Kredit foto: Instagram @dinischatzmann
Tindakan Janna Nick yang kerapkali muncul di ruangan komen laman sosial aktor Dini Schatzmann mengundang spekulasi bahawa pasangan ini sedang diulit cinta.
Tidak sekadar itu, mereka dilihat datang dan duduk bersebelahan sewaktu majlis anugerah hiburan yang berlangsung baru-baru ini.
Dini, 25, bagaimanapun saat diajukan pertanyaan sejauh manakah kesahihan dakwaan terbabit, hanya mampu menafikan.
Kredit foto: Instagram @dinischatzmann
“Kami tidak bercinta, tetapi agak rapat sebagai kawan.
“Jadi, Janna banyak memberikan nasihat kepada saya mengenai industri ini, tidak lebih daripada itu. Mungkin sikapnya yang mesra dan suka meninggalkan komen di Instagram saya menyebabkan gosip kami bercinta boleh timbul.
“Kami mula rapat apabila sama-sama menjayakan drama, Bukan Cinta Aku, siaran TV3. Malah, kami semakin kerap berjumpa apabila Janna menggunakan khidmat saya sebagai jurulatih peribadi,” katanya kepada portal BH Online.
Sebagai pendatang baharu, pelakon berdarah campuran Melayu-Swiss ini berharap, gosip itu tidak akan mengganggu karier seninya yang baru hendak bernafas.
Diminta reaksinya berhubung percutian mereka ke Jepun baru-baru ini, pelakon Cik Reen Encik Ngok Ngek itu menegaskan, ia turut membabitkan sekumpulan teman lain.
“Seperti dapat dilihat di laman sosial saya, kami ke sana kerana mempromosikan sebuah jenama syarikat penerbangan.
“Pemergian kami juga turut diiringi pihak pengurusan masing-masing,” katanya yang turut menyifatkan Janna sebagai satu-satunya rakan karib dalam dunia hiburan.
Sumber berita: BH Online