Oleh pada 11 Jan 2018 kategori

john popeye tukang bunuh escobar

Pablo Escobar merupakan antara penjenayah yang paling dahsyat dan kejam pada abad ke-20. Bagi yang tak mengenali, Pablo merupakan Raja Dadah Colombia yang pada satu ketika bertanggungjawab ke atas 80% daripada kokain yang diseludup masuk ke Amerika Syarikat.

Beliau sangat berpengaruh di Medellin, Colombia dan mempunyai pengikut yang tersangat ramai. Dan antara salah seorang pengikut setia Raja Dadah ini yang masih hidup adalah John Jairo Velasquez atau lebih dikenali sebagai Popeye.

BESARKAN TEKS     A-  A+

popeye bersama pablo escobar 2 339

Sepanjang Pablo Escobar menjadi kuasa yang paling kuat di Colombia, Popeye telah mengambil nyawa kira-kira 300 ratus orang dengan tangannya sendiri, termasuk anggota polis.

Beliau juga malah telah mengarahkan lebih daripada 3,000 pembunuhan, dan menjadi dalang kepada hampir 200 pengeboman di sekitar negara itu ketika kartel dadah itu sedang berperang dengan kerajaan Colombia.

Popeye juga individu yang bertanggungjawab dalam kes penculikan Peguam Negara Carlos Mauro Hoyos pada tahun 1988, dan mengaku membunuh ahli politik tersebut. 

popeye mengaku membunuh lebih 300 orang

Kerjaya sebagai pembunuh upahan Popeye bermula ketika beliau hanya berusia 17 tahun. Ketika itu Popeye menyertai sekolah polis Colombia, dan berhenti serta-merta untuk menjadi pengikut Pablo Escobar.

Tugas awal Popeye adalah menjadi pengawal keselamatan salah seorang perempuan simpanan Pablo. Dan selepas hubungan Pablo dengan individu tersebut berakhir, Popeye masih dikekalkan sebagai pengikut Pablo.

Ketika berkhidmat, Popeye memberitahu bahawa beliau tidak berasa menyesal, kerana beliau harus membunuh sesiapa sahaja yang harus dibunuh mengikut arahan Pablo.

popeye di penjara

"Saya merupakan pembunuh profesional. Apabila saya menjalankan tugas, saya tak rasa apa-apa. Tiada rasa malu, sedih, mahupun gembira. Ia hanya seperti hari-hari biasa di pejabat dan menurut perintah Don Pablo. Bunuh adalah perkara yang mudah.

Saya berada di medan perang dan mereka membunuh keluarga, rakan dan teman sekerja. Saya menjumpai mereka dengan kepala, tangan dan anggota lain dipotong.


Mereka memasukkan rakan-rakan saya dalam tempat bakar, buang rakan saya dari helikopter berketinggian lebih dari 1,000 kaki ke dalam hutan. Ada rakan-rakan saya yang digerudi gigi, lutut dan juga otak," - John "Popeye" Velasquez

Selepas hampir 13 tahun berkhidmat untuk Pablo, Popeye akhirnya menyerah diri kepada pihak berkuasa pada tahun 1992, setahun sebelum Pablo dikesan oleh pihak polis yang berakhir dengan Raja Dadah itu ditembak mati di atas bumbung rumah persembunyiannya.

pablo escobar ditembak mati di atas bumbung rumah

Walaupun terlibat dalam beratus-ratus pembunuhan, penculikan dan pengeboman, Popeye hanya dijatuhkan hukuman atas kesalahan membunuh calon presiden Colombia Luis Carlos Galan pada 1989. 

Akibat kesalahan tersebut, beliau meringkuk dalam penjara selama 23 tahun 3 bulan dan telah dibebaskan pada tahun 2014 ketika berusia 52 tahun.

popeye dipenjara 23 thun

popeye memberi penghormatan di kubur escobar

Kini selepas bebas di dunia luar, Popeye berhasrat untuk menjadi selebriti Youtube, dalam usaha untuk menebus kembali hidupnya. Misi utama Popeye adalah ingin memberi amaran kepada golongan belia supaya menjauhkan diri daripada kehidupan jenayah, melalui saluran Youtubenya, Popeye Arrepentido yang bermaksud "Popeye yang menyesal".

Namun niat baik Popeye tidak begitu lancar kerana dikatakan menyebabkan gangguan dan menyinggung perasaan sesetengah saudara mara mangsa-mangsanya. Kini akaun Youtubenya mempunyai 593,312 pengikut dan menjadi selebriti sekelip mata. Beliau juga menjana pendapatan melalui usaha ini.

Dalam salah satu videonya terdapat rakaman detik perlahan peluru berterbangan yang seolah-olah mengangkat jenayah tersebut, namun ia hanya untuk menarik perhatian golongan muda.

kini popeye ingin memberi kesedaran kepada anak muda

"Terdapat perasaan ingin tahu yang tinggi mengenai pembunuhan-pembunuhan tersebut oleh orang ramai, terutama dari golongan muda," terang Popeye.

Dalam satu videonya lagi, Popeye ditanyakan soalan oleh abang kepada salah seorang anggota polis yang terbunuh, bilakah masanya beliau akan bertemu dengan keluarga mangsa-mangsanya.

"Ia merupakan satu soalan yang menyakitkan bagi saya. Amat penting untuk saya bertemu dengan anda agar saya boleh memohon maaf dan menerima tanggungjawab saya," tambahnya lagi.

popeye tak rasa bersalah kerana beliau juga merupakan mangsa pablo escobar

Beliau juga mengaku apa yang dilakukan oleh Pablo Escobar adalah sangat jahat. Tersangatlah penting untuk generasi masa kini untuk tidak terikut dengan figura raja dadah tersebut, mahupun dirinya sendiri.

"Kami tak sepatutnya menjadi idola kepada sesiapa. Kami adalah penyamun," jelas Popeye.

Salah seorang bapa kepada mangsa terbunuh pengeboman pesawat Avianca 203, Gonzalo Rojas, berkata usaha Popeye sebagai penghinaan kepada mangsa-mangsanya. 

"Ia merupakan satu tamparan kepada kami untuk membiarkan Popeye menjadi seolah-olah seorang pakar dan perunding, bilamana dia langsung tidak menunjukkan rasa menyesal terhadap apa yang dilakukan terhadap kami. Dan kini Popeye menjadi seorang selebriti disebabkan jenayahnya," 

Rujukan :

1. Guardian

2. Telegraph

3. Rolling Stone




Hakcipta iluminasi.com (2017)