Sekiranya anda diberitahu ada bandar atau pekan di dunia ini yang tidak membenarkan anda meninggal dunia, pasti ada antara anda yang merasakan perkara itu sesuatu yang melucukan.

Bagaimanapun, peraturan ini sebenarnya memang wujud; sama ada disebabkan oleh tekanan politik, cuaca ataupun masalah lain. Apa yang jelas, punca utama kenapa larangan itu dikeluarkan pihak berkuasa lima kawasan yang kami senaraikan ini mempunyai fungsi yang berbeza disebabkan oleh kondisi unik yang wujud di setiap kawasan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima kawasan di dunia yang menghalang penduduknya meninggal dunia di kawasan tersebut.

1. Pulau Delos, Greece

delos greece island

Terkenal dalam lipatan sejarah sebagai salah satu lokasi suci orang Yunani (Greece) satu masa dahulu, Pulau Delos dipercayai oleh orang Yunani zaman dahulu sebagai lokasi kelahiran Dewa Apollo, salah satu Tuhan utama orang Yunani.

Oleh kerana itu binaan serta ukiran di sekeliling pulau tersebut dibuat bagi menyembah Apollo, mengangkat Pulau Delos sebagai sebuah kawasan suci. Disebabkan oleh kepentingannya kepada kepercayaan masyarakat Yunani zaman dahulu, Delos diisytiharkan kawasan haram untuk mana-mana manusia yang meninggal dunia mengotorkannya.

Bermula pada tahun 5SM, pemerintah Yunani mengarahkan agar semua pusara yang ada di Delos digali semula, agar mayat-mayat yang ada dipindahkan ke pulau lain. Selepas proses itu selesai, arahan agar tidak ada kematian dibenarkan berlaku di situ dikeluarkan.

Bagi memastikan kesuciannya kekal terjaga, semua penduduk asal Pulau Delos dipindahkan. Kini, Pulau Delos menjadi salah satu tapak warisan sejarah dunia selepas pengisytiharan tahun 1990 dilakukan, cuba melindungi semua lokasi bersejarah yang masih ada di pulau tersebut.

2. Pulau Miyajima, Jepun

rgate tori jepun itsukushima miyajima jepun

Salah satu lokasi pelancongan paling terkenal di negara Jepun, Tokong Itsukushima yang terletak di Pulau Miyajima menjadi tarikan ramai bukan saja kerana keindahannya tetapi statusnya sebagai tokong agama Shinto yang terus mengekalkan tradisinya.

Dibuka pada abad ke 6, Itsukushima merupakan binaan yang dibuka untuk menyembah Tuhan kepercayaan Shinto, Susano-o no Mikoto yang menjaga lautan dan Amaterasu yang mengawal matahari.

Sejak tahun 1878, penjaga tokong Itsukushima memastikan tidak ada sebarang bentuk pelanggaran adat dan tradisi mereka berlaku di pulau tersebut. Mereka tidak membenarkan sebarang bentuk kelahiran dan kematian terjadi di situ, memerlukan sesiapa saja yang hendak bersalin, tua atau mula sakit tenat dipindahkan.

Disebabkan larangan-larangan itu, sudah tentulah pengebumian kematian juga menjadi pantang larang utama di pulau tersebut.

3. Sellia, Itali

sellia italy tak boleh meninggal dunia 832

Disebabkan oleh keperluan untuk mencari pekerjaan di bandar, pekan kecil bernama Sellia yang terletak dalam Calabria di Itali menghadapi penyusutan jumlah penduduk yang ketara - khasnya penduduk muda.

Ini menyebabkan purata umur penduduk pekan tersebut melebihi 60 tahun merangkumi 2 per 3 daripada keseluruhan penduduknya. Sellia mengalami penurunan penduduk daripada lebih 1,300 orang pada dekad 1960-an kepada hanya 537 orang pada tahun 2015.

Oleh kerana itu Datuk Bandar Sellia, Davide Zicchinella terpaksa melaksanakan pengisytiharan undang-undang pada tahun 2015, untuk mewajibkan kesemua penduduk yang ada menjalani ujian kesihatan berkala.

Sekiranya mereka gagal menghadiri ujian dan jatuh sakit, mereka akan dikenakan bayaran cukai sebanyak EUR10 setahun. Walaupun amaunnya sedikit, sambutan yang diterima terhadap pengenalan undang-undang tersebut amat menggalakkan.

Kami tidak tahu siapa yang perlu membayar kompaun itu, seandainya kematian benar-benar berlaku.

4. Sarpourenx, Perancis

sarpourenx perancis

Berbeza dengan Sellia, sebuah pekan kecil bernama Sarpourenx di Bordeaux, Perancis mempunyai masalah menguruskan kematian disebabkan oleh kegagalan mereka mendapatkan tambahan kawasan pengebumian berdekatan mereka.

Kawasan-kawasan pusara yang ada di pekan itu sudah penuh serta tidak lagi mampu menampung, seandainya berlaku pertambahan kematian.

Bagi 'menyelesaikan' masalah ini, Datuk Bandar Sarpourenx, Gerard Lalanne mengumumkan undang-undang baru bahawa tidak ada kebenaran akan dikeluarkan untuk mana-mana 260 orang penduduk Sarpourenx meninggal dunia di situ.

Sekiranya mereka ingin meninggal dunia, mereka perlu bergerak ke tempat lain kerana pihak pentadbiran pekan tidak lagi berupaya menguruskan jenazah mereka. Kegagalan untuk mematuhi arahan ini, akan menyebabkan hukuman teruk bakal dikenakan pada pesalah.

Dilakukan sebagai satu simbol protes, dekri undang-undang itu diperkenalkan Lalanne pada 13 Februari 2008. Bagaimanapun, tiada 'pesalah' sempat dihukum - kerana Lalanne sendiri meninggal dunia 10 bulan selepas pengenalan undang-undang baru tersebut.

5. Longyearbyen, Norway

longyearbyen norway

Sekiranya semua lokasi di atas menghalang kematian disebabkan oleh kepercayaan atau masalah setempat, Longyearbyen yang terletak di Svalbard, Norway pula menghadapi masalah yang cukup berbeza - cuaca sejuk di situ menghalang pereputan mayat.

Svalbard mula terkenal sebagai sebuah pekan perlombongan pada era 1900-an, membawa bersama komuniti campuran dari Russia, Chile malahan komuniti dari Filipina dan Thailand ke sana, mencari rezeki.

Perlu kami perjelaskan, Longyearbyen sangat popular dalam internet sebagai lokasi di mana 'kematian tidak dibenarkan sama sekali', dipercayai disebabkan oleh cuaca sejuknya yang melampau. Dakwaan ini separa benar. Tidak ada apa-apa larangan khas dikenakan kepada mana-mana individu 'untuk meninggal dunia' di Longyearbyen.

Penduduknya boleh meninggal seperti biasa! Rujuk gambar di atas.

Bagaimanapun, disebabkan cuaca yang terlampau sejuk, pengebumian mayat tidak dilakukan menggunakan keranda. Sebaliknya, hanya mayat yang telah dibakar dibenarkan untuk dikebumikan di situ, memberikan pekan tersebut peraturan unik yang jarang diamalkan di tempat lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)