Kredit foto: Sinar Online
Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' direman selama 4 hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bernilai RM3 juta, untuk mempengaruhi siasatan kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
Majistret Eng Kar Wen semalam mengeluarkan perintah reman, bermula semalam hingga 6 Mac ini ke atas suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya, setelah mengizinkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum itu, lelaki berumur 64 tahun itu hadir di Mahkamah Majistret pada pukul 9.10 pagi dengan mengenakan pakaian lokap SPRM berwarna jingga dalam keadaan tangannya bergari.
Suspek ditahan SPRM di sekitar ibu negara pada pukul 3.30 petang, kelmarin.
Sehingga kini, suspek adalah individu kedua yang direman untuk membantu siasatan SPRM kerana dipercayai terbabit menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.
Difahamkan, suspek didakwa menerima wang daripada sebuah syarikat pembinaan utama projek berkenaan setelah dia dikatakan mampu 'menyelesaikan' siasatan yang sedang dilakukan oleh SPRM.
Pihak syarikat itu dipercayai membayar wang bernilai RM3 juta melalui 4 transaksi pada tahun lepas.
Pada mulanya, suspek memohon RM4 juta sebagai habuan untuk menutup siasatan kes oleh SPRM itu, tetapi ditolak menjadi RM3 juta sebaik rundingan dibuat.
Sumber berita:
1. Bernama
2. Kosmo Online
3. Harian Metro