Sebahagian besar daripada kita pastinya pernah berenang di kolam renang tidak kiralah kolam renang di hotel, pusat akuatik ataupun kolam renang persendirian. Selain berenang untuk keseronokan, berenang juga sebenarnya merupakan satu aktiviti riadah atau senaman yang sangat bagus untuk badan. 

Sesetengah kita sedia maklum bahawa air yang digunakan dalam kolam renang bukanlah air paip semata-mata sebaliknya telah dicampur bahan kimia cecair pembasmi kuman seperti klorin. Disebabkan itulah kita digalakkan untuk memakai "goggle" bagi melindungi mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin juga sesetengah daripada kita pernah mempunyai pengalaman berenang di dalam air kolam renang yang mempunyai bau klorin yang kuat. Namun, tahukah anda bahawa bau klorin yang kuat ini sebenarnya petanda bahawa air dalam kolam tersebut bukan berada pada tahap terbaik?

Bukan berasal daripada klorin

kolam renang

Benar, sebenarnya bau yang anda anggap daripada klorin itu sebenarnya bukanlah bau yang terhasil daripada klorin. Sebaliknya, ia adalah bau yang dihasilkan oleh kloramin, sejenis sebatian kimia yang terhasil di kolam renang sekiranya airnya tidak dirawat dengan betul.

Kloramin ini jugalah punca mengapa sesetengah orang yang sensitif terhadapnya akan terdedah kepada kerengsaan mata, paru-paru dan kulit. Tidak hairanlah mengapa perenang yang tidak memakai goggle akan mendapati mata mereka merah dan kegatalan.

Kloramin terhasil daripada kombinasi dua "bahan" berikut:

  1. Klorin pembasmi kuman
  2. Peluh, minyak atau air kencing yang datangnya dari para perenang

Klorin pembasmi kuman memang digunakan untuk membunuh kuman yang berisiko menyebabkan cirit-birit, sakit telinga dan kaki para perenang. Namun, peluh, minyak dan air kencing adalah pencemaran yang disebabkan oleh para pengguna kolam renang itu sendiri.

Adakah klorin tidak berupaya "membasmi" bahan pencemar ini?

bau klorin

Mungkin ada sesetengah individu tertanya-tanya, mengapakah klorin yang ditambah pada air kolam renang tidak membasmi sahaja bahan-bahan pencemaran (peluh, air kencing, minyak) ini? Bukankah itu fungsi sebenarnya klorin?

Benar. Namun, terdapat sela masa tertentu antara masa bahan asing ini memasuki air kolam dan masa yang diperlukan oleh klorin dan bromin untuk membunuhnya. Selain itu, kuman daripada bendasing ini boleh terapung sekitar beberapa minit sebelum bahan kimia yang digunakan (klorin) bertindak balas membunuhnya.

Apabila bendasing ini terlalu banyak, secara tidak langsung klorin yang diletakkan dalam kolam renang akan lebih cepat "digunakan" untuk membasmi atau "membersihkan" bendasing ini. Disebabkan hal ini, maka kandungan klorin akan berkurangan untuk membasmi dan melawan kuman-kuman lain yang ada dalam kolam renang.

Apabila klorin berkurang, maka lebih mudahlah penyakit yang berpunca daripada kuman parasit tersebar. Beberapa jenis kuman seperti Cryptosporidium parasit boleh bertahan sehingga 10 hari walaupun di dalam air yang dirawat dengan klorin dan bahan kimia lain.

Di Amerika Syarikat, antara tahun 2011 hingga 2012 sahaja terdapat 1780 kes yang direkodkan disebabkan penyakit yang berpunca daripada kuman parasit ini.

Jadilah pengguna kolam renang yang bertanggungjawab

etika guna kolam renang 245

Bagi pengguna kolam renang, mungkin anda pernah mendengar saranan supaya membilas atau mandi terlebih dahulu sebelum memasuki kolam renang. Pernahkah anda terfikir apakah rasionalnya di sebalik saranan ini? Ianya adalah untuk membersihkan badan daripada peluh pada badan yang akan mencemarkan kolam renang itu sendiri.

Selain itu, elakkan daripada membuang air kecil dalam kolam renang. Mungkin anda berasa pelik dan geli kerana perbuatan tersebut dianggap menjijikkan. Realitinya, memang ada segelintir kecil pengguna kolam renang yang sengaja membuang air kecil ketika mandi kerana beranggapan tidak ada manusia lain yang akan menyedari perbuatan tersebut.

Sekiranya anda mempunyai anak kecil, pesan kepada mereka supaya jangan sesekali meminum air daripada kolam renang. Kloramin telah dikaitkan dengan beberapa penyakit berkaitan gangguan pernafasan dan beberapa kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang berenang di kolam tercemar mempunyai tahap risiko yang sama untuk mendapat asma daripada asap rokok.

Salah faham mengenai "bau" klorin di kolam renang

tindakbalas kimia kolam renang

Selepas anda membaca artikel ini, diharapkan anda sudah faham sekiranya bau kolam tersebut terlalu kuat, itu bermakna kolam tersebut sebenarnya tidak mempunyai pembasmi kuma yang mencukupi untuk membasmi kuman-kuman yang ada dalam air. Dalam erti kata lain, kandungan kloramin adalah tinggi dan tidak disarankan untuk berenang di kolam tersebut.

Oleh itu, sebelum mandi sila gunakan deria bau anda dengan sebaiknya untuk mengetahui tahap bau di kolam tersebut. Sekiranya anda dapati bau air terselalu kuat, sila laporkan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti penjaga kolam agar tindakan susulan dapat diambil untuk memastikan air kolam dapat dirawat semula untuk kegunaan orang awam.

Kredit:

  1. American Chemistry
  2. Live Science



Hakcipta iluminasi.com (2017)