Sudah acapkali jugalah penulis ke rumah saudara atau kenalan, mendapati di sekeliling rumah mereka terletak botol-botol berisi air yang berwarna merah, sama ada menggunakan sirap ros atau pewarna makanan merah.

Apabila ditanya pada tuan rumah apa tujuannya botol-botol itu diletakkan di sekeliling rumah, mereka akan menjawab satu jawapan yang sama - untuk menghalau kucing.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Memang penulis akui bukan semua orang suka dengan kucing, apatah lagi apabila ada jenis kucing tak faham bahasa yang suka berak atau memancut di rumah kita. Bagaimanapun, apa yang menariknya adalah benarkah botol-botol berisi air merah benar-benar berkesan menghalau kucing daripada mendekati rumah kita?

Kepercayaan yang berbeza-beza

cat repellent bottle water

Sekiranya anda menelaah di internet, wujud pelbagai tanggapan tentang kenapa air dalam botol mampu menghalau kucing.

Ada pihak yang mendakwa bahawa kucing takut dengan bayangan dirinya sendiri yang terhasil pada permukaan botol itu. Ada pihak berkata oleh kerana kucing takut air, sebab itulah kucing tak berani datang dekat.

Apa yang lebih menarik, ada juga pihak yang menabur mitos mengatakan air botol berwarna mampu menghasilkan daya magnetik, menyebabkan kucing tidak dapat hadir ke kawasan sekitarnya.

panduan usir kucing dari rumah botol merah

Jadi, persoalannya di sini kenapa ramai gunakan cecair berwarna merah sedangkan di internet, ada beberapa pihak yang mendakwa air yang perlu digunakan mesti berwarna biru. Ada juga pihak mendakwa kita perlu menggunakan air kosong.

Selain warna, kapasiti botol diisi juga berbeza-beza. Di rumah yang penulis hadiri, kebanyakannya mengisi penuh botol itu, tetapi ada juga pendapat lain menyebut botol wajib diisi separuh sahaja.

Mana satu yang benar ni?

Asal-usul kepercayaan ini

jepun botol air halau kucing

Tahu tak dari mana kepercayaan ini datang? Budaya botol plastik yang diisi dengan air ini dimulakan oleh orang Jepun, tetapi mereka hanya menggunakan air kosong sahaja!

Orang Jepun percaya bahawa kucing takut biasan yang datang daripada botol itu, jadi haiwan itu tidak akan masuk ke kawasan-kawasan yang dilarang sehingga menyebabkan ketidakselesaan. Di Jepun, amalan ini menjadi satu kebiasaan dan tidak ganjil untuk melihat barisan-barisan botol disusun sehingga adakalanya mengelilingi keseluruhan rumah.

Selain itu, botol-botol juga akan disusun di tempat-tempat terletaknya barangan elektrik seperti pendingin hawa atau lampu bagi melindungi barangan tersebut.

Di Jepun, budaya ini dikenali sebagai 'nekoyoke' atau penghalau kucing.

petua halau usir kucing

nekoyoke botol isi air merah halau kucing

budaya jepun isi botol air halau kucing

Di beberapa negara lain, warna air yang digunakan berbeza-beza ideanya. Ada yang mengesyorkan warna biru, ada yang mengesyorkan warna hijau. Di negara kita, penulis belum pernah melihat warna lain digunakan selain warna merah. Tak tahulah kenapa.

Di kalangan masyarakat barat pula, amalan ini dikatakan bermula sejak lewat 1970-an di New Zealand, sebelum ditiru oleh orang Australia yang menyebarkannya sehingga menjadi ikutan masyarakat Eropah.

Adakah amalan ini berkesan?

Kami tidak tahu sama ada helah botol air berwarna ini benar-benar berkesan atau tidak. Bagaimanapun, beberapa eksperimen yang dijalankan bagi menguji kepercayaan ini telah pun membuktikan bahawa....

Taktik ini langsung tidak berkesan.

Semasa penulis membela kucing dulu pun, salah satu alat mainan yang kerap dimainkan kucing kesayangan penulis adalah botol air mineral berisi air. Selain itu, rancangan televisyen popular 'Mythbusters' juga telah menguji andaian ini dan mendapati kucing itu bukan saja tidak takut, malahan tidak mempedulikan langsung botol itu.

Jadi, bagaimanakah nak menghindari kucing dengan berkesan? Sekiranya anda tidak mahu bersusah payah dalam usaha menghindari kucing, salah satu cara paling berkesan adalah dengan meletakkan botol-botol berisi minyak citrus yang bersifat asli daripada sumber tumbuhan. Anda boleh dapatkan cara penghasilannya di pautan ini. Kucing amat tidak gemarkan baunya.

Selain itu, cara tradisional paling berkesan adalah cara kasar.

Setiap kali ada kucing datang, sembur saja dia dengan air menggunakan penyembur. Lama-kelamaan kucing tu akan fahamlah kawasan rumah anda kawasan larangan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)