Sejak kecil, kita biasanya didedahkan dengan kemahiran untuk berenang. Kemahiran ini penting untuk keselamatan kita apabila kita dewasa kelak. Biasanya kolam renanglah tempat paling selamat dan sesuai bagi ibu bapa mendedahkan anak-anak dengan aktiviti berenang ini.
Dalam sejarah, kolam renang yang paling awal diketahui yang menjadi kolam tempat mandi awam dibina lebih 5,000 tahun lalu dan orang ramai tidak menoleh ke belakang sejak itu. Kolam renang sentiasa menjadi lokasi untuk acara rekreasi air yang lebih mudah didapati berbanding tasik atau pantai.
BESARKAN TEKS A- A+
Dengan teknologi yang ada masa kini, manusia sudah berupaya membina kolam renang yang lebih besar dan pada masa yang sama memastikannya airnya sentiasa selamat untuk manusia. Kali ini, kami ingin kongsikan pula 7 kolam renang paling besar di dunia.
7. Pusat Rekreasi Empangan Hansen
Kolam renang di Pusat Rekreasi Empangan Hansen di Los Angeles ialah kolam terbesar di Amerika Syarikat. Kolam renang ini dibuka kepada orang ramai dan dianggap sebagai salah satu kolam awam terbaik di California. Kolam Empangan Hansen mempunyai keluasan 1.5 ekar (6,100 meter persegi) dan terletak di lembangan kawalan banjir berhampiran Empangan Hansen.
Selain kolam renang, Pusat Rekreasi Empangan Hansen juga menempatkan tasik seluas 9 ekar (36,421.7 meter persegi) di mana orang ramai boleh memancing, menaiki bot dan kayak namun orang ramai tidak dibenarkan berenang di tasik ini. Kolam renang ini mula beroperasi dan dibuka kepada orang awam pada tahun 1998.
6. Hayman Island Resort
Walaupun Hayman Island Resort terletak di Pulau Hayman tropika di Australia, resort ini mempunyai salah satu kolam terbesar di dunia. Kolam renang Hayman Island Resort adalah kira-kira 1.8 ekar (7,284.34 meter persegi) dan mempunyai banyak bilik resort dengan akses terus atau pemandangan kolam.
Terdapat sebuah resort di Pulau Hayman, yang terletak di Great Barrier Reef, sejak tahun 1940-an dan hotel yang ada kini telah dibina pada tahun 1987. Pulau Hayman adalah sebuah pulau yang agak kecil dengan hanya berkeluasan 400 hektar dan hanya kira-kira 4 kilometer panjang dengan 3 kilometer lebar.
5. Piscine Alfred Nakache
Piscine Alfred Nakache bukan sahaja kolam terbesar di Perancis, ia juga kolam terbesar di Eropah. Kolam ini yang dinamakan sempena perenang Olimpik Perancis Alfred Nakache, mempunyai keluasan 1.85 ekar (7,500 meter persegi). Selain itu, Piscine Alfred Nakache adalah 12.5 meter lebar dan mempunyai kedalaman maksimum 2 meter.
Piscine Alfred Nakache dibuka kepada orang ramai dengan bayaran yang kecil dan program keahlian berdiskaun juga disediakan. Kolam renang ini juga menganjurkan beberapa acara komuniti dan kelas untuk orang dewasa dan kanak-kanak.
4. Dreamworld Fun Lagoon
Dreamworld Fun Lagoon ialah kolam air tawar terbesar di dunia seluas 2.2 ekar (8,903.08 meter persegi). Kolam renang ini terletak di Dreamworld Resort, Hotel and Golf di Karachi, Pakistan. Selain kolam renang, Dreamworld mempunyai pantai buatan manusia yang merupakan yang pertama seumpamanya di Pakistan.
Dreamworld's Fun Lagoon cukup besar untuk menampung 8.14 juta liter air. Memandangkan kolamnya sangat besar, orang ramai boleh menyewa beberapa peralatan sukan air termasuk kenu, bot dayung dan belon gelongsor.
3. MahaSamutr
Kolam renang di MahaSamutr, sebuah villa mewah dan kelab desa persendirian di Hua Hin, Thailand adalah kolam terbesar di Asia. Kolam MahaSamutr merupakan satu lagi projek yang dibina oleh Crystal Lagoon, syarikat yang pakar dalam membina kolam air masin di mana-mana sahaja di dunia.
Kolam di MahaSamutr adalah 17.8 ekar (72,034.04 meter persegi) dan merupakan projek pertama untuk syarikat Cystal Lagoon di Thailand. MahaSamutr telah direka oleh arkitek terkenal Jepun, Kengo Kuma dan harga sebuah villa disini adalah sekitar antara $1.2 juta – $2.5 juta.
2. San Alfonso del Mar
Kolam renang di San Alfonso del Mar ialah pemegang Rekod Dunia Guinness sebelum ini untuk kolam renang terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, rekod ini telah diatasi oleh satu lagi projek Crystal Lagoon pada tahun 2012. Kolam San Alfonso del Mar adalah lebih daripada 19 ekar (80,000 meter persegi) dan menampung lebih 250 juta liter air.
Seperti semua kolam binaan syarikat Crystal Lagoon, kolam di San Alfonso del Mar mengandungi air masin. Selain besar dari segi isipadu air, kolam San Alfonso del Mar juga sangat panjang - panjangnya melebihi 1 kilometer.
1. Citystars Sharm El Sheikh
Pada 2012, syarikat Crystal Lagoons membina kolam renang terbesar di dunia di pusat peranginan Citystars Sharm El Sheikh di Mesir. Pelbagai siaran akhbar mengatakan bahawa kolam itu adalah kira-kira 30 ekar (121,406 meter persegi), tetapi menurut Guinness World Records, kolam Sharm El Sheikh adalah 23.83 ekar (96,437 meter persegi).
Kolam Citystars Sharm El Sheikh juga memegang rekod sebagai lagun buatan manusia terbesar di dunia. Crystal Lagoon di Citystars Sharm El Sheikh mengandungi air masin. Bekalan air masin datang dari telaga di padang pasir yang airnya boleh didapati secara semulajadi.
Kredit: