Oleh pada 23 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Tuyul Ke London

Pelakon veteran AR Badul menafikan dakwaan dirinya bernikah dengan wanita muda susulan foto perkahwinan yang tular selepas dimuat naik di media sosial oleh seorang artis pada Sabtu lalu.

Dedah aktor berusia 67 tahun itu, momen perkahwinan itu dirakamkan ketika dia menjalani penggambaran drama Tuyul Ke London baru-baru ini.

"Mana ada kahwin, itu gambar ketika penggambaran drama Tuyul Ke London saja. Saya pun terkejut bila ada rakan-rakan artis yang sebarkan dan ucap tahniah.

"Wanita itu pelakon baru dan membawa watak sebagai isteri saya dalam drama tersebut," katanya menurut laporan portal Mstar Online.

Badul membuat kenyataan tersebut apabila diminta mengulas gambar perkahwinannya yang dimuat naik aktor Ezany Nazariff di laman sosial.

ar badul jawab isu foto kahwin wanita muda yang tular 2

Kredit foto: Instagram Tuyul Ke London

Manakala sebuah akhbar lain melaporkan foto itu mula tersebar selepas ditayang di group aplikasi WhatsApps Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Dalam pada itu, Badul akui dia berasa terkejut apabila wartawan menghubunginya untuk mengulas hal berkenaan.

Malah dia gusar sekiranya isteri terkesan dengan khabar angin yang tersebar.

"Saya tidak dapat menjelaskan perkara itu kepada pihak wartawan yang hubungi saya semalam kerana ada isteri di sebelah.

"Saya rasa perlu jelaskan kepada isteri saya terlebih dahulu sebelum dia dengar saya bercakap dengan wartawan tentang perkara itu. Saya tidak mahu timbul salah faham pula," katanya lagi.

Tuyul Ke London yang bergenrekan komedi akan menemui penonton di saluran Astro Warna pada Disember ini.

Dalam realiti kehidupan sebenar, aktor itu yang juga anak seniman AR Tompel telah mendirikan rumah tangga sebanyak tujuh kali.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)