Konvokesyen dan sambutan habis sekolah di negara kita, kebiasaannya mengekalkan tradisi yang bersifat konservatif serta tidak lari jauh daripada aturcara majlis formal.
Bagaimanapun, di beberapa negara lain di seluruh dunia, tradisi menyambut tamatnya sekolah atau zaman universiti seringkali diselit dengan elemen atau unsur yang ada dalam masyarakat tersebut, menjadikan sambutannya tampak unik dan mempunyai identiti sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Kelainan dalam meraikan golongan pelajar yang akan melangkah ke alam yang lebih matang, pasti akan meninggalkan kesan dalam diri setiap pelajar. Berikut adalah lima tradisi yang boleh dikatakan unik dan ada yang ganjil, diamalkan masyarakat luar dalam menyambut tamatnya peringkat-peringkat persekolahan dan pendidikan.
1. Finland
Berbeza dengan majoriti negara lain - Finland menjadi satu-satunya negara di dunia yang menghadiahkan sebilah pedang kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah. Apa yang unik, pemakaian pedang itu diwajibkan dalam semua acara konvokesyen peringkat tersebut.
Pedang tersebut secara simbolik bermakna pelajar itu perlu bersedia mempertahankan kebenaran, tak kira apa jua yang berlaku. Hanya pedang kemerdekaan Finland dibenarkan, lelaki akan memakainya di bahagian kiri pinggang dan pelajar wanita pula bebas menggayakannya, mengikut kesesuaian pakaian mereka. Pedang yang digunakan pula, bukan pedang replika ya. Pedang betul. (rujukan)
2. Sweden
Bagi pelajar yang menamatkan pengajian persekolahan tinggi di Sweden, dalam sesi graduasi mereka semua pelajar wajib memakai sejenis topi yang dinamakan sebagai 'studentmossa.' Topi berwarna putih dan hitam yang menyerupai topi kelasi ini merupakan tradisi yang telah diamalkan masyarakat Sweden sekian lama.
Tradisi ini bermula sekitar abad ke 19, apabila pelajar-pelajar yang berjaya melayakkan diri untuk masuk ke universiti, dihadiahkan topi tersebut sebagai satu momento mereka. Setiap topi mempunyai rekaan yang hampir serupa kecuali lencana yang dipasang berbeza mengikut sekolah dan bahagian fabrik di dalamnya kebiasaannya memaparkan bendera Sweden.
3. Argentina
Sekiranya kebanyakan graduan berusaha memakai pakaian terbaik mereka semasa konvokesyen, di Argentina pula graduan kebanyakannya tidak bersusah payah sangat nak pakai cantik-cantik. Ini kerana sudah menjadi tradisi mereka mana-mana graduan yang berjaya menamatkan pengajian, akan dibaling dengan telur oleh rakan-rakan, ahli keluarga dan saudara mara.
Walaupun telur menjadi objek paling popular, bahan makanan lain seperti tepung, sos, sirap atau apa saja bahan yang tidak boleh mencederakan layak dijadikan balingan. Masyarakat Argentina percaya dengan melumurkan pelajar yang selamat menamatkan pengajian, ini akan membawa nasib baik pada mereka di masa depan.
4. Rusia
Di Russia, setiap kali tiba penghujung musim persekolahan, detik yang setiap pelajar nantikan adalah loceng terakhir persekolahan sebelum peperiksaan besar. Tradisi yang dikenali dengan nama 'Last Bell' ini menjadi salah satu acara tahunan masyarakat mereka. Kebiasaannya disambut pada setiap 25 Mei setiap tahun, sambutan ini bukan saja melibatkan pelajar yang menamatkan persekolahan sepenuhnya, malahan melibatkan semua pelajar dari semua peringkat umur.
Semua pelajar perempuan yang akan menamatkan persekolahan beramai-ramai akan memakai baju uniform bercorak klasik berwarna hitam, yang pernah dipakai nenek moyang mereka dengan sehelai kain apron. Apron yang dipakai pula adalah tanda penghargaan kepada ibu dan nenek mereka yang bersusah payah membesarkan mereka.
5. Norway
Sekiranya anda tonton filem komedi remaja Hollywood yang memaparkan kehidupan remaja di sana, anda pasti menyangkakan mereka sudah liar habis. Bagaimanapun, apa yang dilakukan pelajar Norway jauh lebih dahsyat berbanding dengan apa yang dipaparkan dalam filem Hollywood.
Selepas tamat persekolahan, pelajar-pelajar Norway akan melalui tradisi 3 minggu berparti yang dikenali sebagai 'Russefeiring.' Tradisi ini bermula pada 20 April dan akan berakhir pada 17 Mei, tarikh hari kebangsaan negara tersebut. Russefeiring adalah tradisi lama, diperkenalkan pada tahun 1905 sempena meraikan pelajar yang tamat bersekolah.
Dengan mengenakan pakaian jenis 'overall' dan warna overall mereka ditentukan oleh jurusan yang mereka ambil semasa sekolah. Bagi memeriahkan suasana, penganjur Russefeiring terdiri daripada badan pelajar sendiri akan mempromosikan pelbagai jenis cabaran untuk disertai pelajar yang melibatkan arak, seks atau apa saja perbuatan memalukan.
Selepas selesai berparti setiap hari selama 3 minggu, sebagai penutup semua pelajar akan menyertai perarakan hari kebangsaan mereka.