Garis sempadan yang memisahkan dua buah negara biasanya kawasan kosong tidak didiami, dikawal pihak berkuasa kedua-dua buah negara.

Dalam beberapa situasi yang unik, ada juga garis sempadan yang diukur dan dilukis atas peta merentasi premis berbentuk bangunan komersial, kediaman atau pusat komuniti, mengakibatkan bangunan itu terbelah dua; sehingga berada dalam dua buah negara berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di manakah situasi unik sebegini terjadi? Berikut adalah empat bangunan yang secara geografinya, menjadi titik sempadan memisah dan menghubungkan dua negara yang berlainan kedaulatannya.

1. Rumah Mappangara (Indonesia - Malaysia)

rumah sempadan malaysia indonesia

Dalam artikel kami pada tahun 2020, kami menceritakan kepada anda tentang Pulau Sebatik, sebuah pulau yang dikongsi negara kita dan Indonesia.

Di pulau itu, terdapat mukim yang digelarkan Haji Kuning dan dalam mukim tersebut, ada sebuah rumah didiami pasangan suami isteri Mappangara dan Hasidah yang terletak betul-betul atas garis sempadan.

Keanehan ini menyebabkan pasangan Mapparangara dan Hasidah yang memegang kewarganegaraan Indonesia akan berangkat ke tanah seberang iaitu Malaysia untuk memasak di dapur, sebelum kembali ke Indonesia setiap kali mahu menonton televisyen di ruang tamu rumah.

2.  Hôtel Arbez Franco-Suisse (Perancis - Switzerland)

hotel arbez sempadan perancis switzerland

Di sebuah desa kecil bernama La Cure yang menjadi garis sempadan pemisah di antara Switzerland dan Perancis, ada sebuah hotel dinamakan Hôtel Arbez Franco-Suisse atau l’Arbézie, namanya berbeza mengikut dialek tempatan.

Dibina ketika kedua-dua buah kerajaan sedang dalam proses rundingan perjanjian tukar hak jajahan sekitar tahun 1862, Hotel Arbez bermula sebagai sebuah kedai runcit dan bar, yang diharapkan dapat menjadi pusat perdagangan menghubungkan kedua-dua buah komuniti masyarakat berbeza.

Mengalami perkembangan ekonomi rancak, kawasan itu mula dibangunkan sebagai hotel sekitar tahun 1921.

Bangunan hotel itu sengaja dibina agar merentasi sempadan, membolehkan beberapa buah biliknya unik, di mana anda boleh tidur dalam dua buah negara berbeza mengikut di mana tempat anda berbaring.

3. Baarle Nassau (Belanda - Belgium)

sempadan unik belgium belanda

Oleh kerana bentuk sempadannya unik sehingga mewujudkan banyak enklaf di dalamnya, Baarle Nassau terus disebut sebagai kawasan unik jika kita membicarakan perihal sempadan.

Disebabkan kompleksnya sempadan kawasan itu yang memisahkan Belgium dan Belanda secara rawak, bangunan komersial dan kediaman di sini berhadapan masalah dalam menentukan di negara mana mereka berada.

Bagi menyelesaikan masalah ini kedua-dua buah kerajaan bersetuju menetapkan sebuah undang-undang yang dikenali sebagai 'peraturan pintu depan' atau voordeurregel diperkenalkan.

Dengan mengambil kira di mana terletaknya pintu depan premis, seluruh premis akan dialamatkan ke negara tersebut.

kedai di baarle nassau

Walaupun sudah ada peraturannya, masih ada penduduk tetap tidak berpuas hati dengan hasilnya.

Ada di antara mereka sengaja mengalihkan pintu depan rumah atau premis mereka ke kawasan sempadan negara pilihan, agar mereka dapat ditadbir di bawah kerajaan pilihan mereka. 

Jika anda lihat gambar di atas, kedai yang dipaparkan mempunyai garis sempadan di dalamnya yang ditandakan mengikut warna bendera kedua-dua buah negara berbeza.

4. Panmunjom (Korea Selatan - Korea Utara)

panmunjom korea selatan destinasi pelancongan

Lebih dikenali dengan nama jolokan DMZ atau Demilitarized Zone yang dipopularkan masyarakat barat, Panmunjom atau 'Kawasan Keamanan' merupakan satu-satunya kawasan kompleks di mana tentera negara iaitu Korea Selatan dan Korea Utara bertemu - walaupun tidak berinteraksi antara satu sama lain.

Dikawal ketat 24 jam sehari, 7 hari seminggu tanpa henti, Panmunjom menjadi lokasi 35 orang petugas kedua-dua buah negara mengawal sempadan masing-masing.

Panmunjom juga menempatkan jambatan bersejarah yang dinamakan sebagai 'Jambatan Tiada Jalan Pulang' yang menjadi lokasi tahanan perang diberikan pilihan sama ada mahu kembali ke negara asal atau tinggal di negara angkat mereka selama-lamanya

Kini Panmunjom menjadi antara destinasi popular pelancong yang mahu merasai sendiri konflik dua buah kuasa berbeza, yang saling enggan mahu mengalah kerana hidup berjiran memang susah sebenarnya.Lagilah sukar bila jiran kita kerajaan Korea Utara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)