Sumber foto: Kosmo Online
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin memberitahu kadar elaun bulanan baru bagi Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dinaikkan dari RM1,500 kepada RM2,000.
Pemberian khabar baik buat pelatih skim itu dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak semasa ucapan perasmian Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, kelmarin.
Perdana Menteri memberitahu, beliau mengumumkan berita gembira itu setelah Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, melakukan sebuah permohonan khas kepadanya sejurus sampai di Dewan MAEPS.
"Semasa tiba, saya dibisikkan oleh Hajah Norashikin Ismail untuk umumkan sesuatu sebagai hadiah kepada semua (peserta SL1M).
"Jadi, saya dengan ini mengumumkan elaun SL1M akan dinaikkan daripada RM1,500 sebulan kepada RM2,000 sebulan," ujarnya.
Tindakan ini adalah suatu usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan graduan menganggur di negara ini.
“Mudah-mudahan generasi muda hari ini bersama-sama dengan kita untuk mencorak masa depan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga meluahkan penghargaan terhadap semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam menjayakan SL1M.
Sehingga kini, 70 peratus daripada graduan yang menyertai SL1M diserap masuk ke bidang pekerjaan.
"Lebih 140,000 peserta dapat peluang dalam SL1M setakat Disember 2017," ujarnya lagi.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, kenaikan elaun itu bakal berkuat kuasa pada tahun ini.
"Ia akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 25,000 peserta SL1M yang baharu," ujarnya.
Program SL1M yang dilancarkan pada 1 Jun 2011, merupakan sebuah program kebolehpasaran bagi menolong graduan menganggur menambahkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan pengetahuan, skil dan pengalaman bekerja, sekaligus memberi peluang yang lebih cerah bagi mereka memperoleh pekerjaan.
Majlis itu menyaksikan kehadiran lebih 5,000 peserta SL1M. Selain itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga datang memberikan sokongan.
Sumber berita: BH Online & Astro Awani