Ketika itu adalah pertengahan bulan Jun. Aku membuka suratkhabar, terus ke bahagian sukan. Pada saat itu, aku belum mempunyai kelab sedangkan kontrak aku bakal tamat 1 Julai berikutnya - nasib baiklah setiap kelab diwajibkan membayar tambahan sebulan gaji sekiranya ada pemain gagal mendapatkan kelab selepas tamat kontrak. Jadi aku ada jaminan pendapatan lagi sebulan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di bahagian sukan, terpapar satu artikel tentang pemain-pemain terbaik yang bakal tamat kontraknya. Aku salah seorang yang disenaraikan. Melihat nama aku tersenarai, aku jadi marah jadi aku menghubungi ejen aku. Dia memberitahu aku publisiti seperti itu perlu aku terima - kerana hanya dengan itu aku boleh mendapatkan majikan baru. Jadi artikel itu cubaan pertama untuk ejen aku menghubungkan aku dengan kelab-kelab yang dia rasakan bagus dan mampu dia hubungi.

Aku kembali tenang. Fikiran aku kembali pada awal bulan November tahun sebelum itu, selepas pengurus aku meyakinkan aku dia akan menyelesaikan isu kontrak aku. Sekarang sudah bulan Jun, jadi kata-kata dia pada ketika itu hanyalah untuk menyedapkan hati aku.

Lagipun, keputusan sebenarnya bukan pada tangan dia.

Cubaan mengambil hati bakal pengurus

pengurus beri muka pada pemain

Bermula daripada bulan Februari empat bulan sebelum kontrak aku tamat, setiap kali ada perlawanan di stadium kami - aku akan mula melakukan aktiviti PR aku - sengaja mencari ruang berbual dengan pengurus pasukan lawan atau jurulatih mereka, hanya untuk menunjukkan sifat aku yang peramah, baik dan mudah diuruskan.

Ini kerana pengurus paling takut terbeli pemain yang perangainya bermasalah. Dua bulan berikutnya pada bulan April, aku ke majlis makan malam PFA (persatuan bolasepak England) hanya untuk berbual-bual sambil menonjolkan diri pada mereka yang mungkin berminat mengambil aku.

Seorang pengurus bertanya tentang isu yang aku alami menyebabkan aku jarang bermain. Aku jelaskan aku cedera tetapi kini sudah pulih dan sedang menjalani proses rehabilitasi. Sebulan dua lagi aku akan kembali cergas sepenuhnya, kata aku. Dia senyum mendengar penjelasan aku.

Walaupun demikian, masa terus berlalu dan aku belum menerima sebarang tawaran kontrak baik dari kelab aku sendiri ataupun kelab lain. Ejen aku berkali meyakinkan aku supaya jangan risau dan percaya saja dengan dia. Satu pengajaran yang aku saksikan sendiri melibatkan seorang pemain terkenal, selepas dia menjadi antara pemain terbaik musim 2016/2017.

Pendapatannya ketika itu agak tinggi dan kontraknya bakal berakhir. Dia ditawarkan gaji lebih lumayan dengan kelab Bolton Wanderers, bagaimanapun mungkin atas nasihat ejennya dia membiarkan saja tawaran itu, berharap agar ada tawaran lain akan datang dengan gaji lebih tinggi.

Sayangnya, itu saja tawaran yang dia terima. Hendak tak hendak dia kembali menghubungi Bolton Wanderers menyatakan kesediaan untuk menerima tawaran yang ada. Malangnya Bolton sudah pun menemui pengganti kepada dia. Pemain itu mula panik kerana kontraknya sudahpun tamat.

Akhirnya dia terpaksa menyertai sesi ujian sebuah kelab divisyen 1 dengan kontrak gaji hanya 1/4 daripada apa yang Bolton tawarkan. Itu adalah risiko yang pemain bola sepak, walau sehebat mana pun kita - perlu sedia hadapi.

Pemain pun perlu belajar pemasaran diri

pemain luangkan diri latih pemain muda

Secara diam tanpa pengetahuan ejen aku, aku hubungi seorang ejen lain secara senyap yang aku tahu mempunyai hubungan dengan seorang pengurus terkenal.

Syarat aku mudah saja, jika dia berjaya mendapatkan aku kelab bersama pengurus itu, dia bakal mendapat habuannya. Jika dia gagal, aku mengharapkan agar dia dapat mencarikan aku peluang lain. Semuanya dilakukan hanya secara tidak rasmi. Aku bernasib baik dia setuju walaupun tindakan ini kurang profesional. Aku nyatakan berapa gaji yang aku sasarkan dan dia berjanji akan menyampaikan minat aku kepada pengurus tersebut.

Perlukah aku malu menjaja diri aku sedemikian rupa? Tradisinya memang begitu. Akan ada masa setiap pemain bola sepak ditamatkan kontraknya jadi cara yang dia ada - hanyalah dengan menjual dirinya sendiri pada kelab atau pengurus yang diharapkan terbuka menerimanya.

Bermula sekitar penghujung bulan Jun, aktiviti perpindahan pemain mula rancak. Ada pemain nasibnya bergantung kepada perpindahan pemain lain. Ada yang bernasib baik diterima ke kelab lain secara mudah. Pada ketika inilah ramai pemain tidak tahu apa hala tuju mereka sebenarnya. Terawang-awang tanpa mengetahui dengan kelab mana kita akan bermain musim berikutnya atau lebih malang, mengetahui diri kini bergelar ejen bebas yang tiada kelab mahu menagih khidmatnya.

Aku sendiri pernah melalui satu pengalaman sedih -  sedang memandu ke stadium sebuah kelab Liga Perdana Inggeris untuk menandatangani kontrak dan mendapat panggilan semasa dalam perjalanan; memberitahu aku bahawa pengurus yang sudah bersetuju menandatangani aku dipecat.

Aku teruskan juga perjalanan ke sana untuk mengesahkan berita yang aku terima dan pulang hampa. Itulah nasib pemain sebenarnya.

Kisah berakhir dengan gembira

messi tandatangan kontrak

Aku bernasib baik pada penghujung bulan Jun itu, aku sudah mendapat pengesahan seorang pengurus terkenal - dia meminta aku mendiamkan dulu perkara tentang persetujuan dia untuk mengambil aku bermain di kelabnya. Apabila seorang pengurus seperti dia sudah memberikan kata putus seperti itu, tidak akan ada pemain mampu menolaknya termasuklah aku.

Jadi sepanjang beberapa minggu sehinggalah jendela perpindahan ditutup, aku terus dihubungi ejen-ejen dan wakil kelab yang mahu bertanyakan status aku. Beberapa tawaran juga diberikan.

Seronok rasanya apabila seorang pemain seperti aku yang tiada lagi kontrak - masih lagi ditagih khidmatnya oleh kelab-kelab berstatus liga perdana Inggeris. Bagi seorang pemain, kemampuan untuk menentukan sendiri masa depan kita merupakan satu peluang yang jarang datang bergolek.

Aku lega dalam jendela ini aku dapat membuat keputusan yang baik untuk keluarga aku. Yang lebih penting, peluang untuk terus beraksi di tahap tertinggi merupakan sesuatu yang dikejar semua pemain. Peluang untuk bermain dalam liga-liga divisyen bawah perlu aku tangguhkan dulu, untuk sementara.

Mungkin tak lama lagi, akan tiba masa aku perlu turun liga. Cuma nasib aku masih baik, bukan sekarang masanya.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel The Player: What it's like to be an out-of-contract footballer in the summer yang diterbitkan pada bulan Julai tahun 2017. Semua gambar dalam artikel ini hanyalah sebagai hiasan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)