Kredit foto: Instagram Azar Azmi
Penerbit filem Hafiz Rozlan mendedahkan ikatan pertunangannya dengan pelakon Azar Azmi sudah terlerai sejak 10 Februari lalu.
Hafiz berkata, keputusan itu diambil daripada pihaknya, namun dalam masa sama enggan mengutarakan punca sebenar ia berlaku.
"Ya... betul kami sudah putus tunang. Keputusan untuk berpisah ini memang daripada pihak saya tapi punca kami putus terlalu peribadi untuk dikongsikan. Saya harap semua faham.
"Bagi saya, semuanya soal jodoh. Jadi, sampai sini saja jodoh kami berdua," kata Hafiz kepada portal Mstar dalam satu kiriman aplikasi Whatsapp.
Pasangan itu melangsungkan pertunangan pada 1 Disember tahun lalu dengan kehadiran tetamu daripada kalangan keluarga dan rakan terdekat.
Asalnya, pernikahan mereka dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini.
Sementara itu, Hafiz memberitahu dirinya dan pelakon Maaf Tak Indah itu sudah tidak lagi saling berhubung satu sama lain.
Baca: Biodata Pelakon Azar Azmi
"Saya dan dia tidak lagi berkawan selepas kami putus. Doakan yang baik-baik untuk kami berdua, dan saya doakan yang terbaik untuk Azar juga," pintanya.
Terdahulu, Hafiz yang juga seorang bapa tunggal mengakui sudah bercerai dengan bekas isterinya sejak beberapa tahun lalu.
Beliau menepis dakwaan pihak tertentu yang kononnya Azar menjadi punca perceraian mereka.
Sumber berita: Azar Azmi putus tunang dengan penerbit filem - “Saya dan dia dah tak berkawan, sampai sini saja jodoh kami”