Sumber foto: Free Malaysia Today
Sebuah sindiket penipuan pelaburan emas yang melibatkan pengaruh kerabat diraja bagi tujuan promosi berjaya ditumpaskan oleh pihak polis dengan penangkapan 6 suspek menerusi siri operasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Sebahagian daripada mereka yang ditangkap menerusi operasi tersebut yang dibuat pada 26 Januari lepas adalah seorang yang bergelar Datuk Seri dan 3 orang Datuk.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, kesemua suspek yang berumur antara 42 sehingga 62 tahun itu ditangkap setelah polis mendapat 193 laporan melibatkan kerugian RM27.5 juta di seluruh negara melibatkan sindiket terbabit sejak Oktober 2015 hingga Disember 2017.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah syarikat dan penganjur dalam skim terbabit termasuk masing-masing seorang individu bergelar Datuk Seri dan kerabat diraja serta tiga individu bergelar datuk.
"Dalam serbuan itu, kami turut merampas lapan kenderaan mewah milik suspek, lapan telefon bimbit, tiga kad ATM, empat kepingan emas, tiga jam tangan berjenama, lima buku cek dan wang tunai RM200,000," ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, hari ini.
Amar Singh memberitahu, sindiket tersebut menyediakan 2 pelaburan utama iaitu jual beli jongkong emas dan minyak berserta hasil menguntungkan untuk jangka waktu 9 bulan.
"Bagi skim pelaburan jongkong emas, pelabur dijanjikan pulangan lumayan dua peratus sebulan, manakala pelaburan minyak sebanyak 15 peratus setiap bulan bagi tempoh sembilan bulan.
"Malah, suspek turut mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja serta orang kenamaan bagi menambah keyakinan pelabur terhadap skim ini," ujarnya.
Beliau memberitahu suspek ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013.
"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
"Pelabur diminta membuat pengesahan daripada agensi berkaitan terlebih dulu bagi memastikan kesahihan sesuatu skim pelaburan yang ditawarkan," terangnya.
Sumber berita: BH Online