka lari, mereka akan dihambat pula oleh tindakan undang-undang.
Jangan ingat isu ini hanya berlegar di Asia Tenggara
Pasaran makanan laut sangat besar dengan industri perikanan Thailand sahaja yang dikatakan menjadi pasaran sindiket sebegini beroperasi di Asia Tenggara, dianggarkan mempunyai nilai setinggi RM30 bilion keseluruhannya.
Namun, jangan ingat perkara ini berlaku hanya di Asia Tenggara dan tidak melibatkan negara-negara benua luar. Isu ini adalah satu isu global yang sukar untuk dibanteras, kerana kelemahan sistem sedia ada.
Dalam satu kes yang didedahkan melibatkan sebuah bot nelayan berlaku di United Kingdom, sekumpulan nelayan pelbagai negara bernasib serupa terpaksa menempuh hidup sukar bekerja dalam situasi sangat daif.
Setiap orang dikerah bekerja selama 20 jam sehari dan hanya dibenarkan berehat selama 4 jam selebihnya, yang dijadikan waktu membersihkan diri, makan, tidur dan berhubungan dengan keluarga.
Setiap antara mereka bergelumang dengan bot yang usang, didera oleh kapten bot dan pembantu mereka, tidak dibenarkan makan dan minum semasa bertugas. Untuk semua susah payah mereka berkhidmat, tidak ada amaun gaji dimasukkan ke dalam bank seperti yang didakwa telah dilakukan.
Tiada jalan keluar mudah di tengah lautan
Kes-kes sebegini di Eropah biasanya melibatkan migran tiada permit dari negara seperti Ghana, Mesir, India serta Filipina mempunyai modus operandi yang sama saja caranya, bagi membolehkan bekalan hamba lautan dapat dikekalkan pada tahap konsisten.
Bagi pihak kita, memang sukar untuk kita menentukan kebarangkalian tepat ikan yang kita tangkap, adakah ditangkap nelayan yang benar-benar menjadikannya mata pencarian ataupun hasil tangisan seorang hamba; melainkan kita mendapatkan bekalan ikan terus dari jeti di mana ikan yang baru ditangkap diturun dan dikumpulkan.
Dengan globalnya skala masalah ini di seluruh dunia, tidak dapat dinafikan ada makanan laut yang ditangkap lelaki yang diperhambakan boleh berada di pasar raya untuk dijual.
Pelbagai usaha sedang dijalankan pihak berkuasa di seluruh negara dalam membanteras masalah perhambaan ini, tetapi kami yakin perkara ini akan memakan masa. Di pihak kita, kita mungkin tak mampu melakukan banyak perkara.
Cukuplah kita sedar dan kongsikan kisah berkenaan hamba lautan ini kepada masyarakat, agar kita tahu bukan semua ikan yang kita makan ditangkap oleh nelayan. Ada kemungkinan besar, penangkapnya adalah hamba yang terperangkap di tengah-tengah lautan.