Kredit foto: Youtube Gerak Geri Artis
Penyanyi Nabila Razali tidak sangka aksinya menangis sewaktu Hael Husaini bergelar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Ahad lalu, mencuri perhatian umum.
Lagi pula, ada yang menggelarkannya 'over' dan seperti sengaja meminta perhatian.
Begitupun, Nabila menafikan dakwaan yang tersebar dengan menganggap ia hanyalah persepsi orang ramai.
Kata pelantun lagu Pematah Hati ini, dia berasa tersentuh melihat pencapaian diraih rakannya, Hael selepas penat bekerja keras.
“Tangisan itu adalah untuk kejayaan sahabat saya, Hael berjaya meraih pencapaian luar biasa pada malam itu.
“Kami dah kenal lama dan saya tahu bagaimana dia bekerja keras untuk memajukan dirinya dalam industri.
“Jadi bila lagu Jampi diumumkan sebagai pemenang, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira sehingga menitiskan air mata,” jelasnya.
Jujurnya, kata Nabila, bukan dia sahaja yang menangis melihat momen itu, malah disertai rakan-rakan seperjuangan Hael yang lain, termasuk Indah Ruhaila.
“Ramai yang menitiskan air mata sebaik saja Hael diumumkan sebagai pemenang, termasuklah Indah, namun orang hanya nampak saya kerana kebetulan kamera dihalakan ke arah saya.
“Saya sendiri tidak perasan aksi itu dirakamkan kerana terlalu fokus kepada apa yang berlaku di atas pentas.
“Bangga dengan Hael yang dapat pengiktirafan sebegitu meskipun ini merupakan penyertaan pertamanya di AJL,” katanya.
Dalam pada itu, Nabila hanya mampu ketawa apabila diminta mengulas dakwaan peminat kononnya dia beremosi disebabkan mempunyai hubungan istimewa dengan Hael.
“Bila baca komen netizen yang macam-macam tu, buat saya ketawa sendiri. Sampai macam tu mereka fikir.
“Soal kamera asyik fokus kepada saya ketika itu, saya sendiri pun tidak tahu kenapa.
“Mungkin kerana sebelum itu pengacaranya, Sherry AlHadad dan Alif ada menyanyikan lagu saya, yang merupakan ciptaan Hael. Jadi sebab itulah kamera fokus ke arah saya,” katanya.
Sumber berita: Sinar Harian