Oleh pada 03 Aug 2021 kategori

Pada 27 Julai 1996, Eric Rudolph telah meledakkan bom di Centennial Olympic Park di Atlanta, Georgia, seminggu selepas bermulanya Sukan Olimpik Atlanta 1996. 

Pihak FBI mengambil masa selama dua tahun untuk mengenal pasti dalang pengeboman itu. Eric dikenal pasti sebagai suspek setelah beberapa bulan dia mengebom sebuah klinik pengguguran janin di Alabama pada 29 Januari 1998.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, pihak berkuasa masih gagal menangkapnya dan Eric terus melakukan dua lagi pengeboman lain melibatkan sebuah bar lesbian dan sebuah lagi klinik pengguguran janin.

Permulaan kepada pemikiran ekstremis

Eric Robert Rudolph sebenarnya dibesarkan dalam keluarga yang kuat agama. Namun, kepercayaannya mula goyah apabila bapanya meninggal dunia akibat kanser ketika Eric berumur 15 tahun.

Dia mempersoalkan kewujudan tuhan mula menyalahkan kerajaan Amerika kerana tidak meluluskan ubat yang dipercayai dapat membantu bapanya. Ibunya pula ingin memulakan kehidupan baru dan berpindah ke North Carolina. Di sinilah, pemikiran radikal Eric Rudolph bermula.

eric rudolph 2 526

Eric banyak menghabiskan masa dan terpengaruh dengan jirannya, Thomas Wayne Branham. Mereka sering menyertai seorang pendakwah yang anti-Sematic, rasis dan homofobia di Missouri.

Dia kemudian menyambung pelajaran sebelum menyertai Tentera A.S. Pada waktu inilah Eric banyak belajar mengenai bahan letupan. Beberapa tahun kemudian dia diberhentikan tugas atas masalah disiplin. 

Ketika ini, kebenciannya terhadap kerajaan semakin membuak-buak. Pada tahun 1996, dia mula bertindak.

Bagaimana Eric Rudolph menjadi Pengebom Atlanta

Ketika itu, Eric Rudolph mula menggunakan pelbagai nama samaran seperti Bob Randolph dan Bob Rudolph. Dia tahu bahawa dia akan menjadi buruan pihak berkuasa apabila merancang untuk melakukan serangan ketika Sukan Olimpik Atlanta 1996

Tujuannya melakukan serangan itu adalah untuk menyatakan kemarahannya dan memalukan kerajaan Amerika di mata dunia kerana meluluskan undang-undang pengguguran janin dan hak golongan LGBT.

pengeboman olimpik 1996 668

Eric telah menempatkan sebuah beg yang mengandungi tiga bom paip berisi serbuk letupan dan paku di bawah sebuah kerusi di Centennial Park. Dia kemudian menetapkan masa selama 55 minit pada bom dan beredar. 

Eric kemudian membuat panggilan kepada 911 di sebuah pondok telefon. Eric berkata "Terdapat sebuah bom di Centennial Park dan anda ada 30 minit." 

Pada masa yang sama, seorang pengawal keselamatan bernama Richard Jewell sudah menyedari kehadiran sebuah beg yang mencurigakan dan mengarahkan orang ramai untuk mengosongkan kawasan itu. Jewell juga melaporkan kepada Tom Davis, seorang agen Biro Penyiasatan Georgia yang bertugas pada malam itu.

Skuad bom juga hadir dan mengesahkan beg itu mengandungi bahan letupan. Tepat jam 1.25 pagi, beg itu meletup. Letupan kuat itu menyebabkan dua orang terkorban manakala 111 yang lain cedera.

Pemburuan Pengebom Atlanta bermula

Richard Jewell dianggap wira kerana tindakan pantasnya menyelamatkan lebih banyak nyawa. Namun, pihak FBI telah menamakan Jewell sebagai suspek utama pada mulanya dan dia telah disiasat selama 88 hari.

richard jewell

Richard Jewell

Ketika pihak berkuasa dan media tertumpu pada Jewell, Rudolph merancang tiga lagi serangan berikutnya. Tiga siri pengeboman yang dilakukan Eric telah mengorbankan nyawa seorang pegawai polis dan mencederakan beberapa yang lain.

Pada serangannya yang keempat, beberapa saksi mendakwa terlihat kenderaan yang dibawa Eric meninggalkan tempat kejadian sebelum berlakunya letupan. Pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap ke atas Eric Rudolph pada 14 Februari 1998.

Malah, FBI meletakkan Eric sebagai 10 Individu Paling Dikehendaki dengan ganjaran USD 1 juta. Pihak berkuasa menghabiskan banyak dana dan melakukan pelbagai cara untuk mengesannya tetapi Eric berjaya mengelak daripada ditangkap selama hampir lima tahun.

Pengebom Atlanta akhirnya tumpas

Eric Rudolph akhirnya ditangkap pada 31 Mei 2003. Walaupun pihak FBI sudah berbelanja puluhan juta untuk mengesannya, Eric akhirnya ditahan oleh seorang polis muda yang tidak mengenalinya.

Pegawai polis berusia 21 tahun bernama Jeffrey Postell telah menahan Eric yang kelihatan mencurigakan ketika sedang menyelongkar sampah. Ketika itu, Eric memperkenalkan dirinya sebagai Jerry Wilson.

fbi eric rudolph

Apabila dibawa ke balai, polis lain melihat Eric dan membandingkannya dengan poster yang dikeluarkan oleh FBI. Eric tersenyum sambil berkata "Ya, saya Eric Rudolph dan anda sudah berjaya menangkap saya."

Penangkapan Pengebom Atlanta itu menggemparkan seluruh negara. Eric mendakwa bahawa dia bersembunyi di Hutan Negara Nantahala dan memburu haiwan untuk meneruskan hidup. Namun, FBI percaya Eric mempunyai rakan subahat yang membantunya walaupun kekurangan bukti.

Setelah dua tahun dalam perbicaraan, Eric mengaku bersalah atas empat pengeboman dan meminta agar tidak dihukum mati. Dia telah dijatuhkan empat hukuman penjara seumur hidup. Eric menjalani hukumannya di ADX Florence Supermax Prison di Colorado.




Hakcipta iluminasi.com (2017)