Pada ketika ini kita melihat kerajaan Amerika Syarikat sedang berada dalam situasi huru-hara akibat rusuhan.

Bagaimanapun, percaturan politik antara negara tersebut dan seteru utamanya China sedang berjalan rancak tanpa kita sedar.

Pada 1 Jun 2020, kerajaan Amerika Syarikat secara rasmi menghantar perutusan diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menolak dakwaan kerajaan China tentang isu pemilikan sempadan di sepanjang Laut China Selatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam perutusan sama, Amerika Syarikat terang-terang menyatakan sokongan kepada tuntutan negara kita!

Ekoran daripada campur tangan ini, kerajaan China menyifatkan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat sebagai cubaan mencari gaduh. Kami kurang pasti kenapa isu ini tidak berapa dihebohkan.

Boleh dikatakan pada ketika ini, Amerika Syarikat kini sudah menjadi sebahagian daripada gabungan usaha beberapa buah negara Asia Tenggara termasuk negara kita, secara rasmi menolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan secara diplomatik.

Asia Tenggara bersatu melawan tuntutan China

garis sembilan sempadan china

Sejarah penolakan tuntutan China terhadap Laut China Selatan secara diplomatik, boleh dikatakan bermula pada tahun 2008.

Indonesia menjadi negara pertama mencabar apa yang dinamakan sebagai 'sembilan garisan sempadan' atau 'nine dash line' terbitan China, yang didakwa kerajaan China membuktikan pemilikan mereka ke atas sebahagian besar kawasan Laut China Selatan.

Pada 16 Jun 2008 kerajaan Indonesia menghantar tuntutan bagi memanjangkan garis sempadan lautan negara mereka yang dilabelkan sebagai 'continental shelf' melebihi 200 batu nautika.

Bagaimanapun, hanya selepas tindakan kerajaan kita dan Vietnam bersatu menghantar tuntutan serupa pada 6 Mei 2009 dipercayai menjadi pemangkin utama penyatuan negara-negara Asia Tenggara dalam menghentikan ancaman China di sini.

Tindakan 3 negara ini dalam memperluaskan garis sempadan lautan negara mereka kurang disenangi kerajaan China.

China bertindak balas segera melakukan tuntutan diplomatik kepada PBB yang secara langsung menidakkan apa yang diutarakan ketiga-tiga negara, tiga hari selepas Vietnam dan Malaysia selesai melakukan tuntutan.

Dengan menggunakan peta 'sembilan garisan sempadan' yang menjadi asas kepada tuntutan China, China turut melakukan tuntutan ke atas sebahagian besar bahagian tengah Laut China Selatan berdasarkan kepada hujah mereka adalah tuan punya lautan itu sebelum ini - berdasarkan faktor sejarah.

Malaysia Strikes Back 2019!

saifuddin abdullah bekas menteri luar

Pada 12 Disember 2019, Malaysia sekali lagi mencabar China dalam isu Laut China Selatan.

Negara kita kembali melakukan tuntutan serupa seperti apa yang telah dilakukan bersama Vietnam pada tahun 2009, tetapi kali ini tuntutan Malaysia meliputi kawasan yang jauh lebih besar jaraknya.

Tuntutan kedua Malaysia dilihat menolak cara kerajaan China menentukan saiz 'continental shelf' serta tidak mengambil kira peranan Kepulauan Spratly dan Paracel, yang nyata menyebabkan China berang.

China menyifatkan apa yang dilakukan oleh Malaysia telah mencabar kedaulatan negara mereka (pautan PDF) serta hak mereka ke atas Laut China Selatan.

Sekali lagi kerajaan China secara rasmi mendesak PBB agar tidak melayan tuntutan terbaru Malaysia kerana dikatakan melanggar ketetapan undang-undang antarabangsa.

China terus berdegil enggan menerima keputusan antarabangsa

rakyat vietnam sambut kemenangan filipina

Taktik yang diambil oleh negara kita, Vietnam dan Indonesia sejak mula dipuji banyak pihak kerana menggunakan ketetapan yang telah diputuskan dalam beberapa perbicaraan antarabangsa sebelum ini.

China dilihat terus enggan mengakui beberapa keputusan yang tidak memihak kepada mereka, khasnya melibatkan keputusan perbicaraan arbitrasi Julai 2016 apabila keputusan yang dicapai memihak kepada Filipina.

Pada 3 Januari 2020, kerajaan China sekali lagi mengulangi pandangan serupa berkenaan isu tersebut, setelah kerajaan Indonesia menyuarakan pendapat menolak sebarang tuntutan China ke atas kawasan Laut China Selatan yang menjadi kontroversi.

Tuntutan terbaru Malaysia yang dilakukan secara mengejut pada bulan Disember 2019, dikatakan sangat berkesan kerana beberapa faktor.

Pertama, Malaysia boleh membesarkan garisan sempadan mereka. Kedua, secara langsung Malaysia menolak secara mutlak 'sembilan garis sempadan' lakaran China. Yang terakhir, garis sempadan baru yang dikemukakan Malaysia boleh mewujudkan kerjasama antara Malaysia, Vietnam dan juga Filipina dalam melawan tuntutan China.

Sama ada Filipina berani atau tidak bersama-sama negara Asia Tenggara lain, itu yang menjadi persoalan setakat ini.

Indonesia menyokong Malaysia

jokowi indonesia asean

Banyak pihak percaya insiden kapal China mengekori kapal milik West Capella Petronas yang berlaku untuk beberapa minggu, berpunca daripada tindakan negara kita melakukan tuntutan pada bulan Disember lalu.

Apa yang sangat membanggakan, pada ketika ini tanpa kita sedari wujud kerjasama erat antara negara-negara Asia Tenggara dalam menangani kegilaan China.

Berikutan tindakan mengejutkan Malaysia mencabar China, Indonesia menjadi pihak pertama pada 28 Mei 2020 menyokong tindakan tersebut di peringkat antarabangsa, selepas kerajaan mereka mengeluarkan kenyataan menyangkal sepenuhnya validasi tuntutan China serta mendesak agar China akur kepada ketetapan yang telah dipersetujui.

Perubahan baru ini dikatakan bakal mengubah perspektif politik Indonesia yang dijangka tidak lagi perlu tunduk kepada China, seperti yang telah berlaku sebelum ini.

Tindakan terbaru Amerika Syarikat yang senada dengan Malaysia dan Indonesia pula dikatakan menjadi tamparan terbaru buat China.

Adakah kerjasama Malaysia, Indonesia dan Vietnam (serta Filipina) yang disokong oleh Amerika Syarikat mampu menekan kembali pengaruh China - agar mereka tidak lagi berani menceroboh perairan negara jiran mereka?

Sama-samalah kita tunggu dan lihat bagaimana percaturan-percaturan ini terus berjalan, tanpa kita sedari ia sebenarnya sedang berlaku.

Apa-apa pun, terima kasih kerajaan Amerika Syarikat kerana menyokong negara kecil kami walaupun anda sedang berdepan rusuhan!

Rujukan

Malaysia’s New Game in the South China Sea

Malaysia Should Embrace Compliance on Its Overlapping Continental Shelf Claim




Hakcipta iluminasi.com (2017)