Kredit foto: Instagram Safwan Nazri
Finalis Hero Remaja 2017, Safwan Nazri berasa terkesan dengan gelaran 'geng kunyit' yang dilabelkan oleh sesetengah pihak.
Safwan yang berusia 24 tahun itu tidak faham dengan sikap serkap jarang netizen yang dengan mudah mengaitkan lelaki berwajah jambu dengan 'geng kunyit'.
Malah dia beranggapan orang luar yang menilai kehidupan mereka di kaca televisyen tidak tahu realiti sebenar yang dilalui.
"Sejujurnya memang saya berasa terkilan apabila ada orang mengaitkan kami dengan 'geng kunyit' kerana mereka tidak berada di tempat kami dan tidak tahu apa yang dilalui oleh Hero Remaja selama enam bulan.
"Apa yang penonton nampak di TV hanyalah highlight aktiviti kami sebagai finalis namun orang ramai tidak memahami apa yang sebenarnya kami lalui bersama kerana mereka tidak berada di situ.
"Pelbagai cabaran telah kami lalui dan perkara itu membuatkan hubungan kesemua finalis menjadi begitu akrab," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.
Safwan membuat kenyataan tersebut ketika terlibat dalam rakaman program Hero Remaja yang diadakan di Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.
Kredit foto: Instagram Safwan Nazri
Menyentuh mengenai babak menitiskan air mata sewaktu segmen penyingkiran, Safwan tidak merasakan ia wajar menjadi isu kerana mereka juga adalah manusia biasa.
Hubungan baik selama menyertai program tersebut membuatkan mereka tersentuh apabila melihat rakan tersingkir.
"Memang akan sedih bila ada salah seorang daripada finalis tersingkir kerana hubungan kami sudah seperti adik beradik.
"Bagi saya menangis itu merupakan lumrah manusia dan tiada sebab seorang hero tidak boleh menangis," dedahnya.
Rancangan Hero Remaja 2017 bersiaran setiap hari Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Ria.
Sumber berita: Astro Gempak