Oleh pada 16 Oct 2017 kategori

gambar hiasan kisah abang mat

Sebagai seorang wartawan, salah satu hobi beliau adalah menemuramah ahli masyarakat secara spontan di mana dia berada. Hayatilah kisah Abang Mat (bukan nama sebenar) seperti yang diceritakan kepada Ali Imran salah seorang wartawan bagi agensi berita BERNAMA.


"Saya dahulu umur 23 dah kena darah tinggi. Masa itu saya kuat minum arak."

Aku duduk semeja di Gerai Ah Kow, dengan Abang Mat (bukan nama sebenar) yang terletak di kalangan Medan Selera Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. Aku menantikan ayat seterusnya dari beliau dengan penuh minat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

"Dahulu bila minum arak sambil makan sate. Kerja waktu itu dalam hutan, duit ada, dalam hutan minum, keluar hutan pergi joli," sambung Abang Mat.

"Bir sebotol baru seringgit lebih! Murah! Bukan macam sekarang dah berbelas ringgit," sambung beliau.

cheers beer

Awal 80-an beliau merantau ke Kuala Lumpur dari Perak selepas meletakkan jawatan sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Bila dah datang KL cara hidup dah lain. Masa dalam hutan kita banyak berjalan. Minum (arak) dan makan sate banyak mana pun tak apa." Dia sengih panjang. "Dah datang KL dah tak exercise tapi minum arak masih sama macam masa dalam hutan, memanglah rosak badan."

Kerja pertama Abang Mat di KL sebagai pengawal keselamatan. Pendapatan sedikit memaksa beliau bekerja di dua tempat. Waktu siang menjaga bangunan, malamnya menjaga rumah orang besar Maybank di Ukay Heights.

Nasib Abang Mat baik apabil bos Maybank tempat beliau bertugas dapat tahu beliau ada sijil MCE (nama lama SPM), lalu Abang Mat ditawarkan kerja sebagai kerani. Sewaktu lalui pemeriksaan kesihatan untuk masuk kerja inilah pihak hospital mengesan beliau ada darah tinggi.

Sambung Abang Mat. "kalau awak banyak berjalan kaki, darah tinggi, kencing manis tak akan hinggap. Saya makan ubat doktor lepas itu. Untung kena banyak berjalan kaki sebab setiap hari ke Bank Negara untuk tunaikan cek."

iklan guinness stout lama

Walau bagaimanapun, arak tetap tak dapat dielak dalam hidup Abang Mat. Cerita beliau, bila pulang ke kampung, bekalan bir akan beliau dapat dari kedai runcit milik bapanya. Pada waktu itu memang sesuatu yang biasa kedai runcit menjual bir walaupun milik orang Melayu.

"Lagipun saya banyak hantar duit ke kampung. Kerja Maybank dapat gaji $600 lebih, malamnya saya masih jadi guard di rumah bos dapat $300 lebih. Mewah zaman tu," kata Abang Mat berseloroh. "Sebulan dapat $1000 lebih, besar lagi income saya daripada pegawai S1 yang ada ijazah baru dapat $800 lebih," jelas beliau.

Abang Mat meletak jawatan di Maybank selepas beberapa bulan bekerja. Beliau cuba pula merantau ke Singapura. "Di sana abang kerja kontrak. 10 tahun ulang alik Malaysia - Singapura. Bila tak ada duit abang masuk sana cari kerja. Bila duit banyak balik sini enjoy."

"Gaji hari. Satu hari SGD60. Lagi untung. Badan pun berpeluh. Lenjun. Buka baju, pakai seluar pendek dan selipar sahaja. Darah tinggi pun hilang," kata Abang Mat sambil ketawa.

"Waktu ini, balik Malaysia aja tukar duit, terus jadi kaya. Duduk minum mesti tiga botol besar letak sekali atas meja. Tonggang aja. Harga baru $4.50 sebotol. Gaji sehari $60 tukar sini dah dapat $120. Apa nak risau?"

beer bintang yang popular di indonesia

Begitulah kehidupan Abang Mat, sampai dikejutkan dengan satu kejadian. Tersentak beliau hanya tahu tentang kematian ayahnya hanya selepas tiga minggu dikebumikan.

"Abang tengah enjoy di Thailand waktu itu. Zaman itu mana ada telefon. Bila masuk Singapura nak kerja, jumpa saudara yang tinggal di sana barulah mereka beritahu."

Abang Mat terdiam sejenak.

"Memang sedih sangat. Menangis-nangis. Duit tak ada. Kerja dulu dapat duit baru balik kampung."

Malangnya, kejadian itu membuat beliau jadi lebih tertekan. Arak semakin kerap jadi peneman. Sukar Abang Mat untuk berhenti minum. Duit banyak dalam usia yang masih muda tanpa ada tanggungan. Duit boleh dihabiskan tanpa risau.

Berhenti kerja kontrak di Singapura, beliau kerja dengan syarikat milik kerabat Di-Raja sebuah negeri yang menguruskan hal-hal ladang. "Kerja dengan mereka ni, mesti minum. Mereka pun kuat minum."

Bila kelab malam yang terhebat di KL dibuka di Plaza Yow Chuan , beliau dapat kerja sebagai pengawal pintu merangkap pengawal keselamatan.

"Di situ memang tempat minum. VVIP punya tempat. Anak raja, anak menteri, anak tauke-tauke ni semua boleh jumpa di situ," jelas Abang Mat.

zaman taubat dan insaf

Abang Mat hanya berhenti minum arak selepas kematian ibunya pada 2001. "Waktu itu abang punya keadaan dah tahap ketagih arak. Kalau tak minum badan naik menggigi-gigil. Bir biasa dah tak stim. Orang kata minum guna straw, pun tak stim. Ada yang kata tonggang terus sampai berbuih pun abang tak rasa stim."

Abang Mat menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa. "Abang campur dengan arak cina, arak siam memang dah kuat dah tu tapi badan abang dah tak tak rasa apa. Tak cukup stim semuanya."

Aku hanya mengangguk-nganggukkan kepala mendengar katanya.

"Tapi abang tahu arak ni kalau sampai tahap tinggi sangat nanti boleh terbakar hati. Jadi dengan mak pun dah meninggal, abang pun rasa daripada abang cari arak yang lagi kuat baik abang berhenti. Seksa betul nak berhenti. Hahahaha."

Kini sudah 11 tahun beliau berhenti minum arak dan tiada niat untuk kembali menjadi pemabuk. Pada umur hampir 60 tahun, beliau meneruskan hidup sebagai pemandu teksi.

"Sekarang abang tak sentuh langsung? Tak ada teringin nak minum balik?" tanya aku.

Dia senyum saja, membiarkan aku menduga sendiri apa jawapannya.

"Tuhan sayang aku, dik," kata dia sambil nampak mata nak berkaca. "Kau kalau ada kawan kau kaki minum, nasihat kan dia berhenti, tak kiralah dia melayu ke cina ke india." 

Ali Imran

Wartawan Awam dan juga bekas tukang hantar/tukang papah kawan-kawan yang mabuk balik rumah




Hakcipta iluminasi.com (2017)