Perkara yang paling sinonim dengan perayaan hari Natal sudah tentunya lah watak Santa Claus. Santa Claus digambarkan sebagai seorang lelaki tua berjambang lebat berwarna putih dan memakai sut ikoniknya yang berwarna merah putih serta bertopi.
Dia merupakan individu yang sangat disukai dan disayangi ramai terutamanya oleh kanak-kanak. Kanak-kanak di seluruh dunia percaya bahawa mereka akan menerima hadiah daripada Santa Klaus pada hari Natal.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, umum tahu bahawa Santa Claus tidak wujud dalam dunia sebenar, tetapi bagaimana watak ini boleh memberikan impak yang besar bagi perayaan ini?
Legenda Santa Claus dikatakan bermula beratus-ratus tahun melibatkan seorang paderi yang bernama St. Nicholas. Dipercayai bahawa Nicholas dilahirkan sekitar 280 A.D. di Patara, berhampiran Myra di negara Turki moden.
Sangat dikagumi kerana bersifat alim dan kebaikannya, St. Nicholas menjadi subjek bkepada anyaklegenda.
Dikatakan bahawa dia menyerahkan semua kekayaan yang diwarisinya dan mengembara ke kampung-kampung bagi membantu orang miskin dan sakit.
Salah satu cerita St. Nicholas yang paling terkenal adalah di mana dia menyelamatkan tiga beradik perempuan miskin daripada dijual sebagai hamba atau pelacuran oleh ayah mereka dengan menyediakan mas kahwin supaya mereka boleh berkahwin.
Selama bertahun-tahun, populariti Nicholas tersebar dan dia dikenali sebagai pelindung kanak-kanak dan pelaut. Hari perayaannya disambut pada ulang tahun kematiannya, 6 Disember.
Secara tradisinya, hari ini dianggap sebagai hari bertuah untuk membuat belian besar atau berkahwin. Bagi Renaissance, St. Nicholas adalah paderi yang paling popular di Eropah.
Walaupun selepas Reformasi Protestan, ketika penghormatan terhadap paderi mula tidak digalakkan, St. Nicholas masih mengekalkan reputasi yang positif terutamanya di Belanda.
Sinterklaas datang ke New York
St Nicholas pertama kali menembusi budaya popular Amerika menjelang akhir abad ke-18.
Pada Disember 1773, dan sekali lagi pada 1774, sebuah syarikat akhbar New York melaporkan bahawa beberapa kumpulan keluarga Belanda telah berkumpul untuk menghormati ulang tahun kematiannya.
Nama Santa Claus adalah evolusi dari nama samaran Belanda nya iaitu Sinterklaas, singkatan kepada Sint Nikolaas (Saint Nicholas dalam bahasa Belanda).
Pada tahun 1804, John Pintard, ahli Persatuan Sejarah New York, telah mengagihkan cetakan St. Nicholas pada mesyuarat tahunan masyarakat.
Latar belakang ukiran itu mengandungi imej Santa (yang popular pada hari ini), termasuk stoking yang penuh dengan mainan dan buah yang digantung.
Pada tahun 1809, penulis bernama Washington Irving membantu mempopularkan cerita-cerita Sinter Klaas ketika dia merujuk kepada St. Nicholas sebagai penaung paderi New York dalam bukunya, The History of New York.
Apabila popularitinya meningkat, Sinter Klaas digambarkan sebagai segala-galanya dari "raskal" dengan topi biru, baju merah, dan stoking kuning hinggalah kepada seorang lelaki yang memakai topi lebar dan "sepasang sut Flemish."
Tradisi memberi hadiah
Pemberian hadiah yang biasanya bagi kanak-kanak telah menjadi sebahagian penting dari sambutan Krismas sejak awal abad ke-19.
Kedai-kedai mula mengiklankan beli-belah untuk Krismas pada tahun 1820, dan pada tahun 1840-an, akhbar-akhbar telah menghasilkan slot berasingan bagi iklan perayaan yang sering menampilkan imej Santa Claus yang mula terkenal.
Pada tahun 1841, beribu-ribu kanak-kanak melawat sebuah kedai di Philadelphia untuk melihat model Santa Claus yang bersaiz sebenar.
Tak lama kemudian, kedai-kedai mula menarik kanak-kanak dan ibu bapa mereka, dengan tarikan menggunakan Santa Claus yang "hidup".
Pada awal tahun 1890-an, Tentera Salvation memerlukan wang untuk membayar makan Krismas yang diberikan secara percuma kepada keluarga yang memerlukan.
Mereka mula memakaikan pakaian Santa Claus kepada penganggur dan menghantar mereka ke jalan-jalan di New York untuk mengutip derma.
Sejak itu, kumpulan "Santa Claus" tersebut membunyikan loceng di jalan-jalan di bandar Amerika Syarikat.
Santa Claus di seluruh dunia
(Père Noël, Santa Claus versi Perancis)
Santa Claus Amerika abad ke-18 bukanlah satu-satunya pemberi hadiah yang diilhamkan oleh St Nicholas. Christkind atau Kris Kringle dipercayai menghantar hadia kepada kanak-kanak Jerman dan Switzerland yang berkelakuan baik.
Christkind membawa maksud "Anak Jesus" yang dikatakan merupakan tokoh seperti malaikat dan sering disertai oleh St Nicholas ketika misi menghantar hadiah.
Di Scandinavia, seorang elf riang yang bernama Jultomten didakwa telah menyampaikan hadiah dalam kereta luncur yang ditarik oleh kambing.
Legenda Inggeris menjelaskan bahawa Bapa Krismas melawat setiap rumah pada malam Krismas untuk mengisi stoking kanak-kanak dengan hadiah perayaan manakala Père Noël bertanggungjawab untuk mengisi kasut kanak-kanak di Perancis.
Tradisi Santa Claus masih dipercayai sehingga kini dan dilakukan di seluruh dunia.
Rujukan:
1. History
2. Nat Geo