Pasaran konsol permainan seperti yang telah direkodkan dalam sejarah merupakan industri yang sangat kompetitif sehinggakan banyak syarikat yang bergelar besar dan terkenal pun gagal untuk kekal bersaing.
Menyebut tentang permainan video berasaskan konsol sekarang ini kita akan menyebut nama besar seperti Sony, Microsoft dan Nintendo yang terus unggul sebagai nama besar industri. Walaupun demikian terdapat beberapa percubaan syarikat gergasi lain yang turut ingin bersaing namun...gagal teruk.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima peranti konsol permainan video keluaran syarikat besar yang gagal yang akhirnya menoktahkan penglibatan mereka dalam industri ini.
1. Nokia N-Gage
Nokia mungkin bukan lagi nama besar seperti dulu. Kalau kita jumpa individu guna telefon Nokia sekarang pun kita rasa pelik tetapi sejarah membuktikan Nokia pernah merajai industri telefon bimbit dengan produk yang cukup tinggi daya inovasi - sebelum era telefon pintar bermula.
Ketika kemuncak pengaruh, Nokia melihat ada potensi dalam pasaran permainan video mobila dan melancarkan Nokia N-Gage pada tahun 2003, yang menggabungkan fungsi telefon bimbit dan permainan tangan. Dilengkapi dengan paparan 2.1 inci, sambungan Bluetooth untuk membolehkan permainan dilakukan secara beramai-ramai dan mendapat sokongan permainan daripada francais popular, malangnya kedudukan Nokia saja tidak menjamin keyaan N-Gage.
Bentuk seperti kepingan "taco" ketika menggunakan peranti ini sebagai telefon menjadikannya canggung serta memalukan pengguna untuk menerima panggilan telefon dan lebih teruk, rekaannya memerlukan pengguna mengeluarkan bateri dan penutup setiap kali judul baru ingin dimainkan.
Selain itu harganya juga jauh lebih tinggi dan judul permainan kurang berbanding pesaingnya Nintendo Game Boy Advance, menjadi kelemahan terbesar produk Nokia itu. Selepas dikritik dan diketawakan, Nokia melancarkan Nokia N-Gage QD untuk memperbaiki kelemahan ketara yang ada...tapi sayangnya, semua sudah terlambat.
2. Panasonic
Kita kenal Panasonic sebagai pengeluar peralatan rumah dan juga pek bateri caj semula terbaik yang ada dalam pasaran ketika ini.
Pada tahun 1993, Panasonic melancarkan 3DO Interactive Multiplayer lebih dikenali sebagai Panasonic 3DO dibangunkan dengan kerjasama The 3DO Company, dipasarkan sebagai peranti multimedia mewah yang mampu memainkan pelbagai format permainan, muzik CD dan video CD.
Oleh kerana keupayaannya, Panasonic yang mungkin gagal memahami sentimen pasaran menetapkan harga setiap unit Panasonic 3DO dijual pada harga $699, yang menjadikannya tidak mampu milik bagi sasaran sebenar produk mereka, jika dibandingkan dengan dua pesaingnya iaitu Sega Megadrive dan Super Nintendo.
Bila dah tiada pembeli, judul yang diterbitkan pun kurang disebabkan oleh keengganan penerbit membangunkan perisian dan 3DO hanya terjual sebanyak 2 juta unit dalam tempoh 3 tahun sebelum ditamatkan, walaupun dilengkapi teknologi yang dikatakan terbaik era tersebut.
3. Pioneer
Sebut nama Pioneer, peminat kereta dan peranti audio pasti tahu tentang produk-produk audio mereka. Bagaimanapun pada tahun 1993, Pioneer cuba mengadunkan permainan video dan hiburan multimedia menggunakan cakera laser (laserdisc) melalui peranti LaserActive.
LaserActive dilancar sebuah konsol yang bukan saja mampu memainkan LaserDiscs satu format cakera optik yang agak besar geadabak saiznya, malah mampu menggabungkan video dan permainan interaktif membolehkan pengguna menikmati pengalaman pelbagai format.
Bagaimanapun untuk menikmati sepenuhnya pengalaman, pengguna perlu membeli konsol asasnya serta modul tambahan, yang meningkatkan kos keseluruhan secara signifikan.
Dengan hanya 10,000 jualan, LaserActive mempunyai perpustakaan permainan yang terlalu kecil serta kurang mendapat sambutan. Pengkritik mengkritik gabungan teknologi LaserDisc dan permainan yang digembar-gembur sebagai tarikan utama, hanyalah gimik yang tidak ada apa-apa fungsi sebenar di belakangnya.
4. Mattel
Siapa tahu kewujudan konsol permainan video ini? Mesti tak ramai yang tahu. Mattel, gergasi permainan kanak-kanak pernah cuba memasuki industri permainan video menerusi peranti yang mereka namakan Mattel HyperScan pada tahun 2006.
Gimiknya? Selain mampu membaca cakera padat, setiap unit HyperScan mempunyai pengimbas kad RFID yang membolehkan interaksi antara pengguna dengan judul dibuat. Malangnya, pengimbas itu sangat sukar untuk diguna dan lebih banyak menyebabkan kanak-kanak naik marah.
Taktik pemasaran Mattel juga dikritik hebat, kerana Mattel merekabentuk setiap judul perlu diguna sekali dengan kad RFID yang ada namun pengguna perlu membeli judul dengan kad secara berbeza. Kad pula didatangkan dalam pek, yang mampu menyebabkan ibu bapa harus membayar sekitar RM650 ($150) untuk satu judul sahaja.
Reka bentuk perantinya juga nampak lemah selain pad kawalannya juga nampak seakan kerja asal boleh. Dianggarkan 30,000 lebih unit HyperScan berjaya dijual kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
5. Philips
Awal dekad 90-an memang menyaksikan trend multimedia interaktif menjadi topik hangat dan usaha untuk menyatukan medium dalam pelbagai format dilakukan. Selain Pioneer dan Panasonic, gergasi elektronik Philips juga turut sama.
Mereka melancarkan konsol Philips CD-i (Compact Disc Interactive) pada tahun 1991 untuk membolehkan sistem hiburan multimedia yang interaktif ditawarkan kepada pengguna, yang bukan saja mampu memainkan permainan video malahan perisian pendidikan, audio dan filem.
Bagaimanapun sama seperti usaha Panasonic, Philips juga gagal menemui harga yang menepati kehendak pasaran. Dijual pada harga $700 semasa dilancarkan dalam tahun 1991 adalah punca utama kenapa konsol ini hanya terjual sebanyak 1 juta unit sahaja.
Judul yang dilancarkan juga mempunyai tahap interaksi yang terhad, lebih banyak menggabungkan penggunaan video kepada pemain dan gagal menarik minat francais permainan video besar untuk diterbitkan dalam perpustakaan Philips CD-I.