Fenomena populariti 'vape' berlaku di mana-mana, menjadi alternatif kepada mereka yang merokok. Seringkali dipasarkan sebagai 'pilihan yang lebih sihat' berbanding rokok tembakau biasa, persoalannya - adakah dakwaan ini ada asasnya?

Persoalan itu sebenarnya tidak dapat dijawab oleh mana-mana pihak, termasuklah mereka yang mempopularkan dakwaan sebegitu - kerana kajian tentang kesan baik buruk peranti rokok elektronik atau electronic cigaratte vapour (ECV) kepada tubuh seseorang, belum lagi dijalankan sepenuhnya secara saintifik.

Bagaimanapun, beberapa kajian telah berjaya menunjukkan petanda-petanda awal, bahawa teknik pemasaran dengan meletakkan ECV sebagai alternatif lebih sihat kepada rokok bersifat ekstrak tembakau atau CSE (cigarette smoke extract), hanyalah umpan jualan yang tidak mempunyai dalil kukuh.

Vape lebih baik berbanding rokok tembakau?

jualan vape meningkat

Tidak dapat dinafikan dalam satu dekad lalu, rokok elektronik mula menjadi alternatif kepada perokok - seringkali dikatakan lebih baik serta kurang memudaratkan. Pendapat ini turut sama disokong pengamal perubatan yang mengakui keberkesanannya menghentikan tabiat merokok; membolehkan populariti ECV naik mendadak.

Pendapat inilah yang menyebabkan berlakunya kenaikan ketara pengguna ECV, daripada 7 juta di seluruh dunia pada tahun 2011 naik kepada 41 juta bagi tahun 2018.

Malangnya peningkatan untuk turut sama mula menimbulkan kontroversi selepas penggunaan ECV mula menambahkan peningkatan pengguna kali pertama, seterusnya mengakibatkan propaganda keberkesanannya sebagai alat berhenti rokok mula tidak lagi menjadi agenda utama.

Fenomena mula belajar 'vaping' menjadi ikutan anak muda yang sebelum itu tidak pernah merokok, membuktikan masih banyak masyarakat dunia perlu belajar sebelum mengeluarkan dakwaan positif tentang ECV sesuka hati.

Bagi mengenalpasti adakah wujud kebenaran seperti yang digembar-gemburkan, sekumpulan penyelidik daripada Queens University, Belfast, Ireland telah pun melakukan kajian tentang kesan tabiat menghisap ECV berbanding rokok tembakau - pada bakteria yang ada dalam paru-paru kita.

Kesan menghisap rokok pada bakteria dalam paru-paru

kesan vape pada paru paru

Kajian yang dijalankan itu mempunyai matlamat untuk mengukur tahap 'virulence'; kondisi di mana bakteria dalam badan kita mampu menyebabkan tahap kesihatan badan menurun apabila didedahkan kepada bahan dalam ECV dan CSE.

Ini berdasarkan kepada kajian-kajian sebelum ini yang berjaya membuktikan beberapa jenis bakteria seperti Haemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae, Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa mampu menyebabkan penyakit paru-paru disebabkan ketagihan merokok, seperti jangkitan pulmonari pada salur paru-paru, disebabkan oleh jangkitan terus atau bengkak berpunca daripada bakteria.

Dalam jangkitan yang kronik, bakteria dapat ditemui secara banyak sehingga membentuk lapisan yang dikenali sebagai 'biofilms'. Sangat sukar untuk dibuang oleh badan secara semulajadi, biofilm yang terhasil juga langsung tidak terkesan dengan sebarang bentuk antibiotik yang diberikan menyebabkan ruangan paru-paru seseorang terus menjadi perumah kepada bakteria merbahaya.

Kajian yang mereka lakukan dalam makmal dengan menggunakan sampel tisu yang didedahkan kepada ECV dan CSE, mendapati wujudnya peningkatan pembentukan biofilm yang sangat ketara dalam sel yang didedahkan kepada ECV - khasnya dua jenis bakteria iaitu S. pneumoniae yang menyebabkan jangkitan pneumoccocal and P. aeruginosa yang menjadi punca masalah pernafasan.

Kesemua hasil dapatan mereka menunjukkan satu perkara serupa - pendedahan tisu kepada ECV menyebabkan peningkatan jumlah biofilm yang terbentuk pada kadar jauh lebih tinggi, berbanding kesan CSE atau rokok tembakau (dalam kes ini rokok jenama Marlboro merah). Hasilnya menunjukkan bahawa penghisap vapeakan akan mengalami jangkitan bakteria yang lebih teruk berlaku dalam jangka masa panjang dan lebih sukar dirawat seandainya terjadi.

Hentikan mitos vape lebih baik

hisap vape vaping

Pendedahan sel paru-paru kepada bahan dalam ECV dan CSE menyebabkan berlakunya pembentukan protein yang dikenali sebagai IL-8 dan TNF-Alpha yang lebih cepat. Kehadiran kedua-dua protein itu dalam sel hanya akan berlaku sekiranya berlaku jangkitan bakteria dan bahan dalam rokok, tak kiralah mana jenisnya - dilihat mempercepatkan tindakbalas itu.

Namun kesannya jauh lebih ketara pantas pada pengguna vape atau ECV. Hasil daripada kajian ini, penyelidik berpendapat ECV sebenarnya mampu mempercepatkan jangkitan bakteria yang berlaku dalam badan penghisap vape. Malangnya, kajian ini hanya mampu mengenalpasti tahap tindakbalas sel pada bahan dalam ECV melalui pendedahan semata-mata.

Itu yang dikhuatiri penyelidik. Tabiat menghisap vape memerlukan seseorang menghisap gas yang terhasil melalui paru-paru dan kesan hisapan itu, mampu menyebabkan pendedahan kepada bahagian dalaman tubuh yang lebih ketara berbanding eksperimen yang mereka lakukan di makmal.

Selain itu, seorang perokok juga menghisap vape dalam tempoh lebih panjang, berbanding tempoh penyelidik mendedahkan sel pada gas yang terhasil dalam peranti vape.

Kajian ringkas yang dilakukan mampu menjadi petunjuk awal tentang pelbagai mitos yang tersebar berkenaan 'kebaikan menghisap vape.' Penyelidik menasihatkan agar orang ramai memahami bahawa kebanyakan pendapat tentang faedah menghisap rokok elektronik berbanding rokok, datang daripada pandangan tanpa ada bukti menyokongnya.

Selain itu, mereka juga menasihatkan agar orang ramai sedar bahawa 'lebih baik' tidak semestinya menandakan sesuatu itu 'lebih selamat untuk digunakan.'


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Is vaping better than smoking? yang diterbitkan pada 18 Disember 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)