Oleh pada 26 Feb 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Sheila

Penyanyi Lan Solo menegaskan dia tidak berasa malu dikurniakan bayi yang mempunyai masalah sumbing.

"Memang bayi saya sumbing dan ini adalah rezeki yang Allah SWT berikan pada kami sekeluarga.

"Saya dan isteri menerima dengan reda dan Alhamdulillah, kami positif dikurniakan anak istimewa ini," katanya.

Lan atau nama lengkapnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata dia tidak bermasalah menayangkan wajah bayi mereka, Nur Amna Quxandra yang baru dilahirkan pada 24 Februari lalu.

"Buat apa kami nak malu. Lagi pun, masalah sumbing bayi kami tidaklah teruk sangat. Nur Amna Quxandra hanya sumbing di bibir saja.

"Ia tidak membabitkan lelangit dan hidung. Jadi, saya bersyukur anak istimewa kami hanya diuji dengan sumbing yang sedikit.

"Doktor pun ada memberitahu, pembedahan boleh dilakukan ke atas bayi kami apabila beratnya sudah mencecah 5 kilogram," katanya.

Menurut penyanyi yang bakal muncul dengan single solo terbaharu berjudul Berpisah Tanpa Rela ini, berat anaknya itu baru sahaja mencecah 2.5 kilogram.

Sementara itu, isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 33, akui sudah sedia maklum dengan keadaan sumbing bibir bayinya sejak beliau dalam kandungan lagi.

"Ketika itu, kandungan saya berusia 27 minggu dan apabila doktor memberitahu saya bersyukur dapat menerima dengan hati terbuka.

"Apapun, ada juga orang yang bertanya adakah Lan pergi memancing atau saya ada menggunting apa-apa. Semua itu, tidak pernah kami lakukan.

"Bagi saya, sudah rezeki kami dikurniakan seorang anak yang istimewa. Apa yang penting, bayi saya selamat dilahirkan dan sihat," ujarnya.

Sheila berkata, tiada sebab untuk mereka menyembunyikan wajah bayi itu daripada pandangan masyarakat.

"Sebagai ibu, Nur Amna Quxandra adalah bayi yang saya kandung dan lahirkan. Saya bangga dengan anak saya dan kini saya pun makin banyak kumpul ilmu mengenai masalah bibir sumbing," katanya.

Lan dan Sheila yang berumah tangga pada 5 Disember 2009, kini mempunyai tiga cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)