Isu kekejaman pada haiwan bukanlah satu isu baru. Di negara kita, kerap juga kedengaran kisah bagaimana haiwan sengaja dilayan secara buruk hanya untuk memuaskan nafsu sendiri yang gila.

Bagaimanapun, di luar sana sebenarnya banyak juga kumpulan-kumpulan professional yang mengambil kesempatan ke atas haiwan, dalam menjana keuntungan bagi pihak mereka. Haiwan-haiwan ini dilayan tanpa belas kasihan sehinggakan keadaannya terseksa dan dibiarkan sebegitu saja sekiranya tidak mampu mendengar arahan atau kata.

Kami ingin kongsikan kepada anda beberapa contoh bagaimana haiwan dilayan teruk oleh sesetengah kelompok manusia, dalam mengejar keuntungan. Harus dimaklumkan terlebih dahulu, video yang dikongsikan dalam artikel ini mungkin akan menganggu perasaan sesetengah pembaca.

1. Industri hiburan sarkas

haiwan zoo hidup dalam ketakutan

Dalam pertunjukan sarkas, kita sebagai penonton melihat aksi haiwan yang menghiburkan dengan hilaian gelak ketawa, kerana kebiasaannya persembahan itu diselitkan sekali dengan unsur komedi. Apa yang tidak dapat kita lihat di sebalik persembahan sarkas itu, adalah kaedah bagaimana haiwan-haiwan itu dilatih supaya akur dengan tuannya.

Kebanyakan haiwan yang sudah dipilih untuk sarkas, akan dijauhkan daripada ibunya secepat mungkin bagi memudahkan sifat mereka dibentuk bila mencapai umur yang sesuai. Latihannya pula menggunakan hukuman kekerasan bagi menjinakkan haiwan tersebut, dengan sebatan rotan atau pukulan terus dengan tangan menjadi kaedah biasa.

2. Industri zoo

beruang terpinggir

Di negara kita tidak wujud zoo-zoo persendirian yang dijalankan oleh orang awam, bagaimanapun dibeberapa negara luar, zoo telah menjadi satu bentuk perniagaan. Kos yang tinggi serta kesukaran untuk mengawal haiwan telah menyebabkan banyak zoo persendirian mengambil langkah mudah dalam menjalankan operasi mereka.

Haiwan-haiwan dibiarkan begitu saja dalam keadaan tidak terurus dan ada kalanya sengaja dibiarkan lapar, untuk memastikan haiwan tersebut mudah diurus. Sama seperti pertujukan sarkas, hukuman berbentuk fizikal kerap kali digunakan dalam melatih haiwan yang akan bergambar dengan pengunjung.

3. Industri ubat-ubatan

ubat dicuba pada haiwan

Kaedah menggunakan haiwan dalam menguji kesan ubat-ubatan adalah satu perkara yang dipandang sebelah mata oleh masyarakat dunia. Haiwan dijadikan hos kepada ubat-ubatan atau teknik baru yang ingin dicuba, tanpa mengambil kira risiko yang bakal dihadapi haiwan tersebut.

Antara haiwan yang paling popular dijadikan bahan kajian adalah monyet dan tikus. Pendedahan demi pendedahan telah pun dilakukan namun kerajaan-kerajaan di seluruh dunia dilihat tidak mahu mengambil sebarang tindakan berikutan keperluan tinggi terhadap penyelidikan ubat-ubatan.

4. Industri pakaian bulu haiwan

kilang bulu haiwan

Industri pakaian berasaskan bulu haiwan merupakan sebuah industri besar di dunia, jadi tidak menghairankan wujud banyak pusat-pusat pengumpulan bulu haiwan yang tujuannya hanya satu - mendapatkan bulu haiwan tanpa rasa kasihan.

Bagi mempercepatkan proses, kebiasaannya cara paling primitif digunakan bagi membunuh haiwan tersebut - sama ada mencekik, menghentakkan kepalanya atau apa saja cara mudah dalam memastikan proses itu berlaku dengan cepat. Bulu haiwan pula perlulah diproses secepat mungkin jadi tidak menghairankan sekiranya masih ada haiwan yang hidup walaupun kulitnya sudah tiada lagi dibadan.

5. Industri makanan

kilang ayam seksa terkurung

Kisah perjalanan bagaimana haiwan dilahirkan sehinggalah mereka dibunuh atau disembelih adalah sesuatu yang pasti membuka mata kita semua. Apa yang menakutkan, kaedah yang digunakan oleh pembekal-pembekal daging ini dikatakan sebagai kaedah yang sepatutnya diikuti.

Bagi mempercepatkan tumbesaran, haiwan-haiwan akan disuntik dengan ubat yang akan membuatkan haiwan-haiwan ini mengalami proses pembesaran lebih cepat dengan daging lebih berat. Anda suka minum susu? Di sesetengah negara, anak kepada lembu yang lahir akan dibunuh dalam memastikan bekalan susu si ibu dapat diambil untuk dipekkan bagi menjadi minuman kita semua.

6. Industri tembakau

anjing dipaksa merokok philip morris

Dua nama besar dalam industri tembakau dunia dikatakan menggunakan haiwan untuk menguji kesan tembakau dan nikotin sebelum dijual kepada manusia. Ujian-ujian yang diadakan pula bermacam cara. Sebagai contoh, ada haiwan yang disuntik dengan bahan yang ingin diuji lalu dibiarkan mengandung. Apabila kandungannya sudah mencapai usia yang sesuai, perut si ibu akan dibelah untuk mengkaji adakah berlakunya kesan bahan yang disuntik pada anaknya.

Selain itu, rokok yang sudah siap juga diberi kepada haiwan untuk diuji kesannya dengan haiwan seperti arnab dan monyet. Tahukah anda apakah tujuan penyelidikan itu dijalankan? Untuk mengkaji bagaimana tahap ketagihan rokok yang akan dijual dapat ditingkatkan. (rujukan)


Kami berharap gejala kekejaman terhadap haiwan tidak berlaku di negara kita, kerana sukar untuk membayangkan sumber daging yang kita dapat hari-hari, telah melalui pengalaman serupa.

Sekiranya anda ada pengalaman yang dapat anda kongsikan bersama pembaca Iluminasi berkenaan isu ini, sila tinggalkan komen untuk pengetahuan bersama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)