Perkongsian viral berkenaan sindiket-sindiket tertentu yang menculik orang ramai kerap kali dikongsi, namun kerap kali juga dinafikan kebenarannya oleh pihak berkuasa negara kita. Ini membuatkan ramai yang terpinga-pinga tentang kebenaran sebenar perkongsian ini, adakah sengaja direka hanya untuk menakutkan orang ramai atau memang ada asas kenapa perkara sebegitu disebarkan?
BESARKAN TEKS A- A+
Kita kurang dekat dengan kisah bagaimana rakyat Malaysia dijadikan mangsa sindiket pemerdagangan manusia, kerana lebih banyak kisah yang kita dengar berkait dengan mangsa-mangsa negara luar yang akhirnya terdampar di negara kita.
Apakah realiti sebenar masalah ini? Bagi kita yang tidak terlibat dengan aktiviti jahat ini, kita sudah pastilah tidak cakna tentang apa yang berlaku namun berdasarkan kajian yang telah dijalankan - pasti sedikit sebanyak kita dapat membentuk gambaran untuk memahami kronik atau tidak masalah yang seringkali diketepikan, hanya sebagai satu khabar angin yang disebarkan.
Masalah pemerdagangan manusia mengikut benua
Saban tahun, angka penemuan mangsa-mangsa sindiket serta kes-kes penangkapan ahli sindiket di semua benua mengalami peningkatan mendadak, kecuali di Eropah dan juga Asia Tengah. Sejak tahun 2007, benua Afrika menjadi penyumbang utama kes dengan peningkatan lebih 50% jumlah kes setiap tahun.
Masalah ini juga meruncing di kalangan penduduk benua Amerika yang melibatkan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan juga negara Amerika Latin, seperti Brazil dan Argentina.
Bagi kawasan Asia yang meliputi kawasan Asia selatan, Asia timur serta kepulauan Pasifik, statistik memang menunjukkan berlakunya peningkatan setiap tahun, namun peratusannya masih rendah jika dibandingkan dengan kedua-dua benua di atas.
Kenapa statistik kes yang dilaporkan meningkat? United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) berpendapat, jumlah kes didapati meningkat mendadak tahun ke tahun adalah kerana disebabkan kemampuan negara-negara dunia dalam mengenalpasti dan mengawasi kegiatan sindiket seterusnya melakukan penangkapan. Bagaimanapun, pendapat itu tidak terpakai untuk kesemua negara.
Ada negara yang didapati tidak mencatatkan jumlah penangkapan yang meningkat tetapi hanya jumlah mangsa yang hilang mengalami kenaikan mendadak.
Siapakah sasaran mangsa sindiket?
Tidak lama dahulu, laporan berkenaan mangsa sindiket lebih banyak melaporkan berkenaan mangsa daripada golongan wanita dewasa, namun sejak kebelakangan ini kumpulan wanita muda atau remaja didapati telah menjadi sasaran baru sindiket.
Secara keseluruhan, di seluruh dunia mangsa paling ramai datang dari golongan wanita melibatkan dewasa dan remaja, merangkumi 49% daripada keseluruhan mangsa. Bagi lelaki pula, jumlah lelaki dewasa dan remaja yang direkodkan terkena adalah 21% daripada kesemua mangsa.
Apa yang sangat membimbangkan, berlakunya kenaikan pada jumlah peratusan mangsa kanak-kanak perempuan yang kini sekitar 23%, lebih tinggi berbanding lelaki dewasa dan remaja. Kes pemerdagangan kanak-kanak lelaki pula dilaporkan berada sekitar 7% daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan.
Sasaran sindiket juga berbeza-beza mengikut benua. Di Afrika Utara, sasaran utama sindiket melibatkan kanak-kanak lelaki. Sementara itu di Afrika Timur pula, kanak-kanak perempuan dilaporkan lebih kerap menjadi mangsa, sama seperti apa yang berlaku di Amerika dan kepulauan Caribbean.
Bagaimana dengan Asia? Kawasan Asia tengah merekodkan 42% kes lelaki dewasa, 48% kes wanita dewasa, 6% kes kanak-kanak lelaki dan 4% kanak-kanak perempuan. Di sekitar Asia selatan yang merangkumi negara kita; mangsa lelaki dan wanita direkodkan seimbang, sekitar 68% daripada keseluruhan kes yang direkodkan.
Mangsa kanak-kanak lelaki pula tidak sampai 4% tetapi yang perlu anda ketahui - 28% daripada keseluruhan kes sindiket pemerdagangan manusia di Asia selatan pada tahun 2016 merangkumi mangsa kanak-kanak perempuan.
Mengapa mereka diculik dan dijual?
