Oleh pada 07 Jun 2020 kategori

Sekiranya diajukan satu soalan kepada anda - adakah kulit mampu menyerap air, apa jawapan anda?

Besar kemungkinan ramai akan keliru berhadapan dengan soalan itu kerana secara mata kasarnya, semasa kita mandi - air yang membasahi tubuh kita kelihatan seakan tidak diserap oleh kulit.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, kita juga kerap menggunakan ubat-ubatan seperti krim pelembap, minyak angin dan bermacam lagi produk untuk menyembuh atau memperkuatkan kulit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah kulit kita menyerap air semasa kita mandi? Jika tidak, kenapa pula kulit kita mampu menyerap bahan berubat? Tahu tak jawapan kepada persoalan ini?

Adakah kulit kita menyerap air?

wajah serap air

Adakah kulit kita menyerap air? Siapa tahu jawapan sebenar? Penulis beri anda masa masa 5 saat untuk cuba menjawab soalan ini. Ya atau tidak?

5...4....3....2.....1!

Kulit kita sebenarnya menyerap air dalam bentuk wap. Di luar permukaan kulit kita, terdapat lapisan paling atas yang dinamakan sebagai 'stratum corneum' (SC) yang membentuk apa yang kita kenali sebagai lapisan epidermis.

SC memainkan banyak peranan yang penting pada tubuh kita. Dua fungsi utamanya adalah untuk mengawal suhu badan kita dan yang kedua, menghalang kehilangan dan penyerapan cecair.

Dibentuk oleh sel-sel kulit yang setiap masa bertukar ganti dibentuk daripada keratin, setiap SC mempunyai jangka hayat 2 minggu maksima.

Salah satu elemen penting dalam SC adalah corneocytes, lapisan sel-sel mati yang dipenuhi dengan filamen keratin tersusun di bahagian luaran SC.

Kenapa jari menggerutu bila berendam?

kulit selepas berenang berkedut 228

Apabila didedahkan dengan kelembapan, corneocytes akan mula bertindak balas tak kiralah sama ada disebabkan terkena air atau berada dalam persekitaran yang berbeza, menyerap lembapan sehinggakan saiznya mampu membesar lebih 50%.

Sekiranya terlalu lama didedahkan dalam lembapan atau air, corneocytes tadi akan mula berubah bentuk lebih ketara, membesar sehingga mampu menghasilkan bengkak-bengkak halus yang selalu kita nampak bila kita rendam tangan dalam air.

Bagaimanapun, perubahan kulit yang kita istilahkan sebagai 'pruning' itu berlaku pada bahagian hujung jari tangan dan kaki bukan di bahagian permukaan kulit lain, kerana hanya dibahagian itulah lapisan SC lebih tebal berbanding kulit lain.

Apabila lapisan SC-nya tebal, itu menandakan corneocytes nya banyak, membolehkan penyerapan air berlaku dengan lebih.

Adakah suhu memainkan peranan dalam tahap kelembapan kulit?

bilik wap kel3mbapan tinggi

Sifat lapisan stratum corneum yang unik ini, dilabelkan sebagai sifat higroskopik - di mana lapisan itu mampu menyerap air sekiranya cecair itu berada dalam bentuk wap dipercayai terjadi akibat perubahan asid amino pada filamen keratin yang ada.

Tahap kelembapan lebih 85% daripada kelembapan udara perlu dicapai bagi membolehkan tindak balas ini.

Seandainya tahap kelembapan ini tidak dipenuhi, perubahan pada saiz corneocytes akan berlaku pada tahap yang terlalu rendah sehinggakan tiada perubahan dapat dilihat.

Harus diingatkan - perubahan akibat pertambahan kelembapan ini hanya berlaku pada bahagian lapisan stratum corneum sahaja ya. Semua bahagian lain di jari yang mengalami 'kecut-kecut' ini tidak mengalami sebarang bentuk perubahan.

Persoalannya - bagaimana ubat boleh menyerap ke dalam kulit?

sapu krim kulit daya serapan

Jadi kita tahu kulit kita mampu menyerap wap, tetapi hanya pada bahagian luaran utama kulit. Bagaimana pula dengan ubat-ubatan yang mengandungi bahan aktif?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu mengetahui tentang dua jenis ubat yang ada, sama ada berbentuk topikal atau transdermal. Ubat topikal merupakan ubat yang tidak mampu masuk ke dalam kulit dan hanya mampu menyelaputi lapisan luar.

Sementara ubat transdermal pula direka untuk menyerap masuk melalui lapisan epidermis, seterusnya diserap oleh sel-sel di kawasan di mana ubat itu disapu atau diaplikasi.

Melalui proses yang dinamakan sebagai proses 'transcutaneous' di mana sesuatu boleh melalui lapisan kulit, pembangun ubat-ubatan memperkenalkan apa yang diistilahkan sebagai '500 Dalton Rule' atau 'Peraturan 500 Dalton'. (PDF)

Semua ubat-ubatan bersifat transdermal yang mengandungi kompaun atau partikel bersauz 500 Dalton daripada berat molekularnya. Dalton adalah unit yang digunakan bagi mengukur berat molekul (molar weight) dalam industri kimia dan fizik.

1 Dalton atau 1 Da bersamaan dengan 1.66054e-18 mikrogram.

Setiap molekul dalam ubat-ubatan mampu menembusi kulit seandainya saiz molekul yang terkandung di dalamnya, tidak melebihi 500 Da atau 8.3027e-16 mikrogram.

Sebagai perbandingan, molekul air secara purata mempunyai berat molekular di antara 18 ke 22 Da, menunjukkan air memang mampu diserap ke dalam kulit kita semasa kita mandi - asalkan tahap kelembapannya cukup tinggi melebihi 85% seperti yang kami sebutkan di atas.

Rujukan

Water and Water Vapor Absorption of the Stratum Corneum of the Living Human Skin (PDF)

Skin hydration: interplay between molecular dynamics, structure and water uptake in the stratum corneum




Hakcipta iluminasi.com (2017)