Oleh pada 28 Jun 2019 kategori

Cerita rakyat menjadi sebahagian dari kekayaan budaya dan sejarah yang dimiliki setiap bangsa. Begitu juga dengan Malaysia. Jika dikaji dengan teliti, negara kita sebenarnya memiliki cerita rakyat yang sangat menarik.

Cerita rakyat dapat diertikan sebagai ekspresi budaya sesuatu masyarakat melalui tutur bahasa yang berhubungan secara langsung dengan pelbagai aspek budaya dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Zaman dahulu, cerita rakyat diwariskan secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi berikutnya secara lisan. Pada umumnya, cerita rakyat mengisahkan tentang kejadian pelbagai perkara seperti kejadian alam semesta.

lagenda mahsuri

Lukisan Mahsuri

Kebanyakan tokoh-tokoh dalam cerita rakyat biasanya ditampilkan dalam pelbagai bentuk baik yang berupa binatang, manusia ataupun dewa. Kesemua watak-watak ini sering disifatkan sebagai manusia.

Cerita rakyat sangat digemari oleh masyarakat kerana dapat dijadikan sebagai tauladan, penglipur lara dan juga jenaka. Selain itu, cerita rakyat juga mengandungi ajaran tentang budi pekerti atau pendidikan moral dan hiburan bagi masyarakat.

Namun, ramai yang masih lagi tidak jelas tentang perbezaan antara mitos, dongeng, legenda dan hikayat yang merangkumi cerita rakyat yang sering didengar sejak mereka masih kecil lagi. Berikut adalah penjelasan mengenai perbezaan antara sifat-sifat cerita rakyat yang berikut.

Mitos

lagenda raja malam hantu

Mitos adalah cerita prosa rakyat yang menceritakan tentang sesuatu kisah yang berlatarbelakangkan masa lalu. Mitos juga sering diertikan sebagai cerita sesuatu bangsa tentang dewa dan pahlawan zaman dahulu.

Mitos mengandungi penafsiran tentang asal-usul semesta alam, manusia dan bangsa tersebut. Ia mengandungi erti mendalam yang diungkapkan dengan cara ghaib. Mitos dianggap sebagai cerita rekaan tetapi masyarakat tradisional mempercayai bahawa mitos itu benar-benar berlaku.

Menurut Hashim Awang (1985), ciri-ciri cerita mitos ialah cerita yang mengisahkan tentang manusia, makhluk atau peristiwa luar biasa yang tidak rasional atau tidak dapat diterima oleh akal manusia.

Bagi masyarakat Melayu tradisional, cerita mitos adalah suci dan mulia tetapi berlawanan kepada sifat duniawi. Banyak pantang larang dikenakan dalam hal untuk mematuhi cerita mitos dan ia dianggap sebagai sistem kepercayaan yang tidak boleh dipersenda-sendakan.

Ini kerana, masyarakat pada zaman duhulu masih terpengaruh dengan agama Hindu walaupun sudah ada sebahagian masyarakat yang telah memeluk agama Islam.

Dongeng

lagenda kuda terbang

Dongeng adalah bentuk sastera lama yang menceritakan tentang sesuatu kejadian luar biasa yang penuh dengan khayalan (fiksyen). Ia dianggap tidak benar-benar terjadi. Fungsi dongeng adalah untuk menyampaikan pesan moral, mendidik atau menghibur.

Kisah dongeng biasanya diangkat daripada pemikiran fiksyen dan kisah nyata. Ia biasanya diceritakan secara turun-temurun dari generasi ke generasi. Kisah dongeng boleh membawa pendengarnya hanyut ke dalam dunia fantasi.

Walaupun tidak jauh berbeza dengan mitos, kisah dongeng biasanya menceritakan tentang kesedihan atau kebahagian watak-watak, sejarah keluarga atau kesukuan. Manakala mitos pula sering menceritakan peristiwa global dan watak-wataknya selalunya mempunyai sifat luar biasa.

Kisah dongeng sering menjadi pilihan kebanyakan sasterawan dan penerbit buku lalu dimodifikasikan menjadi dongeng moden. Salah satu kisah dongeng yang masih diminati sehingga hari ini ialah kisah 1001 malam.

Kisah asli dari dongeng tersebut hanya diambil sebahagiannya kemudian diubah dan ditambah. Bahkan, ada yang diganti sehingga melencong jauh dari kisah aslinya. Plot kisah dongeng biasanya tidak mempunyai ruang masa dan hampir tidak mungkin dapat ditentukan bila peristiwa tertentu itu berlaku.

Legenda

hikayat raden

Legenda adalah cerita prosa rakyat yang dianggap benar-benar terjadi oleh penyampai cerita tersebut. Biasanya legenda kerap dijadikan sebagai sejarah kolektif.

Isi dan tema cerita legenda berkaitan dengan tokoh-tokoh terkenal yang dipercayai pernah hidup suatu ketika dahulu dan sering dikaitkan dengan sifat kepahlawanan yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

Cerita legenda sering kali dibuat secara berlebih-lebihan dan melampaui kelaziman yang biasa dimiliki oleh seorang manusia. Cerita-cerita tentang tokoh legenda ini juga sering bercampur aduk antara unsur sejarah dengan unsur fantasi.

Tokoh-tokoh legenda biasanya menjadi kemegahan dan kebanggaan sesuatu bangsa seperti memiliki rupa paras yang kacak, berperibadi mulia, bijaksana dan dikagumi setiap orang.

Legenda lebih berpijak di bumi nyata, iaitu tokoh yang dipusatkan 'lazimnya memang pernah hidup dan banyak jasanya. Mereka disenangi dan menjadi sebutan masyarakat, lantaran itu perwatakan mereka telah ditokok tambah oleh masyarakat.

Latar belakang kisah legenda juga berpusat di dunia nyata bukannya dunia khayalan. Antara contoh kisah legenda adalah seperti Hang Tuah dan Mahsuri. 

Hikayat

hikayat hang tuah

Hikayat adalah sebuah karya sastera lama Melayu silam yang berbentuk prosa yang berisi cerita, undang-undang, salasilah yang sifatnya rekaan, biografi, keagamaan, sejarah atau gabungan dari sifat-sifat yang ada. Hikayat biasanya dibaca dan diceritakan untuk menghibur atau menaikkan semangat bangsa.

Cerita-cerita hikayat biasanya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau kejadian yang penting. Cerita hikayat adalah warisan dari penceritaan secara lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk di mana pembaca akan membacanya dengan kuat untuk didengari oleh pendengar.

Hikayat berasal dari bahasa Arab iaitu 'Haka' yang bermaksud bercerita atau menceritakan. Ada kalanya, hikayat ini mirip dengan cerita sejarah yang banyak isinya terdapat hal-hal yang tidak masuk akal dan penuh dengan keajaiban.

Unsur-unsur yang terdapat dalam hikayat tidak jauh berbeza dengan jenis prosa lama yang lainnya. Hikayat dibangunkan oleh dua unsur iaitu unsur intrinsik dan unsur ekstrinsik.

Unsur intrinsik dalam hikayat adalah unsur yang membangun cerita tersebut dari dalam. Sedangkan, unsur ekstrinsik pula adalah unsur yang membangun cerita tersebut dari luar. Unsur-unsur intrinsik yang membangun sebuah hikayat adalah seperti tema, latar, alur, amanat, tokoh, sudut pandang dan gaya.

Rujukan:

1. Kompasiana

2. Sodium Media

3. Karya Agung




Hakcipta iluminasi.com (2017)