Dengan teknologi yang semakin canggih dan pesat membangun, banyak negara dan syarikat pembinaan berlumba-lumba untuk menjadi jaguh dalam memegang rekod dunia dari segi pembinaan bangunan. Antara yang paling ketara boleh dilihat adalah pembinaan bangunan paling tinggi di dunia.
Sejak 30 tahun yang lalu, gelaran bangunan tertinggi di dunia bertukar-tukar daripada satu bangunan kepada bangunan yang baru. Ia melambangkan kehebatan dan kecanggihan sesebuah negara itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun tak lupa juga, gelaran bangunan terbesar di dunia juga berada dalam situasi yang sama dan dengan itu, iluminasi.com kongsikan dengan pembaca 10 bangunan paling besar di dunia dari segi keluasan lantai.
10. Berjaya Times Square – Malaysia
Memulakan senarai ini adalah bangunan yang sangat serasi dengan rakyat Malaysia yang suka membeli belah. Terletak di tengah kota Kuala Lumpur, Berjaya Times Square berkeluasan 700,000 meter persegi adalah bangunan ke-10 paling besar di dunia dari segi keluasan lantai.
Bangunan pelbagai guna ini terdiri daripada sebuah hotel, kondominium, pusat membeli belah dan juga taman hiburan. Taman tema di dalam bangunan ini mempunyai beberapa buah roller-coaster yang melingkari bahagian dalamannya.
Pembinaan Berjaya Times Square 48 tingkat setinggi 203 meter ini bermula pada tahun 1997 dan siap 6 tahun kemudian. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia dihubungkan dengan salah satu stesen monorel Kuala Lumpur yang memudahkan pengangkutan pengunjung.
9. Ciputra World Surabaya - Indonesia
Bangunan ke-9 paling besar di dunia dari segi keluasan lantai iaitu 750,000 meter persegi ini terletak di negara jiran, Indonesia. Ciputra World Surabaya adalah sebuah kompleks pembangunan campuran yang dibangunkan oleh PT. Ciputra Development Tbk.
Blok-super ini mempunyai 4 menara kediaman yang diberi nama The Via, The Vue, The Viola dan Sky Loft. Satu lagi menara kediaman, Vie Loft dan menara pejabat sedang dalam pembinaan. Ia juga mempunyai bangunan hotel dan pusat membeli belah, Ciputra World Mall.
Projek ini bermula pada tahun 2009 dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 2011.
8. Sands Cotai Central – Macau
Sands Cotai Central yang terletak di Macau adalah sebuah resort kasino yang dibuka pada tahun 2012. Diiktiraf sebagai bangunan ke-8 terbesar dari segi keluasan lantai iaitu 890,000 meter persegi, resort ini dibuka kepada pengunjung pada tahun 2012.
Ia pada dasarnya sebuah hotel yang mempunyai 6,000 buah bilik namun mempunyai ruangan kedai, tempat hiburan dan dua buah kasino, iaitu Pacifica dan Himalaya. Bangunan ini mempunyai 4 jenama hotel antarabangsa iaitu Conrad Macao, Holiday Inn Macao Cotai Strip, Sheraton Macao dan St. Regis Macao.
Selain itu, ia juga mempunyai lebih daripada 60 bilik mesyuarat perniagaan dan 100 lot kedai.
7. The Venetian Macao – Macau
Sekali lagi terletak di Macau, bangunan Venetian Macao adalah bangunan ke-7 terbesar di dunia dengan keluasan lantai mencecah 980,000 meter persegi. Sekali lagi, bangunan ini merupakan antara salah satu resort terkenal di Macau yang menempatkan hotel mewah dan resort kasino.
Ia juga memegang gelaran kasino paling besar di dunia dan hotel struktur tunggal terbesar di Asia yang dimiliki oleh Las Vegas Sands. Venetian Macao yang dibuka pada tahun 2007 mempunyai 3,400 mesin slot, 800 meja perjudian dan terusan dalaman termasuk kapasiti hiburan seramai 15,000 orang.
Hotelnya pula menawarkan 2,500 suite yang ideal yang dimuatkan 31 tingkat bangunan, daripada keseluruhan 40 tingkat.
6. Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, Terminal 3 – China
Tak lengkap sesuatu senarai "terbesar di dunia" jika tidak menampilkan negara China. Lapangan Terbang utama Beijing, yang juga kedua tersibuk di dunia telah menambah bangunan Terminal 3 pada tahun 2008 untuk menampung lonjakan trafik yang mengalir melalui pintu gerbangnya dan menangani unsur tambahan dalam Sukan Olimpik Musim Panas.
