Oleh pada 21 Apr 2021 kategori

Sejak pencakar langit pertama dibina pada tahun 1880-an, bangunan tinggi adalah cara sesebuah negara itu untuk mengumumkan kedatangannya di pentas dunia.

Didorong oleh ekonomi yang pesat membangun dan penduduk bandar yang terus berkembang, China telah membina lebih banyak bangunan pencakar langit dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini berbanding yang dilakukan oleh seteru mereka Amerika Syarikat sepanjang abad ke-20.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan peraturan perancangan bandar yang agak longgar dan modal kewangan yang hampir tidak terbatas, bandar-bandar di seluruh China telah berubah dari pusat wilayah kecil menjadi metropolis yang paling padat di atas muka Bumi.

Malah, jika disebutkan tentang bangunan pencakar langit, nama China akan bermain di bibir kita.

bangunan tertinggi di dunia

Tetapi di kala fenomena ini melihatkan pembinaan beberapa bangunan tertinggi di dunia, keputusan kerajaan China telah membuatkan pertumbuhan pesat bangunan pencakar langit di negara ini berakhir.

Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China telah mengeluarkan notis yang memperkenalkan langkah-langkah untuk "memperkukuhkan pengurusan ciri bandar dan seni bina”.

Notis itu menyekat perancangan sesuka hati dan pembinaan bangunan pencakar langit, serta menyatakan bahawa "bangunan baru dengan ketinggian lebih dari 500 meter tidak dibenarkan dibina."

pembinaan shanghai tower

Notis ini juga sangat menyekat pembinaan bangunan-bangunan dengan ketinggian melebihi 250 meter, kecuali jika ia benar-benar diperlukan dan jika kebenaran diberikan, menara tersebut akan perlu ditinjau secara mendalam oleh pihak bomba, pihak berkuasa gempa bumi dan juga anggota penjimatan tenaga.

Di samping itu, pihak berkuasa tempatan China diminta untuk memperketatkan proses kelulusan bagi menara melebihi 100 meter, melindungi kawasan semula jadi dan bangunan bersejarah, serta melantik ketua arkitek untuk memastikan apa-apa seni bina baharu bakal mewakili budaya Cina dengan lebih baik.

Dasar ini juga melarang seni bina menciplak atau "copycat", satu fenomena kontroversial yang menyaksikan sebilangan bangunan paling terkenal di dunia ditiru di seluruh China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

bangunan tiruan di china

(Replika bandar Paris di Zhejiang, China)

Ini sangat mengejutkan kerana China adalah kuasa besar dalam pembinaan dan mereka juga dilihatkan sebagai "juara" dalam aspek meniru.

Walaupun tidak ada alasan khusus untuk perubahan ini, namun idea untuk memperkenalkan peraturan ini telah lama difikirkan China.

Selama 30 tahun terakhir, China melihatkan perkembangan tersangat pesat, berlumba-lumba untuk membina bangunan dan infrastruktur yang menyokong ekonominya, menempatkan penduduknya yang ramai dan menjadikannya sebagai kuasa besar baharu di pentas dunia.

Hal ini sangat mencabar, termasuklah pembinaan Menara Shanghai setinggi 632 meter, sebuah bangunan pencakar langit yang telah menjadikan China lebih terkenal dan juga menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia pada ketika itu.

Namun di sebalik kemegahan bangunan ini, ia akhirnya memerlukan dana negara untuk disiapkan.

Tidak cukup dengan itu, ia berhadapan dengan masalah mencari penyewa disebabkan oleh pelan lantai bangunan itu yang tidak efisyen.

Beban kewangan kepada kerajaan

goldin finance 117

(Goldin Finance 117 yang dibina sejak tahun 2008 terbiar dalam keadaan tidak siap)

Dengan projek melebihi 300 meter biasanya mengambil masa lebih dari 5 tahun untuk disiapkan, risiko kewangan tambahan disebabkan oleh bangunan skala besar ini juga dianggap sebagai penyebab mengapa pencakar langit kini diharamkan di China. 

Gelombang ekonomi dapat berubah dengan mudah dalam tempoh pembinaan bangunan tinggi yang lama, sehinggakan membuatkan pemaju tidak memperoleh keuntungan.

Dan dengan kebanyakan pemaju dan kontraktor China sekurang-kurangnya separa milik kerajaan China, beban kewangan bagi projek mega ini biasanya terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Dalam kes-kes yang melampau, seperti projek Goldin Finance 117 setinggi 596 meter di Tianjin dan projek Wuhan Greenland Center setinggi 477 meter, kedua-duanya ditangguhkan tanpa had dan terbiar menghiasi langit sebegitu sahaja.

kenapa china haramkan bangunan tinggi pencakar langit 948

(Wuhan Greenland Centre)

Pembinaan Goldin Finance 117 bermula pada tahun 2008 namun terhenti sebanyak dua kali dan sehingga kini ia masih belum siap.

Dasar baru untuk menangani masalah pencakar langit dan bangunan tiruan ini juga mungkin merupakan respon terhadap pihak media yang memberikan komen negatif di seluruh dunia.

Ketika China terus berkembang, tumpuan beralih ke arah penempatan, dengan daerah-daerah besar yang dirancang untuk mewujudkan bandar-bandar yang lebih ekonomik, hijau dan indah yang memberikan penekanan kepada rakyat dan lebih praktikal.

Walaupun kita belum tahu betapa ketatnya kerajaan China akan menguatkuasakan peraturan ini, namun pengurangan ketinggian Pusat Suzhou Hungam dari 729 meter kepada 499 meter mungkin menjadi petanda bahawa ketinggian pencakar langit China sudah sampai ke penghujungnya.

Rujukan:

1. CGTN

2. B1M

3. South China Morning Post




Hakcipta iluminasi.com (2017)