Oleh pada 25 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Hael Husaini

Penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Pematah Hati, Nabila Razali akui Hael Husaini mempunyai beberapa ciri-ciri lelaki idamannya.

Nabila, bagaimanapun belum lagi ingin berbicara soal jodoh kerana jejaka itu dianggapnya tidak lebih daripada sekadar kawan.

hael husaini ada bersama saya sejak zaman saya dikutuk nabila razali 2

Kredit foto: Instagram Nabila Razali

"Mana-mana lelaki pun ada ciri-ciri lelaki idaman saya. Untuk Hael, saya akui dia bapa yang penyayang.

"Kalau ditanya mengenai ciri-ciri lebih spesifik, saya mahukan lelaki yang berpenampilan kemas dan pembersih.

"Tak dinafikan, semua itu ada pada Hael cuma yang tidak ada adalah dari segi ketinggian," katanya kepada portal Harian Metro, ketika ditemui di Festival Gegaria Ipoh.

Dalam pada itu, Nabila akui telah mempunyai hubungan yang rapat dengan komposer itu sejak penyertaan dalam rancangan pencarian bakat, Akademi Fantasia 2013 lagi.

Hubungan teman seangkatan ini awalnya atas dasar profesional untuk menyempurnakan kerja, namun disalahtafsir peminat yang membuat andaian kononnya mereka bercinta.

hael husaini ada bersama saya sejak zaman saya dikutuk nabila razali 3

Kredit foto: Instagram Nabila Razali

"Pada ketika itu, dia banyak membantu saya dari segi persembahan dan sebagainya. Sehingga kini, dia juga banyak membantu dari sudut pemilihan lagu dan sebagainya.

"Kerana itu, saya dan dia lebih selesa dan kerapatan kami itu membuatkan ramai salah faham sehingga menganggap kami sedang bercinta," katanya.

Penyanyi berusia 26 tahun itu mendedahkan Hael adalah insan yang bersamanya ketika dirinya masih belum dikenali umum.

"Pendek kata, dia ada bersama saya sejak zaman saya dikutuk sehinggalah sekarang apabila saya sudah mula mendapat tempat di dalam industri," katanya.

Hubungan pasangan ini mula hangat diperkatakan sejak Nabila menangis menyambut kemenangan Hael di Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) menerusi lagu Jampi.

Dalam perkembangan lain, beliau bakal menjayakan penggambaran drama terbaru, Cintaku di Bumi Izmir dalam tempoh terdekat ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)