Apabila disebut pelaburan, minda kita akan mula membayangkan kaedah-kaedah pelaburan berteraskan emas, wang, hartanah dan mungkin juga barangan antik serta karya seni - sebagai peluang membiakkan kekayaan.

Jarang set-set permainan kanak-kanak LEGO dijadikan fokus pelaburan yang menguntungkan, kerana tidak ramai menyedari set bongkah popular LEGO mempunyai tambah nilai tahunan yang sangat baik setiap tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda set LEGO sebenarnya mampu menjadi alternatif bentuk pelaburan yang lebih baik prestasinya berbanding emas?

Lego adalah pelaburan yang berprestasi tinggi

lego set tema star wars pelaburan

Kebelakangan ini, saham ASB di negara kita agak rendah kadar pulangannya berbanding beberapa tahun sebelum.

Walaupun angka itu masih baik jika kita bandingkan dengan kaedah pelaburan pasif lain, LEGO pula telah menunjukkan purata pulangan kenaikan nilai tahunan hampir dua kali ganda berbanding kadar dividen ASB.....sejak tahun 1987.

Secara purata, daripada 2,322 set permainan LEGO yang dikeluarkan sejak tahun tersebut mencatatkan tambahan nilai purata di antara 10 ke 11% setiap tahun, sekiranya nilai pasaran semasa diambil kira. Setiap tahun!

Bagi sesetengah set LEGO yang lebih bernilai, pertambahan nilai harga pasarannya jauh lebih tinggi. Untung besar siapa yang memilikinya.

Kumpulan penyelidik dari Higher School of Economics (HSE) University yang beroperasi di Moscow, Russia mendapati julat susut dan pertambahan nilai kesemua 2,322 set LEGO berada di antara -500% sehinggalah 600%, menunjukkan jika anda pandai menilai potensi mungkin tak susah untuk anda gandakan pelaburan anda.

Lima set LEGO paling bernilai

lego ultimate star wars

HSE mendapati wujud kecenderungan yang membezakan potensi pelaburan set-set LEGO yang dikaji.

Mereka mendapati set LEGO yang mempunyai tema tertentu berdasarkan kepada lokasi bersejarah ataupun direkabentuk berdasarkan karya fiksyen, mempunyai pertambahan nilai purata lebih tinggi berbanding set LEGO berkonsep am.

Dalam kajian HSE, set LEGO paling berharga adalah set LEGO Ultimate Millenium Falcon yang diambil daripada filem Star Wars.

Dikeluarkan pada tahun 2007 dengan harga 'hanya' RM2200 ($510), kini set sama mampu dijual pada harga RM16,850 selepas 13 tahun dilancarkan.

lego cafe corner

Walaupun demikian, pulangan paling menguntungkan dari kadar pelaburan dimiliki set LEGO Cafe Corner (atas) yang turut dikeluarkan pada tahun 2007.

Set tersebut dijual pada harga RM559 ($134) meningkat naik nilainya kini mampu mencecah RM13,300.

Carian kami di gedung beli belah dalam talian tempatan mendapati set sama telah berjaya dijual pada harga RM7000. Sayang kami tak beli!

3 lagi set paling bernilai daripada 2,322 set yang diambil kira adalah set LEGO Taj Mahal edisi 2008 (RM1250 naik kepada RM11,500), LEGO Death Star II edisi 2005 (RM1550 naik kepada RM9480) dan set LEGO Star Wars Imperial Star Destroyer edisi 2002 (RM1050 naik kepada RM9119).

Bukan semua set LEGO berpotensi dijadikan pelaburan

set lego sebagai pelaburan bernilai

Walaupun dari segi puratanya peluang untuk anda menjana keuntungan hasil kenaikan harga set LEGO agak cerah, harus juga kami ingatkan bukan semua produk set keluaran LEGO sama.

Ada beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum anda bergegas keluar membeli LEGO di gedung beli-belah sama ada secara dalam talian atau kedai fizikal.

Yang pertama seperti sudah kami jelaskan - set LEGO yang dibentuk berasaskan tema tertentu seperti lokasi dunia sebenar dan karya popular mempunyai peluang lebih cerah untuk jadi lebih bernilai.

Kedua, set yang sudah ditamatkan pengeluarannya mempunyai potensi lebih tinggi untuk menjadi lebih berharga.

Bagaimanapun, kebanyakan set LEGO yang menampakkan kenaikan nilai, secara puratanya hanya mula menguntungkan pemiliknya selepas 3 tahun siri itu ditamatkan pengeluarannya.

Ini bermakna ada kemungkinan anda perlu menyimpan terlebih dahulu set yang anda rasakan berpotensi, untuk satu tempoh yang panjang.

Penyelidik dari HSE menyimpulkan bahawa pada ketika ini, tidak ramai pelabur benar-benar dapat melihat prospek pelaburan yang ada pada set LEGO - mengakibatkan pasarannya juga kecil berbanding kaedah lain.

Kajian terperinci terhadap LEGO sebagai sebuah instrumen pelaburan juga jarang dijalankan.

Walaupun demikian HSE percaya kos permulaan pelaburan yang rendah berbanding banyak kaedah pelaburan lain, bakal membuatkan pelaburan berasaskan LEGO hanya menunggu masa untuk meledak.

Apatah lagi selepas banyak set LEGO yang dikaji dibuktikan konsisten mengalami pertambahan nilai harga pasaran, walaupun dunia pernah berdepan krisis kewangan tahun 2008.

Cabaran paling besar bagi mereka yang ingin mencuba instrumen pelaburan unik ini hanya satu; bagaimana nak pastikan set LEGO yang sudah dibeli tidak dibuka oleh anak-anak kita yang teringin memainkannya.

Atau bagaimana nak tahan diri kita sendiri yang gian nak cuba membinanya.

Rujukan

LEGO: THE TOY OF SMART INVESTORS

Toys Prove to Be Better Investment Than Gold, Art, and Financial Securities




Hakcipta iluminasi.com (2017)