Dengan keluasan lantai 986,000 meter persegi, ia bukan sahaja menyediakan pengangkutan yang sangat baik dan lebih daripada 7,000 tempat letak kereta, terminal ini juga menjadi lokasi sejumlah besar kedai makanan dan barangan runcit (lebih daripada 12,634 meter persegi) kepada pengguna.
Ia juga menyediakan kemudahan luar biasa yang mampu berurusan dengan beberapa pesawat terbesar di dunia, seperti Airbus A380.
5. Aalsmeer Flower Auction – Belanda
Bukan sahaja merupakan bangunan ke-5 paling besar di dunia dengan keluasan lantai 990,000 meter persegi, Aalsmeer Flower Auction juga adalah pusat lelongan bunga terbesar di dunia. Bangunan yang terletak di Belanda ini menawarkan bunga dari seluruh dunia seperti Ecuador, Ethiopia dan Kenya dan penjualan dilakukan setiap hari.
Peraturan lelongan mengikut cara Belanda, bermakna harganya akan bermula pada kadar tinggi dan semakin menurun, berbanding daripada harga rendah yang semakin meningkat seperti dalam lelongan biasa.
Kebun-kebun hortikultur di kawasan sekitar mencerminkan perkembangan Aalsmeer dan lelongan biasanya menjual kira-kira 19 juta bunga sehari, termasuk 2 juta tumbuhan.
4. CentralWorld – Thailand
Berada di tangga ke-4 bangunan paling besar di dunia milik negara jiran, Thailand. Centralworld adalah plaza membeli belah yang merupakan ke-5 terbesar di dunia dari segi jumlah ruang lantai yang boleh disewakan iaitu 1.024 juta meter persegi,
Ia dibina pada tahun 1990 dan menempatkan hotel dan juga ruangan pejabat, termasuklah beberapa kemudahan lain seperti ruang aktiviti luar yang luas, tempat acara langsung dan kedai mega seperti PowerBuy dan Toys R Us. Pusat membeli belah ini terbahagi kepada 5 zon dan mempunyai 7,000 ruang letak kereta.
Ia juga menempatkan Centara Grand, sebuah hotel 5 bintang 57 tingkat yang mempunyai pelbagai dewan konvensyen dan kemudahan tetamu yang sangat mewah.
3. Abraj Al-Bait - Mekah
Terletak di Timur Tengah dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 2012 selepas 8 tahun pembinaan, Abraj Al-Bait merupakan kompleks yang juga memegang beberapa rekod lain, serta menjadi bangunan ke-3 terbesar di dunia.
Ia juga merupakan menara jam paling tinggi yang mempunyai jam yang paling besar di dunia. Menara ini yang juga merupakan sebuah hotel, adalah bangunan ke-3 tertinggi di dunia terletak berhampiran lokasi paling suci bagi umat Islam, iaitu Masjidil Haram.
Ia menempatkan pusat membeli belah 20 tingkat serta dua buah heliport, muzium Islam dan Pusat Pemerhatian yang digunakan untuk melihat anak bulan terutamanya ketika bulan Ramadhan. Keluasan keseluruhan lantai Abraj Al-Bait adalah 1.575 juta meter persegi.
2. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Terminal 3 – Dubai
Mula dibina pada November 2004 dan dibuka pada tahun 2008 dengan kos pembinaan mencecah RM17.87 bilion, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Terminal 3 yang dibina terutamanya untuk kegunaan Emirates Airlines berkapasiti 43 juta penumpang ini adalah bangunan kedua paling besar di dunia.
Sehingga tahun 2013, hak terminal berkeluasan 1.713 juta meter persegi ini dikongsi oleh Qantas Airlines dengan Emirates dan menggunakan lapangan terbang ini sebagai hab kedua mereka. Terminal ini mampu mengendalikan 40 juta penumpang dan dipisahkan kepada Ruang Legar A dan B.
Ia menempatkan strutktur bawah tanah bertingkat, dua buah hotel iaitu hotel 4 dan 5 bintang, 180 kaunter dan 2,600 tempat letak kereta serta pusat membeli belah.
1. New Century Global Centre – China
Puat Global New Century di Chengdu, China yang merupakan bangunan pelbagai guna, diiktiraf sebagai bangunan paling besar di dunia berdasarkan ukuran lantai iaitu 1.76 juta meter persegi. Pembinaan bangunan ini bermula pada tahun 2010 dan dibuka pada Julai 2013.
Bangunan sepanjang 500 meter ini menempatkan pusat membeli belah, IMAX Cineplex, gelanggang luncur ais, model perkampungan Mediterranean. Paradise Island yang merupakan sebuah taman air yang sangat besar terletak di tengah-tengah kompleks ini dan bagi yang suka membeli belah, bangunan ini mempunyai keluasan lebih daripada 400,000 batu persegi hanya untuk kawasan membeli belah.