Oleh pada 07 Aug 2019 kategori

Anda mungkin pernah mendengar frasa bahawa anjing adalah 'rakan baik manusia'. Namun, tahukah anda bahawa kucing juga boleh menjadi haiwan peramah seperti anjing dan memberi pengaruh besar dalam kehidupan pencinta haiwan? Apa yang lebih pelik, seekor kucing di Jepun ini mampu menyelamatkan sebuah stesen kereta api.

Kucing yang dimaksudkan itu ialah Tama. Dia telah bekerja sebagai "Train Master" di Stesen Kishi di bandar Kinokawa yang merupakan hentian terakhir Landasan Elektrik Wakayama sejak tahun 2007 lagi. Walaupun Tama tidak banyak melakukan 'kerja' sepanjang hari tetapi dia telah meningkatkan penggunaan kereta api itu secara dramatik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas pekerja terakhir berhenti kerja pada tahun 2006, Tama merupakan satu-satunya pekerja yang tinggal di stesen itu. Apabila orang ramai mendengar kisah kucing yang terkenal itu, penjualan tiket kereta api menunjukkan peningkatan yang tinggi sehingga perkara itu digelar sebagai "Kesan Tama".

tama train master stesen kishi

Sebelum Tama bekerja sebagai Train Master, syarikat kereta api itu kehilangan hampir RM 16.8 juta setahun kerana penurunan bilangan penumpang. Ini mungkin disebabkan orang lebih gemar memandu atau menggunakan cara pengangkutan lain.

Sejak Tama menjadi 'bintang' di Stesen Kishi, semakin ramai orang yang datang ke stesen itu kerana ingin membeli tiket daripada kucing comel itu. Bukan setakat itu sahaja, landasan kereta api itu yang merupakan pengangkutan asas kini menjadi destinasi utama pelancongan di bandar Kinokawa. Tarikan yang dimiliki Tama membuatkan orang di seluruh dunia ingin melihatnya dengan lebih dekat.

pelbagai cenderamata tama yang dijual di stesen kishi

Pelbagai cenderamata Tama yang dijual di Stesen Kishi

Disebabkan pengunjung dan pelancong membayar untuk melihat Tama, syarikat kereta api yang hampir muflis itu menerima lebih daripada RM 40 juta. Walaupun kedengaran seperti tidak masuk akal tetapi itulah jumlah yang dibayar orang ramai yang ingin bertemu Tama.

Bahkan, terdapat juga kedai cenderamata yang menjual barangan memorabilia Tama di Stesen Kishi. Pihak pengurusan Stesen Kishi menjual pelbagai barangan daripada baju sehingga patung Tama. Malah, pengunjung juga boleh membeli set ruang makan yang lengkap berkonsepkan Tama. 

gerabak kereta api penumpang versi tama

Pada tahun 2009, Tama menjadi begitu popular sehingga syarikat kereta api itu melancarkan kereta api khas versi kartun Train Master berkaki empat itu yang dinamakan Tama Densha.

Pada tahun 2010 pula, stesen itu membina satu struktur pintu masuk utama baru yang menyerupai kepala Tama, menjadikan peminat kucing itu semakin teruja.

pintu masuk stesen kishi yang menyerupai kepala kucing

Tama juga mempunyai blognya sendiri. Tama berusia 10 tahun ketika dia mula bekerja di Stesen Kishi dan menerima gaji dalam bentuk makanan kucing. Satu-satunya tugas yang perlu dilakukannya ialah menyambut kedatangan para pelanggan. Tama diberikan sebuah pejabat kecil dan pakaian seragam yang dipakainya setiap hari.

Tama yang dilahirkan di bandar itu pada asalnya membesar sebagai seekor kucing jalanan. Dia sering ditemui berlegar-legar di antara Stesen Kishi dan kedai runcit berhampiran.

pengunjung mengambil gambar tama

Pada tahun 2007, pegawai stesen itu memutuskan untuk memeliharanya sebagai salah satu tarikan pengunjung. Tanpa disedari, tindakan mereka itu sebenarnya sangat menguntungkan.

Pada Januari 2010, Tama secara rasminya dinamakan sebagai Pegawai Operasi Stesen Kishi. Ini menjadikan Tama sebagai kucing pertama yang dilantik sebagai eksekutif di sebuah syarikat perkhidmatan kereta api.

tama berehat di pejabatnya

Tama kemudian diberikan dua kakitangan baru sebagai pembantunya dalam melakukan tugas seharian. Sebenarnya, kedua-dua pembantunya itu juga merupakan kucing yang dinamakan sebagai Chibi dan Miiko. Walau bagaimanapun, mereka tidak lama tinggal di situ berbanding Tama.

Pegawai Operasi yang baru itu semakin dikenali di peringkat antarabangsa selepas selesai menjalankan penggambaran dokumentari pertamanya bertajuk La Voie du Chat dalam bahasa Perancis. Dokumentari itu juga diterbitkan dalam bahasa Jerman bertajuk Katenlektionen.

dokumentari pertama mengenai tama

Malangnya, Tama menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2012 akibat sakit tua. Kucing yang hidup selama 16 tahun itu telah melalui satu kehidupan yang sangat hebat. Hampir 3,000 orang telah menghadiri upacara pengebumian kucing itu.

Sifat dedikasi Tama untuk memastikan perkhidmatan kereta api itu sentiasa sibuk dan berjaya telah membuatkannya memperolehi status dewi Shinto. Tama secara tidak langsung telah membantu mengekalkan kepercayaan agama Jepun dalam menghormati dewa haiwan. Tama telah disemadikan di tapak perkuburan kucing berhampiran.

nitama pengganti baru tama

Nitama, pengganti baru Tama

Kini, jawatan Tama sebagai Train Master di Stesen Kishi itu telah digantikan dengan pekerja baru yang diberi nama Nitama. Mungkin kucing yang mempunyai warna dan rupa mirip Tama itu mampu menjalankan tugasnya dengan baik.

Rujukan:

1. Japan Forward

2. The Guardian

3. BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)