12,000 tahun dahulu di atas bukit Turki moden pada hari ini, nenek moyang kita telah membina apa yang diketahui sebagai kuil tertua di dunia.

Sejak dahulu lagi, manusia mempunyai keinginan untuk membina bangunan yang sangat tinggi dan ia adalah sifat semulajadi manusia untuk melakukan yang lebih hebat dari sebelumnya.

Namun, sudah tentunya ada had bagi ketinggian bangunan yang boleh dibina, kan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi secara teorinya, berapakah ketinggian maksimum bangunan yang boleh dibina oleh manusia?

Untuk mula dengan skala kecil, ketinggian biasa bagi sebuah rumah satu tingkat adalah sekitar 4.5 meter.

kingda ka roller coaster tertinggi di dunia

Roller coaster paling tinggi di dunia iaitu Kingda Ka yang terletak di New Jersey, AS berketinggian 139 meter.

Walaupun sudah mampu menakutkan kebanyakan daripada kita, namun ketinggian ini jauh lebih rendah dari bangunan yang ada ketika ini.

Juga dikenali sebagai Piramid Agung, piramid Khufu di Giza, mesir berukuran 146.7 meter yang telah dibina lama dahulu pada tahun 2,570 SM. 

piramid besar di giza mesir

Sebaik sahaja ia siap dibina, piramid ini merupakan bangunan paling tinggi pernah dibina ketika itu dan memegang rekod itu untuk tempoh yang tersangat lama iaitu 3,881 tahun.

Akhirnya, rekod ini berjaya dipecahkan pada tahun 1311 di England. 

Gereja katedral Lincoln ini mencapai ketinggian 160 meter dan ketinggian itu kekal menjadi yang tertinggi pernah dibina manusia, sehinggalah ia dipecahkan pada tahun 1884 selepas monumen Washington di AS dibina dengan ketinggian 169 meter.

5 tahun kemudian, pembinaan Menara Eiffel di Paris dengan ketinggian 301 meter menewaskan gereja tersebut yang mana membuatkan semua bangunan lain yang pernah dibina manusia menjadi sangat kerdil.

menara eiffel paling tinggi pernah dibina manusia satu ketika dahulu

Dengan terbinanya menara ikonik Paris ini, ia seolah-olah membuka lembaran baharu dari segi betapa tingginya bangunan yang boleh dibina oleh manusia.

Dengan kedatangan besi tempa dan keluli, ketinggian struktur boleh dibina dengan lebih dahsyat.

Bangunan Chrysler di New York dengan ketinggian 319 meter akhirnya menamatkan rekod Menara Eiffel yang dipegang selama 41 tahun.

Setahun selepas Bangunan Chrysler dibina, rekod ini sekali lagi dipadamkan oleh sebuah lagi bangunan di bandar yang sama iaitu Empire State Building dengan ketinggian yang jauh lebih dahsyat iaitu 448 meter.

Namun rekod ini pun tidak bertahan lama kerana bermula pada tahun 1963, binaan tertinggi yang pernah dicapai oleh manusia adalah tiang dan menara radio.

tiang radio warsaw struktur paling tinggi di dunia yang runtuh pada tahun 1991

(Menara radio Warsaw)

Menara radio Warsaw yang terletak di Poland adalah struktur paling tinggi di dunia satu ketika dahulu dengan ketinggian 646 meter.

Untuk gambaran yang lebih jelas, menara radio ini adalah hampir 1.5 kali ganda ketinggian menara berkembar tertinggi di dunia iaitu Menara Berkembar KLCC.

Walaupun ia runtuh pada tahun 1991, namun ketinggian tersebut tidak pernah diatasi oleh mana-mana binaan manusia, sehinggalah baru-baru ini pada tahun 2008.

Akan tetapi, bangunan yang mana kita semua tahu jauh meninggalkan yang lain dari segi ketinggian tidak lain dan tidak bukan sudah tentunya Burj Khalifa di Dubai.

burj khalifa binaan paling tinggi oleh manusia

Dengan ketinggian tidak masuk akal iaitu 830 meter, ia memerlukan 2,909 anak tangga untuk sampai ke puncak dan jika anda menaiki lif, ia mengambil masa 2 minit 40 saat.

