Oleh pada 11 Oct 2017 kategori

Kredit foto: utaranews.com & Instagram Mila Jirin

Penyanyi Mila Jirin memohon maaf atas aksi kurang sopannya dalam sebuah foto yang menjadi tular di media sosial.

Menurut Mila atau nama penuhnya Noorsyarmilla Jirin, niat asalnya bergambar hanyalah untuk suka-suka ketika sesi fotografi sebuah akhbar.

Bagaimanapun foto yang dianggap untuk simpanan peribadi itu akhirnya dimuat naik di akaun Instagram seorang pereka fesyen.

"Gambar itu diambil suka-suka dengan kawan-kawan pereka fesyen Seth & Luna sewaktu sesi fotografi saya dengan sebuah akhbar minggu lalu.

"Saya pun tidak muat naik gambar tu di Instagram sebabnya ia hanya untuk simpanan Seth & Luna. Saya tidak tahu mereka muat naik di laman sosial mereka dan menjadi tular," katanya memetik laporan portal Mstar Online.

Penyanyi berusia 30 tahun itu membuat kenyataan tersebut apabila diminta mengulas tentang gambar dirinya sedang baring dalam tab mandi sambil mengenakan seluar berwarna kulit.

Foto tersebut menjadi kontroversi kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan aksinya yang dikatakan tidak bersesuaian dengan imej bertudung.

Bekas Juara Akademi Fantasia Musim Kelima itu telahpun memohon agar foto itu diturunkan daripada laman sosial pereka fesyen berkenaan, namun ia terlebih dahulu menjadi tular.

"Saya sudah pun meminta pereka fesyen Seth & Luna untuk padamkan gambar tersebut di Instagram mereka kerana ia tidak sesuai untuk tontonan khalayak. Malangnya ia sudah tular ke media sosial lain.

"Saya mohon maaf kepada pihak yang tidak selesa dan marah. Saya akui gambar tersebut tidak sepatutnya diambil," ujarnya.

Mila memberitahu dia akan lebih berwaspada dalam bergambar pada masa akan datang.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)