Krismas atau Hari Natal adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Kristian di seluruh dunia pada tanggal 25 Disember setiap tahun. Sambutan perayaan Krismas ini dilihat lebih meriah di negara-negara barat di mana kebanyakan penduduknya beragama Kristian.
Namun, terdapat beberapa buah negara yang tidak membenarkan sambutan perayaan Krismas ini. Apa yang lebih mengejutkan, ada juga negara barat yang kini menyambut Krismas dengan meriah tetapi suatu masa dahulu pernah mengharamkannya. Berikut adalah beberapa negara yang pernah dan masih mengharamkan sambutan perayaan Krismas.
BESARKAN TEKS A- A+
1. England
Apabila Raja Charles I digulingkan ketika Perang Saudara Inggeris, pemimpin tentera dan politik Inggeris bernama Oliver Cromwell telah melarang sambutan Krismas dan sebarang sambutan keagamaan yang lain di negara itu pada tahun 1645.
Ini kerana golongan Puritan (Penganut Protestan) menganggap bahawa perayaan itu hanya mengundang keborosan dan kebebasan hawa nafsu. Ketajaan ketika itu telah mengarahkan semua kedai dibuka pada Hari Krismas dan mereka akan membasmi sebarang perayaan yang dilakukan secara rahsia.
Apabila Oliver Cromwell meninggal pada tahun 1658, Raja Charles II telah memulihkan semula kuasa raja-raja di negara itu dan Krismas disambut semula selepas 15 tahun pada 1660. Disebabkan kehadiran Puritan yang masih ramai, Krismas tidak menjadi cuti rasmi sehinggalah tahun 1856. (sumber)
2. Brunei
Pada tahun 2014, Brunei secara rasminya telah mengharamkan sambutan Hari Krismas di khalayak umum. Ia termasuklah pakaian atau topi Santa Claus, menyanyikan lagu Krismas atau perhiasan pokok Krismas serta simbol-simbol lain berkaitan dengannya.
Menurut kerajaan Brunei, sambutan Krismas secara terbuka dan berlebihan boleh memesongkan akidah populasi Muslim di negara itu. Sambutan Krismas masih boleh dilakukan secara tertutup tetapi perlulah dilaporkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Bagi sesiapa yang melanggar larangan itu, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum sebanyak BND 20,000 (RM 61260). (sumber)
3. Tajikistan
Pada tahun 2015, Kementerian Pendidikan Tajikistan telah mengharamkan sambutan Krismas seperti menghiasi pokok Krismas, jamuan perayaan, pertunjukan bunga api dan pertukaran hadiah.
Negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim ini juga telah mengharamkan Santa Claus pada tahun 2014 berikutan kematian seorang lelaki yang dibunuh kejam pada tahun 2011 kerana memakai pakaian seperti Santa. Selain itu, Tajikistan juga mengharamkan sambutan Halloween dan Tahun Baru. (sumber)
4. Arab Saudi
Sebelum ini, perayaan Krismas disambut secara diam-diam oleh pekerja asing di Arab Saudi. Beberapa tahun yang lalu, negara itu secara rasminya mengharamkan sambutan Krismas. Pihak Kastam Arab Saudi telah mengharamkan pengimportan pokok Krismas ke negara itu.
Selain itu, orang beragama Islam di Arab Saudi juga dilarang mengucapkan "Merry Christmas" kepada mereka yang beragama Kristian. (sumber)
5. Korea Utara
Walaupun Korea Utara tidak mengharamkan Krismas secara rasmi tetapi negara itu adalah antara negara yang mempunyai layanan buruk terhadap sambutan perayaan itu dan penganutnya.
Bukan sahaja Kristian malah Korea Utara juga mengharamkan penyebaran mana-mana agama lain serta perayaannya. Apa yang menariknya, Malam Krismas dirayakan di Korea Utara sebagai hari lahir Ibu Suci Revolusi iaitu ibu kepada Kim Jong Il. (sumber)
6. Albania
Albania bukan sahaja mengharamkan Krismas tetapi juga agama Kristian dan agama-agama lain secara rasmi pada tahun 1967. Ini menjadikan Albania sebagai negara ateis pertama di dunia.
Larangan itu telah ditarik selepas kejatuhan parti komunis pada tahun 1970 tetapi agama dan perayaan keagamaan masih diamalkan secara bersembunyi. Hanya pada awal tahun 1990-an barulah penganut Islam dan Kristian dapat mengamalkan kepercayaan secara umum. (sumber)
7. Amerika Syarikat
Ketika Puritan (Protestan) tiba di tanah Amerika pada tahun 1620, mereka cuba mengharamkan Krismas. Mereka juga telah menetap bahawa satu-satunya cuti keagamaan yang patut dirayakan adalah Hari Sabbath (Ahad).
Larangan ini dilaksanakan dengan ketat dan sesiapa yang ingkar akan ditangkap. Malah, Gabenor Massachusetts juga pernah dipenjarakan kerana menaja satu perkhidmatan Krismas. Larangan itu telah ditarik balik pada tahun 1689. (sumber)
8. Cuba
Ketika mengambil alih kuasa tahun 1959, Fidel Castro telah mengumumkan bahawa Cuba adalah sebuah negara atheis. Pada tahun 1969, pemimpin komunis itu telah mengharamkan perayaan Krismas.
Pada tahun 1998, Pope John Paul II telah melawat Cuba dan memujuk Castro untuk menarik balik larangan itu. Castro akhirnya bersetuju dan mengisytiharkan Hari Krismas sebagai hari cuti kebangsaan. (sumber)
9. Somalia
Pada tahun 2013, Kementerian Kehakiman dan Hal Ehwal Agama Somalia telah mengharamkan perayaan Krismas di negara itu. Mereka berbuat demikian kerana majoriti penduduk Somalia beragama Islam dan perayaan Kristian itu boleh melemahkan kepercayaan mereka.
Pada tahun 2015 pula, Somalia telah melarang sambutan Malam Tahun Baru dan mengarahkan pihak berkuasa untuk memantau sekiranya ada pihak yang ingkar dan melakukannya. (sumber)
10. China
Agama Kristian dan perayaan Hari Krismas telah diharamkan di China sejak tahun 1949 lagi. Ini kerana negara itu yang sebelum ini mengamalkan pentadbiran Komunis sama seperti Korea Utara dan Albania.
Hari ini, perayaan Hari Krismas disambut dengan meriah di China terutamanya di bandar-bandar besar seperti Beijing atau Shanghai. Namun, terdapat beberapa bandar lain di China yang masih tidak setuju dengan sambutan perayaan Kristian ini. (sumber)