Jika anda terjun dari puncak Burj Khalifa dan dengan anggapan bahawa anda sampai ke tanah tanpa terlanggar bahagian bangunan ini, ia mengambil masa sekitar 20 saat.

Untuk mengetahui betapa tingginya jatuh bebas ini, cuba kira sehingga 20 saat dan anda mungkin dapat bayangkan betapa tingginya jarak tersebut.

Akan tetapi, Burj Khalifa hanyalah binaan paling tinggi yang pernah dibina manusia, tetapi bukannya binaan tertinggi yang mampu kita bina.

ketinggian struktur binaan paling tinggi di dunia

Jika kita mahu, kita boleh bina bangunan yang jauh lebih tinggi, jadi apa yang menghalang kita daripada melakukannya?

Secara teorinya, tiada had tentang betapa tinggi yang kita boleh bina selagi kita boleh memperluaskan tapak sesebuah struktur untuk menyokong penambahan berat di bahagian atasnya.

Dan disebabkan oleh Bumi berbentuk sfera, ia sudah tentunya mengehadkan keluasan tapak struktur binaan.

X-Seed 4000

Oleh itu, melihatkan kepada teknologi dan sumber daya yang kita ada sekarang, binaan tertinggi yang mungkin dapat kita bina ketika ini ialah X-seed 4000.

x seed 4000 bangunan konsep paling tinggi di dunia

(Lakaran X-Seed 4000)

X-Seed 4000 adalah sebuah pencakar langit konsep, yang pada mulanya dicipta dan dikembangkan oleh Martin Pascoe dari United Kingdom. Ia adalah struktur tertinggi yang pernah dibayangkan sepenuhnya dengan pelan induk yang lengkap.

Ketinggiannya? Binaan ini dirancang mampu mengapai ketinggian 4,000 meter mencecah langit dengan 800 tingkat, sekaligus membuatkan Burj Khalifa kelihatan tersangat kecil dan kerdil.

Ia direkabentuk untuk Tokyo, Jepun oleh Taisei Corporation pada tahun 1995 sebagai persekitaran futuristik yang menggabungkan kehidupan ultra-moden dan teknologi dan interaksi dengan hidupan liar serta alam semula jadi.

Kaedah pengangkutan dalam X-seed kemungkinan besar termasuk kereta api MagLev.

Untuk membolehkannya dibina dengan kukuh, struktur ini dirancang dibina dengan lebih daripada 3 juta tan keluli dan lebar tapak binaan ini perlu mencapai 6 kilometer bagi menyokong berat bangunan yang tersangat dahsyat.

Malah, ketinggiannya melepasi Gunung Fuji di Jepun dan mencapai 45% dari ketinggian gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest serta hampir 9 kali ganda ketinggian Menara KLCC.

Jika disusun kereta kesayangan rakyat Malaysia iaitu Perodua Myvi secara bertindan, kita memerlukan 2,640 buah untuk menyamai ketinggian X-Seed 4000.

pelan induk x seed 4000

Ia pada dasarnya akan menjadi gunung logam yang mampu memuatkan lebih dari 1 juta manusia di dalamnya dan ia akan menjadi tersangat menakjubkan sehingga ia boleh mengganggu pola cuaca di kawasan sekitarnya.

Jika kita bercakap tentang binaan segergasi ini, sudah tentunya kos pembinaan menjadi topik utama. Untuk membina X-seed 4000, kosnya adalah sekitar RM1.79 trilion hingga RM5.76 trilion, "sahaja".

x seed

Jumlah ini adalah lebih besar dari KDNK keseluruhan Rusia.

Ini membuatkan X-seed 4000 adalah bukti sebenar terhadap sebarang kemungkinan yang boleh dicapai manusia dan jika kita memutuskan untuk membinanya pada hari ini, tiada apa yang dapat menghalang kita daripada menyiapkannya pada hari esok, kecuali dengan kuasa Tuhan.

Pendek kata, secara teorinya, kita mampu membina bangunan setinggi yang dimahukan selagi kita dapat membina tapak yang mampu menyokong berat sesebuah binaan tersebut.

Wallahualam.

1. Science Alert

2. Real Life

3. Bloomberg




Hakcipta iluminasi.com (2017)