Oleh pada 03 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Mstar & Instagram Anding

Lagi selebriti dikaitkan dengan video lucah selepas pelakon baru Eyka Farhana. Kali ini tersebarnya sebuah video yang mempamerkan aksi intim kaum sejenis yang mana didakwa adalah penyanyi Anding.

Difahamkan rakaman itu dikongsi di laman sembang Tumblr.

Bagaimanapun Anding dalam sebuah kenyataannya menafikan terlibat dalam kegiatan tidak senonoh itu kerana menyedari statusnya sebagai seorang selebriti.

"Sudah tentu ia bukan saya! Hidung saya ada tahi lalat tapi lelaki tersebut tak ada. Apabila saya lihat lelaki tersebut, tak nampak pun ada iras saya.

"Saya tidak pernah melakukan perkara tersebut dan memang tak logik kalau saya buat perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan merosakkan kerjaya sendiri.

"Saya masih boleh berfikiran waras dan tak akan buat perkara tidak senonoh seperti itu," kata Anding memetik laporan portal Mstar Online.

Anding yang bakatnya dicungkil daripada rancangan realiti Akademi Fantasia Musim Kedua (AF2) mengulas laporan forum sembang yang membuat pendedahan video seks seorang lelaki yang iras wajahnya.

Dalam pada itu, Anding berkata, dia sudah lelah dengan tanggapan negatif masyarakat tentang lelaki belum berkahwin dan gemar membina badan di gim yang dikaitkan dengan lelaki bernafsu songsang.

Sedangkan pada hakikatnya, ramai yang tidak tahu punca sebenar dia belum mendirikan rumah tangga sehingga kini.

"Bila nampak lelaki yang belum kahwin dan selalu pergi gimnasium, mesti ada yang buat tanggapan individu itu seorang gay. Mungkin atas sebab itu, mereka juga menyangkakan saya gay kerana tabiat saya suka menjaga badan dan kerap ke pusat kecergasan.

"Orang tak tahu kenapa saya belum kahwin dan tidak ada kekasih sehingga kini? Bagi mereka, apa mereka nampak itu yang mereka percaya.

"Saya harap segelintir masyarakat yang berfikiran sebegitu dapat mengubah persepsi terhadap lelaki seperti saya," tegasnya.

Sementara itu, penyanyi berusia 34 tahun itu enggan membiarkan pelaku yang bersalah terlepas begitu sahaja. 

Sebaliknya dia bakal membuat laporan polis kerana imej yang tercalar, dan kesan buruk dalam karier seni yang terpaksa ditanggung. 

Malah ini bukanlah kali pertama dia terpalit dengan isu berkenaan.

"Saya akan ambil tindakan dan membuat laporan polis kerana ia melibatkan maruah dan kerjaya seni saya.

"Tambahan pula, sudah banyak kali benda ini berlaku. Awal tahun ini, rakan saya pernah beritahu ada gambar lucah lelaki seakan-akan saya. Sekarang video pula," katanya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)