Kredit foto: hangat.com

Berada di lokasi sama sewaktu sambutan tahun baru Ahad lalu, gitaris kumpulan Kristal, Rody mengakui dia tertunggu-tunggu kemunculan bekas vokalis kumpulannya, Lan Solo.

Rody yang bersedia untuk bersemuka dengan Lan bagaimanapun berkata, penyanyi itu tidak berada di khemah belakang pentas.

"Kami ada menjayakan persembahan pada malam tahun baru. Dia datang dengan Siti Nordiana, manakala saya bersama Datuk Hattan.

"Saya tunggu juga dia di khemah belakang pentas tapi dia tiada, selepas itu dia terus naik ke pentas, mungkin dia menunggu di tempat lain," kata Rody, 32, kepada portal Mstar Online.

Beliau menjawab pertanyaan tentang status terkini hubungannya dengan finalis akhir Gegar Vaganza musim keempat itu.

Rody atau nama lengkapnya, Mohd Rodi Baharudin, mengaku belum menerima panggilan atau respon daripada Lan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda mereka sebelum ini.

Sementara itu, Rody berkata, dia dan Kristal bersikap profesional untuk berkongsi pentas dengan Lan sekiranya ada undangan daripada penganjur. 

"Alhamdulillah tiada masalah, Kristal masih ada undangan jadi kumpulan pengiring untuk beberapa program televisyen.

"Macam saya cakap, kami dengan Kristal dan dia secara solo, jadi masing-masing cari rezeki. Kalau ada orang nak kami buat persembahan bersama kenalah jadi profesional," ujarnya.

Mengulas perkembangan kerjaya seni, Rody berkata, Kristal kini sedang dalam pencarian vokalis baru.

Malah mereka merancang untuk memperbaharui dan menjenamakan semula kumpulan rock tersebut.

"Banyak pembaharuan yang sedang dirancang untuk Kristal. Selain mencari vokalis, kami juga buat penjenamaan semula dari segi lagu-lagu kami dan logo. Genre masih kekal rock," ujarnya.

Terdahulu, Lan atau Razlan Mohamed Yusof, 32, meninggalkan Kristal selepas Rody bertindak merehatkan beliau sebagai vokalis kumpulan itu.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)