Kredit foto: Instagram Lan Solo
Penyanyi Lan Solo akui risau apabila mendapat tahu dahi anak lelakinya, Akid koyak sewaktu sedang menghadiri sesi temubual di konti radio.
Bintang Gegar Vaganza musim keempat itu, bagaimanapun bersyukur kerana kecederaan dahi kanak-kanak berumur empat tahun itu tidaklah seserius sebagaimana yang pernah dialaminya sebelum ini.
Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, terdahulu pernah berdepan insiden sama membabitkan anak kecil itu hingga terpaksa mendapatkan tujuh jahitan.
Kredit foto: Instagram Lan Solo
“Sewaktu insiden, saya dan isteri berada di konti Suria FM menghadiri temubual. Anak-anak kami tinggalkan bersama neneknya di Puchong.
“Ketika temubual itu berlangsung, neneknya tiba-tiba membuat panggilan bertalu-talu dan memberitahu dahi Akid terkoyak. Kami meminta mereka menghentikan pendarahannya sebelum bergegas balik dan membawa Akid ke hospital.
“Syukur, kecederaannya tidak serius dan hanya perlu digam. Berbanding sebelum ini, dahi anak saya pernah terkoyak dan menerima tujuh jahitan,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, melalui Instagram, bekas vokalis Kristal itu memuat naik video dan foto anaknya yang menjalani rawatan di hospital.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada para peminat yang menunjukkan sikap prihatin terhadap kesihatan Akid walaupun kecederaan yang dialami itu tidaklah seberat mana.