Kredit foto: Instagram Diana Danielle
“Beri kami ruang untuk menyelesaikan perkara ini dulu. Saya tidak akan beri sebarang komen buat masa sekarang. Terima kasih”.
Begitulah respon isteri kepada Datuk Farid Kamil, aktres Datin Diana Danielle, 26, tentang kes penahanan suaminya petang semalam.
Dalam pada itu, ibu kepada Diana, Norsiah Ramli pula mengakui hanya mendapat tahu berita tersebut daripada pihak media.
Norsiah juga memohon agar persoalan itu diajukan kembali kepada keluarga Farid.
“Saya terkejut mengenai berita ini. Saya baru dapat tahu selepas dimaklumkan rakan media.
“Jadi saya tidak tahu dan tidak boleh nak komen lanjut. Ada baiknya hubungi keluarga Farid sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Mengimbas 'episod panas' penahanan aktor itu, Farid hadir di Balai Polis Trafik Kota Damansara semalam, bersama seorang rakan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya.
Ketika ditanya tentang motif laporan itu dibuat, Farid menayangkan mesej aplikasi Whatsapp bertajuk '300 artis hutang ah long'.
Kemudian beliau dengan tidak semena-mena menjadi berang sebelum menampar anggota polis sambil disaksikan seorang anggota lain dan tiga orang awam.
Malah dia turut menyepak dua orang awam lain.
Susulan itu, beliau ditahan dan hasil ujian air kencing mendapati pelakon itu positif dadah jenis ganja.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata, Farid kini disiasat kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis mengikut Seksyen 90 Akta Polis serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.
Sumber berita: Harian Metro