Bagi kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an yang meminati sukan bola sepak tempatan, logo jenama rokok 'Dunhill' yang wajib ada pada jersi pemain liga kita senantiasa diingatan.

Apatah lagi keseluruhan stadium turut sama dipenuhi dengan papan tanda yang mempromosikan jenama tersebut - sehinggakan kelihatan seolah-olah tabiat merokok merupakan sebahagian daripada sukan tersebut!

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, jenama rokok lain juga banyak terlibat dalam penajaan sukan Formula 1, Moto GP, rancangan televisyen malahan di negara kita pernah ada rangkaian kedai kaset dan cakera padat yang dibuka oleh syarikat rokok dinamakan sebagai 'Salem Power Station.' Dari mana datangnya jenama-jenama rokok ini?

1. Dunhill

paip dunhill lama

Kita mulakan dengan Dunhill yang satu ketika dulu sangat sinonim dengan masyarakat kita. Nama 'Dunhill' diambil daripada nama Alfred Dunhill, seorang ahli perniagaan dari London yang aktif berniaga pada awal abad ke 20.

Alfred lahir pada tahun 1872, memilih untuk belajar berniaga lebih awal menamatkan persekolahannya pada usia 15 tahun, sebelum mewarisi perniagaan ayahnya yang mengusahakan pembuatan barangan kulit untuk penunggang kuda.

Pada era tersebut, populariti kereta sebagai mod pengangkutan mula meningkat jadi Alfred menukarkan perniagaannya, mula mengeluarkan produk yang membantu pemandu seperti jam untuk kereta dan dan paip tembakau yang mampu dihisap semasa memandu, tanpa terpadam akibat gangguan angin.

Sekitar tahun 1907, Alfred Dunhill membuka kedai paip dan tembakau. Jualannya laris disebabkan oleh ciptaan paipnya yang unik serta adunan tembakau yang dikatakan berbeza dengan pengeluar lain.

2. Marlboro

iklan marlboro pasaran wanita

Jenama 'Marlboro' cukup sinonim dengan sukan Formula 1, menjadi antara penaja sukan tersebut satu masa dahulu. Tetapi tahukah anda, jenama rokok ini sebenarnya diperkenalkan khas untuk menarik minat wanita untuk cuba merokok?

Nama 'Marlboro' pula datang daripada nama lokasi kilang yang dibuka oleh pewaris perniagaan tembakau yang diasaskan oleh ahli perniagaan Phillip Morris. Mereka memilih untuk memperkembangkan perniagaan sedia ada dengan pembukaan kilang di Great Marlborough Street, yang terletak di London.

Jadi apabila mereka mahu menamakan produk tembakau yang telah dibangunkan di situ, mereka memilih nama 'Marlboro'. Pada awalnya jenama ini dipasarkan di Amerika Syarikat sebagai produk khas untuk wanita sebelum taktik pemasarannya diubah, mula menjurus kepada lelaki-lelaki macho dan kasar yang seringkali dipaparkan dalam filem.

3. Benson and Hedges

logo kerajaan britain di kotak benson hedges

Siapa masih ingat rancangan 'Benson and Hedges Golden Dream' yang memberikan peluang kepada pemenang memenuhi apa saja impian yang mereka ingini? Populariti rancangan itu membuatkan ramai warganegara kita mencuba nasib.

Jenama rokok Benson & Hedges atau kini lebih dikenali dengan singkatan B&H diasaskan oleh Richard Benson dan pakciknya William Hedges, dua orang ahli perniagaan dari Kanada.

Mereka berdua memulakan syarikat penghasilan tembakau sejak tahun 1878 selepas memenangi waran (kontrak) untuk membekalkan tembakau kepada Edward VII, ketika itu bergelar sebagai Prince of Wales yang akhirnya naik menduduki takhta sebagai Raja United Kingdom, Ireland dan British India.

Waran itu membenarkan produk Benson & Hedges dipasarkan menggunakan jata negara United Kingdom pada kotak atau bungkusannya. Hanya pada tahun 1999 waran ini ditamatkan dan ditarik balik - menamatkan kerjasama antara kedua-dua badan yang telah berlangsung 122 tahun.

4. Peter Stuyvesant

peter stuyvesant bekas habuk rokok

Sekiranya anda berkunjung ke New York, anda akan mendapati wujud banyak nama lokasi yang menggunakan nama 'Stuyvesant' seperti Stuyvesant Street, Stuyvesant Town, Stuyvesant Town dan sebagainya.

Nama itu cukup sinonim dengan sebahagian kecil kawasan di New York, hasil daripada penjajahan Belanda di situ yang berlaku sekitar abad ke 17.

Belanda melantik Petrus Stuyvesant sebagai Gabenor bandar itu yang pada awalnya dikenali dengan nama New Amsterdam sebelum New Amsterdam jatuh ke tangan British - yang menukarkannya menjadi New York.

Hasil daripada sejarah ini, nama beliau diabadikan oleh sebuah syarikat pengeluar produk tembakau dari Jerman, dihasilkan di Afrika Selatan pada tahun 1954. Dalam erti kata lain - nama dan produk yang terhasil, tidak berkait antara satu sama lain tetapi digunakan hanya untuk tujuan pemasaran.

5. Mild Seven

kereta renault mid seven juara dunia formula one

Sebuah lagi jenama yang dekat dengan sukan Formula 1, 'Mild Seven' merupakan antara produk tembakau keluaran Jepun paling digemari di seluruh dunia. Jenama ini kini dipasarkan di bawah nama 'Mevius'.

Sejarahnya, Mild Seven bermula selepas usaha syarikat pengeluarnya Japan Tobacco Inc. mahu memperkenalkan satu lagi produk tembakau lebih ringan, untuk jenama terawal mereka 'Seven Stars' yang telah dilancarkan sejak tahun 1977.

Populariti produk ini telah pun menyebabkan berlakunya kes-kes rokok tiruan yang dijenamakan bawah label 'Mild Seven' dijual di Korea Selatan dan Taiwan.

Rokok tiruan itu didakwa mempunyai kotak bungkusan yang sama tetapi mempunyai adunan yang berbeza, dipercayai dihasilkan oleh sebuah kilang dari Korea Utara. Kilang tersebut dikatakan sudah beroperasi sejak tahun 1992.




Hakcipta iluminasi.com (2017)