Ketika kerajaan mengumumkan pembukaan permohonan vaksin AstraZeneca fasa kedua pada bulan Mei 2021, ramai antara kita yang kecundang menekan butang 'refresh' dan tidak kurang juga berasa rimas kerana tidak dapat melepasi 'saringan' sistem.
Keadaan huru-hara dengan pelbagai masalah teknikal menerusi laman web milik kerajaan ketika itu bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan rakyat Amerika Syarikat sendiri mengalaminya ketika mereka berpusu-pusu mendaftar secara dalam talian untuk mendapatkan vaksinasi.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada segelintir pemohon terpaksa memilih gambar basikal berkali-kali. Ramai juga keliru adakah tiang lampu isyarat dikira sebagai sebahagian lampu isyarat. Malah, terdapat juga sebilangan pemohon berjiwa lucu yang akhirnya berasa ragu-ragu sama ada mereka dilahirkan sebagai seorang manusia atau robot akibat ditanya berulang kali.
Tahukah anda, sebelum pandemik Covid-19, fungsi captcha itu sebenarnya telah lama membuatkan ramai pengguna dalam talian geram dan panas hati?
Apakah sebenarnya captcha?
CAPTCHA merupakan akronim bagi “Completely Automated Public Turing test to tell Computers and Humans Apart.”
Ujian Turing mula dicipta pada tahun 1950 oleh Alan Turing yang merupakan seorang pakar matematik British. Beliau yang juga dianggap bapa pengasas kecerdasan buatan (artificial intelligence, "AI") telah menghasilkan satu ujian untuk mengenal pasti adakah sesebuah mesin mampu mempunyai kecerdasan yang mirip dengan akal seorang manusia.
Turing menggelar ujian ini sebagai imitation game atau "permainan mengajuk".
Seorang pelajar lepasan Universiti Carnegie Mellon, Luis von Ahn, kemudian telah membangunkan captcha moden sebelum mencipta reCaptcha yang dibeli oleh Google.
Kenapa perlu selesaikan captcha?
Matlamat captcha adalah untuk memberi ujian atau teka-teki yang hanya mampu diselesaikan oleh manusia sahaja dan bukannya sebuah mesin (bot). Dalam kes pendaftaran vaksin misalnya, ujian saringan sistem inilah yang memberikan peluang kepada anda untuk mendapatkan tempat sebaik sahaja pendaftaran vaksin dibuka tepat jam 12:00:01 tengah hari.
Jika sistem tidak disaring, mungkin tiada manusia berpeluang untuk mendaftar langsung. Bot-bot yang lebih cekap inilah yang akan terus memenuhi senarai penerima vaksin sejurus pendaftaran dibuka.
Namun, keadaan boleh kian rumit sementelah komputer dan mesin menjadi lebih sofistikated hari demi hari.
Profesor Madya Mauro Migliardi dari University of Padua, Itali, merupakan penulis bersama bagi satu kertas kajian berkaitan kepelbagaian versi captcha sepanjang 20 tahun dan keberkesanannya.
Menurut Prof. Madya Migliardi, sistem AI mempunyai kebolehan untuk meniru jauh lebih baik daripada manusia. Hal ini demikian kerana AI tidak mempunyai sebarang emosi dan tidak berasa letih untuk menjawab captcha berulang kali walaupun setelah beribu-ribu percubaan.
Benarkah Google sengaja 'menyusahkan' manusia dengan captcha?
Jika anda perhatikan jawapan-jawapan yang diberikan di laman bantuan reCaptcha milik Google, kebanyakannya agak kurang memuaskan. Salah satu soalan menyatakan yang "Captcha ini adalah terlalu susah" namun dibalas dengan jawapan berbunyi, "Jangan risau. Sesetengah captcha sememangnya sukar. Hanya klik butang reload di sebelah imej untuk mendapatkan gambar captcha yang lain."
Laman bantuan tersebut juga menyatakan Google menggunakan sistem captcha untuk melatih AI mereka. Kesemua 'usaha manusia' yang anda dan saya gunakan untuk menyelesaikan sesuatu captcha boleh meningkatkan mutu produk mereka dalam mendigitalkan teks, menganotasi gambar dan sebagainya.
