Sejak zaman dahulu lagi sistem perhambaan digunakan bagi menekan masyarakat, seterusnya membawakan keuntungan pada sesetengah golongan tertentu yang mengawal sistem yang ada.

Sistem perhambaan telah pun didapati berlaku sekurang-kurangnya sejak zaman Mesir Kuno yang berlangsung sekitar tahun 1000SM/BCE dan diteruskan sehinggalah beberapa kerajaan negara dunia, mengharamkan amalan itu sekitar abad ke 19 dan 20.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, pengharaman itu tetap tidak menghalang daripada gerakan-gerakan gelap menjalankan aktiviti perhambaan, menjadikan mangsa perdagangan dan penyeludupan manusia sebagai 'hamba baru zaman moden.' Pernahkah anda tertanya, berapakah nilai nyawa seorang hamba yang didagangkan?

Memahami sistem perhambaan

comfort woman zaman perang

Dalam sistem perhambaan, manusia dianggap sebagai harta yang boleh dibeli, dimiliki, dijual dan ditukarganti. Tujuan perhambaan hanya satu - memenuhi kekosongan pekerja dalam pelbagai bidang.

Ketika era sekarang, sindiket perhambaan sebenarnya masih lagi bergiat aktif di pelbagai negara dengan menjadikan mangsa-mangsa mereka perlu melibatkan diri, dalam pelbagai bidang secara paksa antaranya; eksploitasi seks, buruh paksa, penjualan bayi, tentera kanak-kanak, perkahwinan paksa dan penjualan organ manusia.

Seramai 20.9 juta orang dikatakan sedang menjadi mangsa kepada aktiviti kejam ini di seluruh dunia, dalam satu-satu masa. Daripada 20.9 juta orang itu, kesemuanya datang daripada 136 negara yang dihantar ke 118 buah negara berbeza.

Bagi mendapatkan nilai semasa harga hamba yang dijual beli, pengkaji telah mengambil kira nilai inflasi serta persamaan di antara kadar tukaran nilai pada zaman tersebut dengan nilai matawang kita sekarang. Bagi artikel ini, semua nilai akan dipersembahkan dalam jumlah Ringgit Malaysia.

Harga nyawa manusia pada zaman kuno

watak gladiator hamba rom

Sistem perhambaan terawal didapati berlaku di era Mesir Kuno, melibatkan 3 golongan. Setiap satunya mempunyai harga yang berbeza bergantung kepada umur mereka dan mereka diniagakan dengan menggunakan tukaran perak. Seorang hamba kanak-kanak lelaki pada era tersebut dijual pada nilai RM18,771 (140 keping perak) dan hamba lelaki dewasa pula didagangkan dengan nilai RM134,038 bersamaan 1000 keping perak.

Ketika era Rom pula, sistem perhambaan masih dikekalkan dengan harga tertinggi melibatkan hamba lelaki dewasa, dijual pada nilai RM100,562 atau 1200 keping perak denari. Siapakah golongan hamba paling murah pada era tersebut? Pasti anda tak menyangka jawapannya.

Golongan hamba yang dipaksa bertarung dalam 'colosseum' Rom merupakan individu paling kurang nilainya. Lebih terkenal dengan gelaran 'gladiator', seorang gladiator didagangkan oleh pemiliknya pada nilai RM8715 seorang atau 208 keping perak denari.

Jauh lebih murah berbanding nilai seorang hamba budak lelaki, yang dijual pada harga RM25,140 seorang.

Berapakah harga hamba pada abad ke 19?

hamba orang afrika

Ketika era di mana kesedaran masyarakat dunia tentang amalan penghambaan mula tersebar lebih luas dengan kebanyakan pihak yang sebelum itu menjadikan individu-individu hamba seakan harta benda mereka, menghentikan amalan tersebut walaupun secara amnya masih banyak berlaku.

Pada era ini, rekod-rekod berkenaan sistem perhambaan mula menjadi lebih kompleks dengan istilah serta label tertentu diperkenalkan, bagi memudahkan orang ramai mengenali kategori-kategori hamba yang didagangkan dimulakan sekitar penghujung abad ke 18 di negara-negara Afrika.

