Oleh pada 04 Dec 2017 kategori

Pil kawalan kelahiran tiruan. Ubat batuk kanak-kanak yang mengandungi kandungan opioid yang tinggi. Pil antimalaria yang diperbuat menggunakan kentang dan tepung jagung.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), itu adalah antara ubat-ubatan tiruan yang sering dijumpai beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam satu laporan baru-baru ini, WHO menjangka satu daripada sepuluh produk perubatan yang diedarkan di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah adalah tidak menepati standard ataupun merupakan ubatan palsu. Ini termasuklah pil, vaksin dan kit diagnostik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penemuan ini adalah berdasarkan laporan dari seluruh dunia dan kajian semula ke atas 100 tinjauan kualiti perubatan dari tahun 2007 hingga 2016 merangkumi 88 buah negara.

Pada tahun 2011, seramai 200 orang meninggal dunia di Pakistan selepas mengambil ubat sakit jantung yang telah tercemar. Begitu juga di Congo pada tahun 2014 dan 2015 di mana ribuan rakyat terpaksa dimasukkan ke hospital akibat memakan ubatan tiruan yang mengandungi bahan antipsikotik untuk merawat skizofrenia.

Dalam setiap kes, didapati ia adalah salah satu modus operandi skim cepat kaya dan banyak pihak yang mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain.

Permintaan tinggi, bekalan tidak mencukupi

Kekurangan ubat-ubatan juga telah membuka peluang bagi ubatan tiruan serta tidak menepati standard ini memasuki pasaran. Pada tahun 2015, semasa terjadinya wabak meningitis di Niger, farmasi-farmasi di seluruh negara itu secara tidak sengaja telah membeli vaksin yang telah tamat tempoh daripada pemborong. Begitu juga semasa syarikat-syarikat insurans di Amerika Syarikat menghentikan perlindungan bagi ubatan kanser tertentu, timbul pula laman-laman web di Kanada yang mengisi permintaan itu dengan ubatan palsu.

ubat dadah tiruan palsu 3

Jika ada permintaan tinggi dan kekurangan produk dalam pasaran, dalam masa beberapa hari sahaja tempat kosong itu akan diisi dengan lambakan ubatan tiruan. Lokasi bukanlah penentu bahaya. Membeli ubatan dalam talian adalah sama bahaya seperti membeli ubat di lorong-lorong gelap di Afrika.

Selain kekurangan bekalan ubatan, stigma sosial juga membuka ruang bagi ubatan tiruan ini memasuki pasaran. Sebagai contoh, berat badan berlebihan, mati pucuk dan ketagihan membuatkan manusia berasa malu untuk berjumpa dengan doktor. Jadi, mereka lebih gemar mengambil jalan mudah untuk membeli sendiri ubatan secara dalam talian. Tidak hairanlah Viagra dan produk melangsingkan badan tiruan merupakan ubat yang paling banyak dijual secara berleluasa.

Ubatan tiruan -vs- Ubatan Tidak Menepati Standard

Produk yang tidak menepati standard adalah berlesen dan diberikan kelulusan namun tidak berkualiti. Ini termasuklah ubatan yang telah tamat tempoh, mengalami penurunan gred semasa proses pengangkutan ataupun mengandungi jumlah bahan aktif yang salah.

ubat dadah tiruan palsu 2

Ubatan tiruan pula dengan sengaja menipu pengguna tentang isi kandungan serta asalnya. Tidak kira sama ada ubat ini jatuh dalam kategori apa pun, ia tetap berbahaya dan boleh membunuh.

Menurut WHO lagi, 10.5% ubatan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana gagal untuk merawat penyakit seperti yang sepatutnya. Peratusan ini adalah amat tinggi dan tidak boleh diterima namun industri secara 'underground' yang mengaut keuntungan secara haram ini membuatkan keadaan menjadi lebih parah.

Dalang skim cepat kaya

Lebih malang lagi apabila dalang-dalang ini bekerja dari lokasi yang berbeza, tidak kira sama ada dari negara maju ataupun negara membangun. Seringkali kotak pembungkusan datang dari negara A, kandungan ubatan pula datang dari negara B manakala proses penyatuan berlaku di negara C. Proses ini menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras dan memberkas manusia di sebalik skim ini.

Selagi gejala ini tidak dapat dibendung, kita sebagai pengguna perlulah menjadi lebih bijak dan jalankan peranan sebaik mungkin. Kita perlu faham bahawa sekiranya tiada permintaan, maka produk-produk tiruan ini tidak akan timbul bagaikan cendawan selepas hujan.

kenali ubat tulen ubat tiruan kkm

Jadi, jika anda kerap membeli ubatan dalam talian, mungkin anda perlu lebih berhati-hati jangan sampai termakan ubat tiruan. Jumpa pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat dan belilah ubatan dari farmasi yang sah.

Pastikan yang tulen dan mendapat kelulusan KKM, baru beli.

Rujukan:

1. WHO

2. Safe Medicines

3. PBS




Hakcipta iluminasi.com (2017)