Google juga tidak membalas pertanyaan yang paling kerap ditanya pengguna terutama sekali berkaitan cabaran grid foto.
Adakah kita perlu mengklik gambar yang terdapat secebis bahagian bas di dalam kotak? Semasa memilih gambar lampu isyarat, adakah tiang lampu juga perlu diklik? Apabila ditanya soalan sebegini, Google hanya menasihatkan supaya memilih majoriti kotak yang mempunyai bas mahupun lampu isyarat.
Terdapat juga cabaran foto kabur yang memaksa pengguna merapatkan muka ke skrin komputer sambil mengecilkan mata dalam ikhtiar mengetahui sama ada wujud atau tidak serombong dalam jarak penuh kabur itu.
Apabila ditanya mengapakah imej reCaptcha sering kali dikaburkan, Google menjelaskan bahawa mereka berusaha gigih untuk mengurangkan jumlah captcha yang perlu diselesaikan dan meningkatkan heuristiknya apabila hanya kotak "Saya bukan robot" yang perlu ditanda tanpa sebarang cabaran lain.
Menurut Meriam Guerar dari University of Genoa, Itali, yang menulis kertas kajian berkaitan captcha bersama Prof. Madya Migliardi, imej-imej kabur atau herot-benyot ini sengaja dibuat sedemikian supaya ia lebih sulit dicam oleh bot walaupun dilengkapi teknologi pengecaman imej yang canggih.
Siapa perlu guna captcha?
Captcha sering digunakan di laman web yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama iaitu memastikan pelawat adalah pengguna sebenar dan bukan sejenis robot.
Pada tahun 1999, laman web Slashdot telah menjalankan undian dalam talian untuk meninjau sekolah siswazah manakah yang menjadi pilihan pelawat bagi program sains komputer. Ketika itu, para pelajar dari Carnegie Mellon dan MIT telah mencipta bot untuk menghantar undian berulang kali secara automatik mewakili pusat pengajian masing-masing.
Apabila undian ditutup, didapati kedua-dua pusat pengajian menerima beribu-ribu undian berbanding institusi lain yang hanya mencecah ratusan undi. Di sinilah captcha memainkan peranan dengan mengelakkan sesiapa pun memanipulasi sistem undian dalam talian.
Selain itu, captcha juga digunakan dalam borang pendaftaran seperti di laman web Yahoo! Mail atau Gmail yang memberi pengguna akses akaun secara percuma. Captcha dapat menghalang penghantar spam daripada menggunakan bot untuk mencipta e-mel spam dalam kuantiti yang banyak.
Begitu juga dengan laman web yang menjual tiket dalam talian. Captcha mengelakkan ulat-ulat tiket memborong bersih jualan selain memberi peluang kepada pelanggan yang sah untuk membeli secara adil.
Kenapa perlu guna captcha?
Sekiranya mana-mana pemilik laman web atau blog memilih untuk tidak menggunakan captcha, mereka mungkin akan berhadapan dengan masalah pendaftar atau komen spam secara automatik setiap hari. Ramai penggodam dan perisian spam yang akan sentiasa mencari jalan untuk mencerobohi laman web anda.
Menurut dua pakar penyelidik Microsoft, Kumar Chellapilla dan Patrice Simard, manusia mempunyai kadar kejayaan sekitar 80 peratus untuk menyelesaikan mana-mana masalah captcha manakala komputer pula hanya mempunyai peluang berjaya sekitar 0.01 peratus.
Oleh itu, jelaslah kewujudan captcha amat bermanfaat khususnya buat pemilik laman web dan blog supaya laman mereka dapat dilindungi daripada ancaman bot oleh penghantar spam.
Namun begitu, anda disyorkan untuk menggunakan sistem captcha yang dipercayai seperti reCAPTCHA keluaran Google berbanding membangunkan sistem captcha sendiri atas faktor keselamatan.
Akhir sekali, jangan lupa untuk memuat turun perisian antivirus supaya peranti anda lebih selamat ya!
Rujukan:
3. Captcha.net