Bercakap berkenaan jenama dari Indonesia, kita biasanya akan menyebut tentang Indomie yang sinonim dengan mi segera.

Selain Indomie, ada banyak lagi jenama produk seperti rokok Gudang Garam, rangkaian kedai donat J.Co, jenama kicap ABC dan bermacam lagi jenis produk yang kita kenali sangat berasal dari Indonesia.

Bagaimanapun bagi sesetengah jenama Indonesia yang unik serta telah berjaya memecah masuk pasaran antarabangsa, tidak ramai menyedari produk yang mereka gunakan itu sebenarnya datang dari Indonesia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima jenama yang kita tak sangka berasal dari sana.

1. Celebrity Fitness

franchise gym pusat bersenam kesihatan dari indonesia

Pasti tidak ramai menyedari rangkaian pusat sukan yang pernah terkenal di Malaysia ini, sebenarnya berasal dari Jakarta, Indonesia.

Penubuhan syarikat bagi menguruskan pusat latihan ini dimulakan oleh tiga orang ahli perniagaan iaitu John Franklin, Mike Anderson dan JJ Sweeney dari Ireland. Ketiga-tiganya yang fanatik kepada program kecergasan bertemu kali pertama semasa berkhidmat dengan rangkaian California Fitness di Taiwan.

Berbekalkan pengalaman yang dikongsi dalam bidang sains sukan serta pengurusan hotel dan pusat kesihatan, mereka memberanikan diri membuka sebuah pusat kesihatan dengan konsep unik. Cawangan pertama pusat kesihatan ini dibuka di EX Mall, Jakarta pada tahun 2004. 

Dalam tempoh 4 tahun, mereka berjaya memperkembangkan perniagaan ini kepada 16 cawangan sebelum Celebrity Fitness dibeli sebuah syarikat lain pada tahun 2017; yang menggabungkan rangkaian pusat latihan ini dengan pesaing mereka iaitu Fitness First.

2. Basikal Polygon

basikal jenama polygon berasal dari indonesia 480

Bagi peminat basikal, Polygon merupakan antara jenama basikal yang dikatakan mempunyai reputasi tinggi serta berkualiti untuk kegunaan jangka masa panjang. Kami yakin tidak ramai menyedari jenama terkenal ini berasal dari Jawa Timur, Indonesia kan?

'Polygon' adalah jenama yang digunakan bagi memasarkan basikal keluaran sebuah syarikat bernama PT Insera Sena, yang sebenarnya singkatan kepada 'Industri Sepeda Surabaya' atau 'Industri Basikal Surabaya.' 

Ditubuhkan pada tahun 1989, syarikat penghasilan basikal ini berkembang dari lokasinya di Sidoarjo, selatan Surabaya dengan jumlah penghasilan basikal pelbagai model yang mencecah 750,000 unit setahun.

3. Tayar GT Radial

tayar gt radial berasal dari indonesia

Kaki permotoran pasti pernah mendengar nama tayar dengan jenama GT Radial bukan? Penulis belum pernah menukar ke jenama ini tetapi selepas mengetahui produk ini keluaran jiran kita, mungkin selepas ini penulis teringin hendak mencubanya.

Diuruskan kini oleh sebuah syarikat bernama Giti Tire yang kini berpengkalan di Singapura, syarikat tayar ini bermula sebagai sebuah pengeluar tiub basikal di Indonesia bernama PT Gajah Tunggal.

Berkat perniagaan yang berkembang, PT Gajah Tunggal mula mengeluarkan tayar bagi penggunaan motorsikal dan akhirnya kenderaan lebih besar, seperti kereta, lori, trak dan bas. Pada tahun 1993, PT Gajah Tunggal dinamakan semula sebagai Giti Tire serentak dengan pembukaan kompleks penghasilan tayar di Anhui, China.

Mereka mula memasuki pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2002 dan Eropah pada tahun 2009. Pada tahun 2020, syarikat Tayaria Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengedar eksklusif tayar jenama GT Radial di Malaysia, sebagai usaha meningkatkan lagi jumlah pengguna tayar tersebut di negara kita.

4. Kapal Api

kopi kapal api berasal dari indonesia

Jenama Kapal Api walaupun layak dikatakan masih baru di Malaysia hanya mula kedengaran 2 dekad sebelum ini, telah wujud sejak dekad 1920-an lagi ketika Indonesia masih di bawah pentadbiran Belanda.

Jenama ini dibangunkan pada awalnya di Surabaya oleh tiga orang adik beradik pendatang iaitu Go Soe Let, Go Bie Tjong dan Go Soe Bin dari China. Dengan menggunakan basikal, mereka akan menjaja kopi yang pada awalnya dilabelkan sebagai Kopi Hap Hoo Tjan. 

Kopi itu akhirnya lebih terkenal dengan nama gelaran 'Kopi Kapal Api' kerana menjadi antara minuman kegemaran kelasi kapal yang singgah berlabuh di Tanjung Api, Surabaya. Selepas konflik melanda ketiga beradik yang memecah belahkan perniagaan mereka, aset kilang yang telah mereka bangunkan jatuh kepada Go Soe Let. 

Dua anaknya, Indra Boediono dan Soedomo Mergonoto meneruskan perniagaan ayah mereka, mengekalkan nama gelaran yang telah diamalkan masyarakat mereka sebelum memperkembangkan lagi jenama 'Kapal Api' ke serata dunia, termasuklah Malaysia. 

Walau bagaimanapun, jika nak dibandingkan Kopi Kapal Api dengan Kopi Cap Gantang keluaran negeri Kedah - maaflah, hanya Cap Gantang ada dalam hati penulis.

5. Aqua

air mineral aqua produk dari negara indonesia

Kita semua tahu persaingan di antara jenama yang menawarkan produk air mineral dan air minuman dalam botol, cukup sengit - dengan kewujudan pelbagai jenis jenama berbeza cuba menarik perhatian kita.

Salah satu jenama yang telah berjaya bertapak dalam pasaran kita adalah Aqua, sebuah jenama dari Indonesia yang mempunyai sejarah panjang. Diasaskan oleh seorang ahli perniagaan bernama Tirto Utomo kini jenama ini telah berkembang dijual di banyak negara.

Kisahnya, Tirto semasa masih berkhidmat dengan Pertamina, syarikat cari gali minyak di Indonesia mendapati terdapat banyak masalah untuk mendapatkan air minuman bersih di kawasan mereka bertugas. Dia menyedari ada keperluan untuk pengguna mudah mendapatkan bekalan air yang selamat diminum dalam kadar segera, dengan cara mudah.

Idea untuk membotolkan air kosong ke dalam botol yang disuarakan beliau diketawakan, kerana ramai menganggap cadangannya itu gila. Namun Tirto tegar, meminta adiknya Slamet mengembara ke Thailand bekerja dengan sebuah kilang perbotolan air bagi menimba pengalaman.

Slamet pulang ke Indonesia kembali bergabung bersama abangnya yang memilih untuk menamatkan karier dalam bidang petroliam, bersama-sama membangunkan sebuah kilang kecil di Pondok Ungu, Bekasi pada tahun 1973 dengan telaga sumber air pertama mereka digali di sana.

Pada tahun 1974 atas nama PT Aqua Mississipi, adik beradik Utomo berjaya mengeluarkan botol air pertama mereka dengan jenama Aqua yang mempunyai kandungan 950 ml, dijual pada harga Rp75 sebotol.




Hakcipta iluminasi.com (2017)