Individu yang dijual sebagai hamba juga mula dinilai berdasarkan keupayaan mereka. Seperti di Timbuktu, seorang hamba dilaporkan mempunyai keupayaan linguistik yang tinggi dalam pelbagai bahasa seterusnya meninggikan nilainya. Hamba-hamba ini dibeli 'hidupnya' oleh pengusaha-pengusaha yang beroperasi di Afrika dengan harga RM125 ke RM250 seorang, bergantung kepada jantina, kekuatan tubuh dan paras rupa.

Mereka kemudiannya dijual kepada individu-individu hartawan di Amerika pada nilai berlipat kali ganda keuntungannya. Sebagai contoh, seorang hamba yang dikategorikan sebagai 'prime male slave' di jual di New Orleans pada harga RM3352 ketika itu atau RM92,182 jika kadar inflasi diambil kira.

Seorang kanak-kanak lelaki kulit hitam berusia 10 tahun dijual pada nilai RM2933 atau RM33,939 mengikut kadar inflasi. Transaksi ini direkodkan berlaku pada tahun 1850.

Nilai manusia pada zaman moden

kanak kanak tentera muda

Tibalah kita pada zaman sekarang. Zaman di mana sistem penghambaan sudah pun terhapus dan kesedaran orang ramai tentang penganiayaan hak asasi setiap individu, dikatakan berada pada tahap yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sistem perhambaan yang kini berlangsung secara tidak rasmi memperlihatkan bahawa nilai harga manusia semakin lama menjadi semakin rendah secara puratanya.

Wanita-wanita dari Nigeria dilaporkan boleh dibeli oleh individu dari sekitar Eropah, dengan satu transaksi di Itali dilaporkan berlaku pada harga di antara RM167,604 ke RM326,287. Tidak diketahui berapa kos sebenar dibayar oleh sindiket yang menyeludup mereka untuk 'membeli' mereka.

Kanak-kanak dari United Kingdom juga menjadi sasaran sindiket, dibeli oleh mereka pada harga RM8,291 sebelum dijual kepada keluarga yang mahu dengan harga RM104,725. Insiden ini berlaku pada tahun 2011. Sindiket penjualan bayi di China yang aktif memerdagangkan bayi lelaki pula direkodkan menjual bayi kelahiran warga tempatan pada harga RM32,682 dengan harga belinya dicatatkan RM29,293.

kilang bayi jual ibu bapa

Malangnya, beberapa rekod turut sama melibatkan negara kita. Seorang bayi dilaporkan dijual oleh ibu bapanya pada harga RM20,000 sebelum dijual semula pada harga RM27,604. Gadis-gadis Vietnam yang dijadikan pengantin sama ada secara rela atau paksa lelaki di Malaysia pula, dijual oleh ejen pencari jodoh dengan harga purata RM25,087. Kebanyakan pelanggan agensi ini majoritinya adalah lelaki berketurunan Cina yang gagal mendapatkan pasangan warga tempatan.

Masalah ini yang sukar dibendung telah menyebabkan banyak kes dilaporkan berkaitan insiden isteri orang Vietnam lari meninggalkan suami, membawa bersama anak mereka kembali ke Vietnam. Di Thailand pula, anda boleh menyewa seorang kanak-kanak untuk dijadikan pengemis, pada harga RM104.70 untuk satu tempoh yang telah ditetapkan. Tidak dicatatkan berapakah amaun yang akan diberikan pada kanak-kanak tersebut.

Jadi, berapakah harga 'hamba zaman moden' paling murah pernah direkodkan berlaku transaksi jual belinya? Kanak-kanak perempuan di negara Mozambique diisytiharkan menjadi mangsa sindiket perhambaan moden yang paling malang, dijual dengan harga serendah RM8.38 kepada pembeli yang mahu mengerah keringat mereka untuk pelbagai tujuan berbeza.

Begitulah rendahnya nilai seorang manusia, pada mereka yang sudah tidak lagi mampu membezakan yang mana barangan dan yang mana nyawa manusia.

Rujukan

Competing Markets for Male and Female Slaves: Prices in the Interior of West Africa, 1780-1850

The Cost of Human Life




Hakcipta iluminasi.com (2017)