Secara ringkas, ada 3 sebab utama kenapa sindiket pemerdagangan manusia berani melakukan kerja terkutuk ini - yang pertama untuk bekalan sebagai pekerja seks. Yang kedua, untuk dipaksa menjadi pengemis dalam usaha mendapatkan wang orang ramai dan yang ketiga, untuk dijadikan buruh paksa.
Selain itu, wujud beberapa sebab kenapa gerakan sindiket ini mendapat perhatian ramai. Wujud beberapa rangkaian sindiket yang didapati menjalankan aktiviti menyeludup manusia untuk dikahwinkan secara paksa dengan pelanggan yang telah melakukan pesanan, yang sangat kerap berlaku di Asia Tenggara.
Benua Amerika pula giat dengan aktiviti penyeludupan manusia atas sebab memenuhi permintaan ibu bapa yang gagal mendapatkan zuriat tetapi mahu cahaya mata dengan cara mudah; menyebabkan bayi atau kanak-kanak diseludup secara besar di sana.
Bagaimana pula dengan kes-kes pengambilan organ? Perkara ini memang telahpun dibuktikan berlaku melibatkan mangsa-mangsa malang, dengan kebanyakan kes melibatkan warga Afrika.
Antara pekerjaan yang akan 'diwajibkan' pada individu-individu tidak bernasib baik adalah pekerja seks, penghantar barangan bagi militan bersenjata, buruh di kawasan lombong dan juga pekerja-pekerja dalam bidang pembuatan industri serta perkhidmatan.
Sindiket pemerdagangan manusia di Asia
Walaupun banyak kajian dilaporkan berkenaan aktiviti sindiket pemerdagangan manusia, malangnya bukan semua negara akan melaporkan hasil siasatan mereka secara terbuka - dengan lebih banyak negara memilih hanya melaporkan kes-kes melibatkan mangsa sindiket eksploitasi seks, buruh paksa dan lain-lain.
Ini menyebabkan masyarakat tidak mampu mendapat gambaran sebenar tentang realiti sebenar disebalik khabar-khabar angin yang kerap kali disebarkan, termasuklah di Malaysia. Atas kekangan itulah sukar untuk kita menilai sama ada sebaran-sebaran tular ada asas dakwaan atau boleh disangkal sama sekali. Di Asia pada tahun 2016, 60% kes dilaporkan meliputi kes mangsa eksploitasi seksual, 38% dijadikan buruh paksa dengan selebihnya dilaporkan melibatkan tujuan lain.
Wanita dewasa dan remaja tetap menjadi sasaran utama, dengan 48% kes, lelaki dewasa dan remaja 29% kes, kanak-kanak perempuan 19% dan kanak-kanak lelaki 4%. Sekiranya kita fokuskan pada negara kita sahaja, kes-kes sindiket pemerdagangan manusia lebih banyak tertumpu untuk tujuan menyediakan buruh paksa bagi memenuhi permintaan yang ada.
Kebanyakan mangsa sindiket yang datang dari negara Asia kebiasaannya diseludup ke negara-negara Asia lain, dengan 9% dihantar ke Eropah selatan, 6% ke Afrika utara dan Timur Tengah dan 8% ke Amerika utara.
Penglibatan tinggi wanita dalam sindiket pemerdagangan manusia
Anda ingin tahu sesuatu yang sangat-sangat mengejutkan?
Sekiranya ditanya kepada anda, jantina mana kerap kali menjadi dalang kes-kes sindiket; sudah pastilah anda akan menyebut lelaki. Bagaimanapun, golongan wanita didapati menjadi individu yang hampir seiring bergerak aktif menjalankan aktiviti sindiket dengan Myanmar dan Thailand menjadi pusat utama kumpulan wanita ini.
Di Asia timur, golongan wanita merangkumi 48% ahli sindiket yang telah didakwa terlibat dalam jenayah ini dengan 46% kes-kes melibatkan ahli sindiket wanita telah pun dijatuhkan hukuman pada tahun 2016. Ini menunjukkan wujudnya keseimbangan jantina di kalangan ahli sindiket sendiri dalam menjalankan kegiatan mereka.
Negara yang kita sayangi menjadi destinasi penyeludup menyembunyikan mangsa-mangsa yang datang daripada Indonesia dan Filipina, sementara jiran kita pula Thailand menjadi negara transit kepada mangsa dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.
Jadi begitulah serba sedikit rumusan yang dapat kami kongsikan bagi memberikan anda gambaran awal tentang realiti sebenar kes-kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia, yang dijalankan oleh sindiket-sindiket licik.
Kami akui kami gagal menjawab soalan benar atau tidak wujud sindiket penculikan orang ramai untuk proses pengambilan organ, selagi mana pihak kerajaan kita tidak melaporkan kejadian tersebut secara rasmi. Apa yang boleh kita buat?
Teruskan berhati-hati. Lindungi keluarga kita setiap masa.
Rujukan
Global Report onTrafficking in Persons 2018 (fail PDF 12.7MB)