Kredit foto: Sinar Harian
Menurut kerajaan negeri Perak, Pulau Pangkor dijangkakan boleh dijadikan sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya seperti diumumkan ketika Bajet 2018, dalam tempoh seawal suku ketiga tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa siri mesyuarat peringkat negeri dan pusat melibatkan semua pihak terlibat menerusi pelaksanaannya diadakan secara kerap, yang menjurus kepada pengendalian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
"Kita jangkakan ia dibuka pada suku ketiga tahun ini, namun ia bergantung kepada perbincangan dan beberapa perjanjian yang akan ditandatangani manakala fokus ketika ini banyak membabitkan logistik," ujarnya.
Beliau ditemui pemberita setelah mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Selasa lalu.
Zambry memberitahu, perincian aspek logistik dan prasarana dalam pengurusan sebuah pulau bebas cukai itu agak memakan masa disebabkan usaha menjadikan sesuatu kawasan lokasi bebas cukai tidak senang.
"Ia memerlukan perincian seperti menentukan lokasi pemeriksaan dan barang larangan serta jualan.
"Begitu juga keperluan logistik yang tidak hanya membabitkan Jabatan Kastam Diraja, tetapi juga beberapa jabatan berkaitan.
"Kita memberi perhatian hal ini dan perbincangan sudah dibuat untuk menentukan lokasi bersesuaian," ujarnya.
Kredit foto: Kosmo Online
Tambah beliau, antara lain yang turut dibincangkan adalah beberapa aspek teknikal yang diperhalusi, termasuk penetapan berapa lama tempoh menginap yang wajar bagi membenarkan pelancong membeli barangan bebas cukai di pulau terbabit.
Selain itu, kerajaan negeri terdahulu ada menyarankan satu-satu tempoh, sejajar dengan trend kedatangan pelancong ke pulau berkenaan.
“Kita cadangkan agar tempoh itu tidak terlalu panjang kerana kebanyakan pelancong yang datang ke Pangkor bukan untuk tinggal berhari-hari, paling tidak 24 jam. Harap perkara ini diberi penilaian sebaiknya oleh pihak berkuasa,” luahnya.
Semasa membentangkan Bajet 2018 tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai, kecuali bagi minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.
Sumber berita:
1. Bernama
2. Kosmo Online
3. BH Online
4. Sinar Harian